Selasa, 9 September 2014

SEJARAH MODEN PASCA-MERDEKA


Jalur Gemilang

GARIS MASA:

1957, 31 Ogos - Pemasyhuran kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dilaksanakan oleh Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur setelah mendapat persetujuan kerajaan kolonial British dengan syarat keanggotaan ke dalam Negara-negara Komanwel (Commonwealth of Nations).

1957, 13 September - Tuanku Abdul Rahman ibni al-Marhum Tuanku Muhammad yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong yang pertama.
Tuanku Abdul Rahman

1957, 17 September - Penyertaan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya, selanjutnya Malaysia) sebagai anggota ke-92 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations).

1957, 30 Oktober - Parti Perikatan (asalnya dibentuk pada tahun 1951) yang dianggotai oleh UMNO, MCA, dan MIC secara rasminya didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan politik.

1961 - Barisan Sosialis (Socialist Front) yang terdiri daripada Parti Rakyat Malaya (PRM) dan Parti Buruh Malaya (PBM), masing-masing dipimpin oleh Ahmad Boestamam dan Pak Sako, bekerjasama dengan PAS yang pada ketika itu dipimpin oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy. Langsung tiada kena-mengena melainkan secara tidak langsung dengan Gagasan Rakyat, Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, Pakatan Harapan, mahupun Gagasan Sejahtera yang kontemporari.

1962 - Syed Muhammad al Naquib bin Ali al-Attas menulis dua jilid tesis ijazah kedoktoran yang bertajuk 'The Mysticism of Hamzah Fansuri'.
Muhammad Naquib al-Attas

1962, 8 Disember - Ketua Barisan Bertindak Rakyat Malaysia, Melan Abdullah terbang ke Bandar Seri Begawan sebagai perutusan khas Tunku Abdul Rahman untuk menyampaikan sepucuk surat kepada Sultan Brunei bagi menggagalkan pemberontakan untuk menubuhkan Republik Kalimantan Utara yang pro-Indonesia.

1963, 2 Februari - Said Zahari, bekas ketua pengarang akhbar berbahasa Melayu iaitu Utusan Melayu antara yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (Internal Security Act/ISA) dalam 'Operation Coldstore' di Singapura.

1963, Julai - Pembantu Penyiaran Radio Malaya, Nurlidar Saidi diarahkan pulang segera ke Kuala Lumpur walaupun tugasnya membuat liputan sidang kemuncak antara Presiden "Ahmad" Sukarno, Presiden Diosdado Macapagal, dan Tunku Abdul Rahman di Manila, Filipina masih belum selesai.

1963, 16 September - Brunei memilih untuk menolak tetapi penyatuan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), Singapura, British North Borneo (Sabah), dan Sarawak akhirnya membentuk gagasan Malaysia.

1963, 30 September - Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji dibentuk selepas pembentangan kertas kerja Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid yang bertajuk 'Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-bakal Haji'. Apabila Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji yang beroperasi di Pulau Pinang dicantumkan dengan perbadanan tersebut pada tahun 1969, maka terwujudlah Lembaga Urusan dan Tabung Haji (yang kini dikenali sebagai Tabung Haji sahaja).
Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz

1964, 12 Julai - 'Perhimpunan Agung Bangsa Melayu' yang diadakan di Singapura disertai lebih kurang 150 organisasi Melayu. Persidangan tersebut diadakan bertujuan untuk membincangkan kedudukan orang Melayu di Singapura.

1964, 13 Julai - Pergaduhan antara beberapa penduduk di kawasan Pasar Bukit Mertajam hingga menyebabkan perintah berkurung dijalankan dua hari kemudian selama satu malam.

1964, 21 Julai - Permulaan kepada beberapa siri rusuhan kaum di Singapura memuncak semasa perarakan Maulidur Rasul yang berpunca daripada ketidakpuasan hati penduduk apabila perkampungan Melayu mulai dihapuskan untuk projek perumahan.

1964, 23 Julai - Tentera Indonesia menjarah dan membakar istana serta membunuh sebahagian kerabat diraja Bulungan hingga keesokannya menghapuskan sama sekali kuasa dan kedaulatan Kesultanan Bulungan di Kalimantan Timur.

1965 - Presiden Indonesia, Sukarno melancarkan operasi 'Ganyang Malaysia' iaitu konfrontasi antara Indonesia dan Malaysia.

1965, 9 Mei - Majlis Solidariti Malaysia (MSC/Malaysian Solidarity Convention) yakni sebuah gabungan beberapa parti mengeluarkan deklarasi bersama mendokong konsep 'Malaysian Malaysia'. Ia dianggap sebagai satu ancaman kepada konsep 'Ketuanan Melayu' yang dibawa oleh UMNO.

1965, 4 Jun - Kongres Ekonomi Bumiputera yang pertama telah diadakan.

1965, 9 Ogos - Singapura diundi keluar daripada Malaysia dan muncul sebagai sebuah negara baharu dengan Lee Kuan Yew (Harry Lee) menjadi Perdana Menteri Singapura yang pertama.
Geylang Serai yang asalnya mempunyai
penduduk majoriti Melayu secara perlahan-lahan
dijadikan sebagai daerah lampu merah.

1965, 11 Oktober - Daripada serpihan People's Action Party (PAP) yang berpangkalan di Singapura, Devan Nair Chengara Veetil mengasaskan pula Democratic Action Party (DAP) di Malaysia.

1965, November - Hubungan kerjasama rejim Zionis untuk membangunkan tentera Singapura bermula setelah beberapa negara lain seperti India, Mesir, dan Britain tidak menyambut permohonan Singapura untuk mendapatkan nasihat ketenteraan.

1966 - Penggunaan tulisan Jawi dimansuhkan oleh Mohd Khir Johari yang bertindak sebagai Menteri Pelajaran.

1967, 29 Julai - DAP mengumumkan 'Deklarasi Setapak' yang mengidamkan konsep 'Malaysian Malaysia' dapat dilaksanakan agar tiada lagi pengasingan antara golongan Bumiputera dan bukan-Bumiputera.

1967, 19 November - Pelancaran hartal atau mogok besar-besaran oleh 'Gerakan Mao Tse-tung' telah menyebabkan pergaduhan kaum di Pulau Pinang.

1968, 24 Mac - Abang kepada Syed Muhammad Naquib al-Attas iaitu Syed Hussein Alatas mengasaskan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bersama-sama Tan Chee Khoon, J.B.A. Peter, Lim Chong Eu, Wang Gungwu, dan V. Veerappan.

1969, 13 Mei - Tragedi rusuhan kaum era moden yang terburuk di Malaysia. Ketua-ketua kumpulan samseng seperti Ahmad Chicago (a.k.a. Clifford), Mat Whiskey, Mat Seram, Man Brandy (Drs Suleiman), Man Kuching, dan Mat Botak turut keluar melibatkan diri dalam mempertahankan kawasan majoriti Melayu terutamanya di Kampung Baru.

1969, 1 Julai - Majlis Hal Ehwal Agama Islam Kebangsaan dibentuk oleh Majlis Raja-Raja sebelum terbentuknya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 1997.

1970 - Mahathir bin Mohamad mengarang sebuah buku yang bertajuk 'The Malay Dilemma' (Dilema Melayu).
Tun Dr. Mahathir Mohamad

1971, 1 Januari - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO atau SOCSO) ditubuhkan sebagai Jabatan Kerajaan (sebelum menjadi sebuah Badan Berkanun mulai 1 Julai 1985) bagi menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja yang diperuntukkan undang-undang pada tahun 1969.

1971, 6 Ogos - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) diasaskan oleh Ustaz Abdul Wahab Zakaria (Pengerusi Jawatankuasa Penaja) dan Fauzi Abdul Rahman (selaku Setiausaha) yang bertempat di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia sebelum didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan rasmi.

1972, 22 Disember - Lagu gubahan Jimmy Boyle iaitu "Untuk Negeri Kita" diangkat sebagai lagu negeri Pulau Pinang setelah dimainkan buat pertama kali secara rasmi oleh Zainal Alam bin Zainul Abidin Sultan Mydin serta para pemuzik dari RTM Pulau Pinang.

1973, 2 Ogos - Timbalan Perdana Menteri semasa zaman Tun Abdul Razak bin Hussein iaitu Tun Dr. Ismail bin Abdul Rahman meninggal dunia.
Tun Dr. Ismail

1974, 1 Februari - Penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang diambil dari negeri Selangor.

1974, 1 Jun - Barisan Nasional didaftarkan sebagai sebuah parti politik bagi menggantikan fungsi Parti Perikatan.

1974, 3 Disember - Ribuan mahasiswa institut pengajian tinggi negara terlibat dalam 'Demonstrasi Baling'.

1975, 26 Ogos - Tugu Negara rosak akibat letupan bom yang dikatakan didalangi oleh pengganas komunis.
(gambar: baca-blogspot.blogspot.com)

1977 - Parti serpihan PAS dibentuk dan dikenali sebagai Berjasa (Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia).

1978, Jun - Ustaz Haji Sulaiman bin Ahmad (Sulaiman Palestin) yang terkenal memperjuangkan isu-isu seperti Palestin dan Dasar Bahasa Kebangsaan membangkitkan pula isu Freemason dalam Perhimpunan Agung UMNO.

1978, 8 Ogos - Malaysia mula menerima pelarian dari Vietnam serta Kemboja untuk ditempatkan secara sementara di Pulau Bidong, Terengganu sebelum kem tersebut ditutup pada tahun 1991.

1979, 8 Mac - Ibrahim Yaacob meninggal dunia dan dimakamkan di Taman Makam Pahlawan Kalibata, Jakarta, Indonesia.

1981, 7 April - 'Amanat Haji Hadi' disampaikan oleh Abdul Hadi bin Awang dalam sebuah ceramah di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu, Terengganu.

1981, 7 September - Pengambil alihan mengejut syarikat perladangan British iaitu Guthrie oleh kerajaan Malaysia dalam operasi 'Serangan Subuh' (Dawn Raid).

1982, 1 Januari - Waktu Piawai Malaysia diselaraskan apabila waktu di Semenanjung Malaysia dipercepatkan 30 minit untuk diseragamkan dengan waktu Sabah dan Sarawak.

1982 - Sebelum menerima Anugerah Sastera Negara, Usman Awang atau nama penanya 'Tongkat Warrant' dianugerahkan Southeast Asian Writers Award.
Usman Awang

1983 - Sebuah lagi parti serpihan PAS diwujudkan iaitu Parti Hizbul Muslimin Malaysia yang mengambil nama singkatan Hamim.

1984, 1 Februari - Labuan dijadikan sebagai Wilayah Persekutuan yang kedua.

1985, 19 November - Ustaz Ibrahim Mahmud (Ibrahim Libya) terbunuh dalam tragedi berdarah di Kampung Memali, Baling, Kedah.

1986, 14 April - Penyanyi tersohor negara, Sudirman Haji Arshad mengadakan konsert terbuka secara percuma di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

1987, 18 Oktober - Peristiwa yang menarik perhatian seluruh negara apabila Prebet Adam Jaafar mengamuk di Jalan Chow Kit dengan membawa senapang M-16 bagi menuntut bela terhadap kezaliman yang dialaminya.

1987, 27 Oktober - Penahanan beramai-ramai dan penggantungan lesen penerbitan beberapa akhbar semasa 'Ops Lalang' (Operasi Lalang) yang dijalankan oleh mata-mata (pihak polis) berikutan tercetusnya pergolakan politik negara.

1989 - Junta tentera yang telah mengubah nama negara Burma kepada Myanmar dan bandar Rangoon kepada Yangon, turut menukar nama negeri Arakan yang merupakan tanahair etnik Rohingya kepada "Rakhine".

1989, 2 Disember - Perjanjian Damai antara Kerajaan Malaysia, Thailand dan Parti Komunis Malaya ditandatangani di Hat Yai, Thailand. Ketua Pengarah Cawangan Khas, Abdul Rahim Mohamed Noor menjadi wakil pihak Malaysia.

1993, 11 Disember - Kejadian bangunan runtuh iaitu pangsapuri Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang, Selangor.

1994, 21 Oktober - Darul Al-Arqam (Jamaah Aurad Muhammadiah/Rufaqa'/SRC/Global Ikhwan/GISB) yang pernah dipimpin oleh Ustaz Ashaari Muhammad (Abuya) diharamkan oleh kerajaan Malaysia berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

1995, 12 Oktober - Penubuhan Kumpulan Mujahidin Malaysia (atau turut disebut sebagai Kumpulan Militan Malaysia) dikaitkan dengan Zainon bin Ismail (Cikgu Non/C.N Afghani), veteran perang Afghanistan.

1997 - Seorang wanita Melayu bernama Azlina Jailani mula membuat permohonan untuk menukar namanya dalam kad pengenalan kepada Lina Lelani atau kemudiannya Lina Joy dengan menyatakan dalam akuan bersumpahnya bahawa, dia telah keluar Islam kepada menjadi Kristian dan mahu berkahwin dengan seorang Kristian.

1998, 27 Mac - Protes terhadap pembinaan sebuah kuil yang dibina secara haram berhampiran dengan sebuah masjid di Kampung Rawa, Jelutong, Pulau Pinang telah bertukar menjadi satu sengketa buat suatu ketika.

1998 - Kejadian kes rogol gadis di bawah umur di Bangunan UMNO Permatang Pauh.

1998, 1 September - Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 iaitu Dr. Mahathir Mohamad mengambil keputusan untuk melaksanakan 'rejim kawalan pertukaran asing terpilih' (tambatan matawang) bagi menangani krisis kewangan yang teruk melanda Asia.

1998, 2 September - Datuk Seri Anwar bin Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dan segera diusir keluar dari UMNO hingga mencetuskan gerakan 'Reformasi' yang melibatkan tunjuk perasaan secara besar-besaran.

2000, 2 Julai - Mohamed Amin bin Mohamed Razali memimpin beberapa ahli kumpulan Al-Ma'unah melakukan pencerobohan nekad ke atas sebuah kem Rejimen Askar Wataniah serta melarikan senjata api sebelum bertempur dengan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia di Sauk, Perak.

2000, 4 November - Insiden Dr. Joe Fernandez (Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Lunas) ditembak mati di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

2001, 1 Februari - Putrajaya dijadikan sebagai pusat pentadbiran negara dan juga Wilayah Persekutuan yang ketiga selepas ibu negara Kuala Lumpur serta pulau Labuan.

2001, 4 Mac - Berpunca daripada seorang lelaki mabuk yang tidak dikenali, beberapa peristiwa pergaduhan bermula di Kampung Medan, Petaling Jaya, Selangor ekoran tercetusnya salah faham antara kaum.

2001, 29 September - Perisytiharan Malaysia sebagai sebuah "negara Islam" dibuat oleh Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad walaupun pada hakikatnya Malaysia hanyalah sebuah negara yang mempunyai penduduk majoriti Muslim.

2002, 12 September - Pihak polis mengambil masa 255 hari menjalankan Ops Api Sawit 2 sebelum menembak mati seorang ahli geng 'Kumpulan 13' iaitu Ahmad Mohd Arshad (Mat Komando) di Kampung Hujung Keton, Pendang, Kedah.

2003, 16 Oktober - Sidang Kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (kini Pertubuhan Kerjasama Islam/OIC) yang ke-10 berlangsung selama dua hari di pusat pentadbiran negara, Putrajaya.

2004, 21 September - Ajaran sesat Azhar Wahab (SM Amin) yang turut mengasaskan Al Mansur dan Pusat Tahfiz Amal telah difatwakan haram oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

2004, 26 Disember - Ombak besar (tsunami) turut melanda pantai Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan Selangor selepas berlakunya gempa bumi Lautan Hindi berukuran 9.1 di barat Sumatera, Indonesia.

2005, 23 Jun - Ketua kumpulan ajaran sesat, Abdul Kahar bin Ahmad Jalal membuat pengakuan terbuka mendakwa telah dilantik sebagai 'Rasul Melayu' sebelum akhirnya meletakkan jawatan.

2005, Ogos - Penguat kuasa merobohkan binaan ajaran sesat 'Kerajaan Langit' yang dimulakan oleh Ariffin Mohammed (Ayah Pin) di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Terengganu.

2005, 20 Disember - Salah seorang peserta kumpulan rakyat Malaysia yang pertama yang mendaki Gunung Everest iaitu Moorthy Maniam meninggal dunia.

2006, 19 Januari - Seorang wanita kacukan Cina-Melayu iaitu Nyonya binti Tahir (Wong Ah Kiu) yang dahulunya membesar dengan keluarga angkat beragama Buddha meninggal dunia.

2006 - Kajian serta penemuan saintifik daripada sepasang suami isteri, Hartono Zainal Abidin dan Robiah Ibrahim berkenaan sistem perlindungan serangan kilat ke atas bangunan menjadi piawai antarabangsa oleh IEC (International Electrotechnical Commission) sebelum SIRIM (Standard and Industrial Research Institute of Malaysia) menggunapakainya (MS-IEC62305) pada tahun 2007.

2006, 12 April - Perdana Menteri kelima, Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa Malaysia menghentikan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor:
Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk tidak meneruskan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor. Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira suara dan sentimen rakyat Malaysia keseluruhannya terutama sekali berkenaan bekalan pasir dan ruang udara. Kerajaan juga membuat keputusan untuk memberhentikan semua rundingan bersabit jambatan tersebut.” [Tun Abdullah Ahmad Badawi, 12 April 2006]

2006, 17 November - Pelayar solo negara, Azhar Mansor yang ditemani Penasihat Agama Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Othman mengadakan satu sidang akhbar mengenai status agamanya di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

2007, 17 September - Kanak-kanak yang dilaporkan hilang, Nurin Jazlin binti Jazimin ditemui dalam keadaan yang  menyayat hati disyaki diculik oleh durjana yang digelar sebagai 'Lelaki Kucing'. Modus operandi suspek (yang masih lagi belum ditangkap sehingga ke hari ini) adalah dengan mendekati mangsa serta berpura-pura mencari kucing yang hilang sebelum melakukan penculikan.
NUR (National Urgent Response) Alert telah diwujudkan sebagai perkhidmatan
kecemasan termasuklah dalam membantu mengesan kanak-kanak yang hilang.

2007, 10 November - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang dianggotai oleh Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Women's Development Collective (WDC), dan Writers Alliance for Media Independence (WAMI) sebagai jawatankuasanya menganjurkan 'Perhimpunan Bersih' di Dataran Merdeka.

2008, 23 Mei - Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice) yang berpangkalan di Den Haag, Belanda memutuskan bahawa kedaulatan Pulau Batu Puteh (atau Pedra Branca dalam bahasa Portugis) dipindahkan kepada Singapura manakala Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge) sahaja yang masih diiktiraf sebagai hakmilik Malaysia.
(gambar: Utusan Malaysia)

2008, 6 Disember - Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Ulu Klang, Selangor yang menyebabkan beberapa rumah banglo tertimbus.

2009 - Bumiputera (terutamanya Melayu) menjadi penduduk majoriti di Pulau Pinang buat pertama kali sejak merdeka dengan jumlah 654,300 orang sebelum berkurangan kepada 636,136 orang pada tahun 2011.

2010, 31 Julai - Lokasi sambutan Hari Pahlawan dipindahkan dan buat pertama kali berlangsung tanpa acara meletak kalungan bunga dan bertafakur selama seminit di hadapan Tugu Negara yang sering dilakukan sebelum ini (namun acara tiupan 'The Last Post' dan 'The Rouse' masih lagi diteruskan).

2010, 5 September - Saluran televisyen swasta pertama negara iaitu Sistem Televisyen Malaysia Berhad atau lebih dikenali sebagai TV3 memohon maaf secara terbuka dan menghentikan siaran iklan penuh kontroversi 'Sinari Lebaran' selepas saudara Akhmal Hakim melalui blognya (Kalamul Haqq) berjaya mencetuskan bantahan orang ramai terhadap iklan raya puasa yang lebih banyak bercirikan perayaan Hari Natal (Christmas).

2011, 13 Oktober - Selepas 16 tahun turun naik mahkamah, bekas penerbit rancangan televisyen, Haslinda Merican M.A. Merican dan bekas perunding kewangan, Mohd. Amin Jamadi akhirnya dihantar ke penjara atas kesalahan menjadi perantara pelacuran melibatkan beberapa artis wanita. (sumber: Utusan Online)

2012, 11 April - Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah mencatat sejarah apabila ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua.

2012, 18 November - Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Razak menentang memasukkan hak-hak LGBT (lesbian, gay, bisexual, dan transgender) apabila menandatangani Deklarasi Hak Asasi Manusia Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) atas sebab Malaysia tidak boleh menerima prinsip-prinsip yang bertentangan dengan lumrah alam semulajadi.

2013, 16 Januari - Joseph Salvador Marino dinamakan sebagai duta pertama Kota Vatikan (Vatican City) ke Malaysia apabila hubungan diplomatik antara Malaysia dengan kerajaan Gereja Katolik (Holy See) bermula secara rasmi.

2013, 11 Februari - Kampung Tanduo di Daerah Lahad Datu, Sabah diceroboh oleh sekumpulan bersenjata dari Filipina atas arahan Jamalul Kiram III yang cuba menghidupkan semula Kesultanan Sulu.

2014, 8 Mac - Pesawat MH370 milik syarikat penerbangan negara, MAS (Malaysia Airlines) yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China tiba-tiba terputus hubungan radar dan lesap tanpa sebarang kesan.
(gambar: independent.co.uk)

2014, 22 Jun - Yayasan Tun Razak menyampaikan Anugerah Tun Abdul Razak 2014 kepada Presiden CAP (Consumers' Association of Penang), S. M. Mohamed Idris di Kuala Lumpur.

2014, 17 Julai - Satu lagi pesawat MAS, MH17 ditimpa musibah apabila ditembak jatuh di Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur.
(gambar: theguardian.com)

2014, 23 Ogos - Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang dilantik sebagai salah seorang naib presiden Kesatuan Ulama' Sedunia (International Union of Muslim Scholars/IUMS/al-Ittiḥād al-ʻĀlamī li-ʻUlāmāʼ al-Muslimīn) yang diketuai oleh Yusuf al-Qaradawi.

2014, 19 Oktober - Acara 'I Want to Touch A Dog Awareness Programme' yang diadakan di Central Park, Pusat Membeli-belah 1 Utama dilihat sebagai tindakan provokasi walaupun kononnya bertujuan untuk memecahkan dogma terhadap anjing sebagai najis berat.

2015, 1 April - Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10 peratus dimansuhkan dan digantikan dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar 6%.

2015, 13 Mei - Pihak berkuasa Malaysia telah menghalau bot-bot yang dinaiki oleh pelarian Rohingya (dari Arakan, Myanmar) dan juga beberapa warga Bangladesh daripada memasuki perairan negara untuk mendarat, sebelum kerajaan membuat keputusan untuk membantu memberikan perlindungan kepada mereka dengan bersyarat.
(gambar: nytimes.com)

2015, 5 Jun - Gempa bumi berukuran 6.0 melanda Ranau, Sabah.

2015, 11 Julai - Insiden pergaduhan yang membabitkan kes curi telefon di Plaza Low Yat, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

2015, 16 September - Para penyokong kerajaan beramai-ramai memakai baju merah dalam 'Himpunan Maruah Melayu' anjuran Persatuan Silat Kebangsaan (PESAKA) sebagai tindak balas kepada 'Perhimpunan Bersih 4' yang diadakan sehari dua sebelum sambutan Hari Kebangsaan.
(gambar: Today Online)

2015, 11 November - Banjir lumpur di Lebuhraya KL-Karak mengakibatkan tanah runtuh di Bentong, Pahang.

2015, 15 Disember - Satu gabungan ketenteraan di kalangan beberapa negara anggota OIC iaitu Islamic Military Alliance to Fight Terrorism (IMAFT) diumumkan oleh pihak kerajaan Arab Saudi, dengan Malaysia sebagai salah satu negara yang terlibat.
(gambar: dawn.com)

2015, 30 Disember - Air laut di sepanjang pesisir pantai dari Sungai Pengorak hingga Pantai Batu Hitam di Pahang menjadi kemerahan akibat pencemaran bauksit.
(gambar: themalaymailonline.com)

2016, 4 Februari - Kerajaan Malaysia menerusi Datuk Seri Mustapa Mohamed menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di Auckland, New Zealand.
(gambar: bharian.com.my)

2016, 23 Februari - Gempa bumi lemah 2.7 magnitud melanda Empangan Tasik Kenyir, Terengganu pada kedalaman 10km pada jam 9.25 malam yang dikatakan berpunca daripada tekanan air.

2016, 9 Oktober - Buat pertama kalinya seorang kardinal (pejabat tinggi gereja) dilantik dari Malaysia apabila Pope Francis di Kota Vatikan mengumumkan pelantikan Archbishop Emeritus of Kuala Lumpur Anthony Soter Fernandez sebagai salah satu 17 kardinal yang baru.

2017, 19 Januari - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan tentang perubahan tarikh 1 Muharram 1439 dalam takwim hijriah dari 21 September kepada 22 September 2017. Berdasarkan perubahan tersebut, 31 Disember 2017 telah menjadi 13 Rabiulakhir 1439 manakala 1 Januari 2018 adalah 14 Rabiulakhir 1439.

2017, 11 Februari - Perkhidmatan berbayar 'Valet Doa' untuk doakan hajat-hajat terus di depan Kaabah yang kononnya dijamin makbul mula diwar-warkan, kemudian menjadi viral (tular) apabila dikecam sebagai penunggang agama oleh banyak pihak namun pengendalinya tetap berdegil walaupun ditegur oleh beberapa orang mufti.

2017, 13 Februari - Dua suspek utama iaitu Siti Aisyah dari Indonesia and Doan Thi Huong dari Vietnam dirakam melalui sistem kamera litar tertutup menyerang Kim Jong-nam, adik berlainan ibu kepada pemimpin tertinggi Korea Utara iaitu Kim Jong-un hingga menyebabkannya mati sejurus selepas itu di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
(gambar: dailymail.co.uk)

2017, 21 April - Selepas melakukan pelbagai aksi yang pelik di khalayak ramai sebelum ini, Ibrahim Mat Zin (Raja Bomoh Sedunia) ditangkap oleh pihak polis di Segamat, Johor.
(gambar: mynewshub.cc)

2017, 10 Oktober - Kassim Ahmad, penulis  buku 'Hadis: Satu Penilaian Semula' yang diharamkan oleh kerajaan pada 1986 meninggal dunia di Kulim, Kedah.

2018, 11 April - Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim belanja barang keperluan asas di sebuah pasaraya di Johor Bahru.

2018, 10 Mei - Selepas Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) yang berlangsung pada hari Rabu, 9 Mei 2018, kerajaan pusat bertukar tangan daripada Barisan Nasional kepada gabungan yang dikenali sebagai Pakatan Harapan dan terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (PAN), Parti Tindakan Demokratik (Democratic Action Party/ DAP), serta Parti Warisan Sabah. Tun Dr. Mahathir Mohamad pula diangkat menjadi Perdana Menteri buat kali kedua di samping Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita yang pertama dalam sejarah negara.
"Malaysia Baharu"
(gambar: thestar.com.my)

2018, 8 Disember - Ribuan menghadiri 'Himpunan Aman Bantah ICERD' (The Anti-International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination Rally) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur meskipun kerajaan "Malaysia Baharu" akhirnya membuat keputusan untuk tidak meratifikasikannya.
(gambar: Mukhriz Hazim/Malay Mail)

2019, 13 Mac - 111 buah sekolah di daerah Pasir Gudang, Johor diarah tutup berikutan kejadian pencemaran Sungai Kim Kim akibat pembuangan sisa toksik kira-kira sudah seminggu yang turut menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam.
(gambar: Portal Berita RTM)


2019, 5 April - Malaysia menarik diri daripada meratifikasi perjanjian antarabangsa Rome Statute (International Criminal Court/ Mahkamah Jenayah Antarabangsa) setelah menandatanganinya pada 4 Mac 2019.

2019, 29 November - Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-116 memutuskan bahawa perubahan waktu solat subuh yang perlu dilewatkan sebanyak lapan minit adalah membabitkan seluruh negara.

2020 - Daripada 1.767 juta penduduk Pulau Pinang, Bumiputra (bangsa Melayu) adalah 42.5%, Tionghua (bangsa Cina) 39.2%, bangsa India 9.6%, lain-lain bangsa 0.34%, manakala bukan warganegara seramai 8.36%.

2020, 24 Februari - Pakatan Harapan tidak lagi menjadi memegang tampuk kepimpinan Kerajaan Persekutuan setelah kehilangan sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat. Tun Dr. Mahathir yang sebelum itu telah berundur kemudiannya dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menjadi Perdana Menteri interim sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu.

2020, 18 Mac - Perintah Kawalan Pergerakan (awalnya disebut Perintah Sekatan Pergerakan) bermula di seluruh negara berikutan wabak novel coronavirus (2019-nCoV atau SARS-CoV-2) yang menyebabkan COVID-19. Sepatutnya berakhir pada 31 Mac namun dilanjutkan kepada 14 April/28 April/12 Mei. Mulai 4 Mei, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat adalah untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi dan dikuatkuasakan sehingga 9 Jun. 10 Jun hingga 31 Ogos/31 Disember 2020 pula adalah fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan manakala Pelan Pemulihan Negara (Fasa 1 hingga 4) dilaksanakan pada 15 Jun 2021.

  • 17 November 2019 (jangkitan koronavirus di wilayah Hubei, China)
  • 25 Januari 2020 (kes pertama negara membabitkan 3 warga China)
  • 4 Februari 2020 (penularan tempatan)
  • 11 Mac 2020 (pengisytiharan pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia)
  • 18 Mac 2020 - 31 Mac/14 April/28 April/12 Mei 2020 (PKP)
  • 4 Mei 2020 - 9 Jun 2020 (PKPB)
  • 10 Jun 2020 - 31 Ogos/31 Disember 2020 (PKPP)
  • 14 Oktober 2020 - 27 Oktober/9 November 2020 (PKPB di Lembah Klang)
  • 1 Januari 2021 - 31 Mac 2021 (PKPP Lanjutan)
  • 12 Januari 2021 - 1 Ogos 2021 (Darurat)
  • 13 Januari 2021 - 26 Januari 2021 (PKP 2.0, PKPB/PKPP di beberapa negeri serta daerah)
  • 22 Januari 2021 - 4 Februari 2021 (PKP 2.0 hampir seluruh negara)
  • 5 Februari 2021 - 18 Februari 2021 (PKP 2.0 Lanjutan)
  • 19 Februari 2021 - 4 Mac 2021 (PKP 2.0 Lanjutan bersambung)
  • 5 Mac 2021 - 18 Mac 2021 (PKPB semula)
  • 19 Mac 2021 - 31 Mac 2021 (PKPB bersambung)
  • 1 April 2021 - 14 April 2021 (PKPB bersambung lagi)
  • 15 April 2021 - 28 April 2021 (PKPB terus bersambung)
  • 29 April 2021 - 17 Mei 2021 (PKPB musim Raya)
  • 1 Mei 2021 (kes varian VOI B.1.617.1 mula dikesan di Malaysia melibatkan warga India)
  • 12 Mei 2021 - 7 Jun 2021 (PKP 3.0)
  • 1 Jun 2021 - 14 Jun 2021 (Sekatan Menyeluruh/Penutupan Penuh)
  • 15 Jun 2021 - 28 Jun 2021 (PPN Fasa 1)
  • 29 Jun 2021 - 6 Julai 2021 (Sekatan Pergerakan Perjalanan)
  • 3 Julai 2021 - 16 Julai 2021 (PKPD di Lembah Klang)
  • 11 Oktober 2021 (perjalanan rentas negeri dibenarkan)
  • 1 April 2022 (Fasa Peralihan Ke Endemik)
"New Normal"
(gambar: pmo.gov.my)

2020, 28 April - Petempatan sementara di kawasan hutan Ulu Rening, Batang Kali, Hulu Selangor yang dihuni oleh kumpulan Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara (DPEIN) diserbu pihak polis selepas terdapat aduan berlakunya pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

2021, 28 April - Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi murid-murid darjah 6 di seluruh negara dimansuhkan.

2021, 17 Disember - Hujan lebat yang berpanjangan mengakibatkan banjir besar mula melanda beberapa negeri di kawasan semenanjung Malaysia dan turut merekodkan sejumlah kematian serta kerosakan harta benda.
Kawasan di Lembah Klang merupakan
antara tempat yang terjejas teruk.
(gambar: bharian.com.my)


Identiti rakyat Malaysia:

  • Bahasa Kebangsaan - Bahasa Melayu
  • Hari Kebangsaan - Tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu
  • Hari Malaysia - Tarikh pembentukan Persekutuan Malaysia
  • Lagu Kebangsaan - Negaraku
  • Bendera Kebangsaan - Jalur Gemilang
  • Pokok Kebangsaan - Pokok merbau
  • Bunga Kebangsaan - Bunga raya
  • Haiwan Kebangsaan - Pak Belang (harimau)
  • Pasukan Bolasepak Kebangsaan - Harimau Malaya
  • Makanan - Nasi lemak, Sate, Rojak, Ketupat, Pulut
  • Minuman - Teh tarik, Air bandung
  • Pencuci mulut - Cendol, Air batu campur (ais kacang)
  • Seni bela diri - Silat
  • Seni budaya - Wayang kulit, Boria, Dikir barat
  • Seni muzik - Kompang, Gendang, Gamelan
  • Sukan - Sepak raga
  • Permainan - Wau, Congkak
  • Penulisan - Sajak, Pantun, Syair
  • Tarian - Zapin, Joget
  • Lagu rakyat - Enjit-enjit semut, Lagu Tiga Kupang
  • Cerita rakyat - Batu belah batu bertangkup, Sang Kancil


Imej orang Melayu yang perlu dihakis:

  • Budak wicet
  • Mat rempit/ Minah rempit
  • Bohjan/ Bohsia
  • Penagih dadah
  • Perokok
  • Perogol
  • Pencabul
  • Peragut
  • Penyeluk saku
  • Penyamun
  • Perompak
  • Pemalas
  • Pengelat
  • Pengumpat
  • Perasuah
  • Pendengki
  • Pengkhianat
  • Sekular
  • Liberal
  • Pelampau
  • Pengikut ajaran sesat
  • Penunggang agama



Tiada ulasan:

Catat Ulasan