Selasa, 18 April 2017

TIGA BERSAUDARA TIBA DI BUKIT SIGUNTANG

Rencana kali ini akan menceritakan tentang beberapa kisah sebelum daripada cerita terdahulu yang bertajuk 'Salasilah Keturunan Sultan Melaka'. Tiga bersaudara yang dimaksudkan dalam tajuk ini adalah putera-putera Raja Chulan. Siapa itu Raja Chulan? Raja Chulan inilah sebenarnya leluhur kepada Kesultanan Melaka. Kisah mengenai Raja Chulan ini pula adalah hasil pertemuan dua peristiwa yang melibatkan kedua-dua belah ibubapanya. Kisah Raja Chulan akan dimulakan dari sebelah bapanya terlebih dahulu, sebelum beralih kepada sebelah ibunya, dan seterusnya mengenai diri Raja Chulan sendiri. Semoga pembacaan ini memberi manfaat kepada kita semua. Selamat membaca!


Bapa kepada Raja Chulan adalah keturunan Raja Iskandar

Raja Iskandar yang dimaksudkan adalah Iskandar Agung (Alexander the Great) dari Makaduniah (Yunani) atau seringkali disebut sebagai "Iskandar Zulkarnain". Seperti yang dinyatakan dalam karangan sebelum ini, Raja Iskandar bukanlah Kourosh (Cyrus the Great) dari Parsi (Iran) mahupun Abu Bakar Ibnu Ifriqish dari Himyar (Yaman). Raja Iskandar memang terkenal sebagai pahlawan yang mempunyai jajahan takluk yang sangat luas. Raja Iskandar telah memerangi Parsi dan berjaya mengalahkan rajanya yang bernama Raja Dara (Darius III atau nama sebenarnya Artashata) dalam pertempuran di Issus (Turki) pada tahun 333 Sebelum Masihi (SM), lalu mengahwini Stateira II (Ruqaiyatu Kubra), puteri Raja Dara sebagai isteri keduanya beberapa tahun kemudian. Sepupu Stateira II iaitu Parysatis II juga turut dijadikan isteri ketiganya dalam majlis perkahwinan yang sama di Susa (Iran). Isteri pertama Raja Iskandar adalah Roshanak (Roxana).

Pertempuran Issus pada 333 SM
(kredit: www.emersonkent.com)

Mesir merupakan salah satu tempat yang pernah berada di bawah pemerintahannya malah dibangunkan juga sebuah kota yang dinamakan Iskandariah (Alexandria). Selepas berperang dengan Parsi, Raja Iskandar meneruskan ekspedisinya ke India pada tahun 326 SM dan ditentang hebat oleh Raja Puru (Porus atau Purushattama) dari kerajaan Paurava di Punjab (Pakistan) sebelum baginda meninggal dunia di Babylon (Iraq). Menurut catatan sejarah yang diketahui umum, Raja Iskandar tidak meninggalkan zuriat melainkan Alexander IV, yang mana sewaktu berumur awal belasan tahun dia dan ibunya Roxana telah mati dibunuh dengan racun. Jadi, bagaimana pula Raja Chulan didakwa sebagai keturunan Raja Iskandar? Inilah yang perlu digali. Adakah dakwaan tersebut hanyalah suatu pembohongan atau, secebis sejarah yang tersorok?

Pertempuran Hydaspes (Sungai Jhelum) pada 326 SM
(kredit: fanaticus.website)

Untuk mengetahui kisah yang sebenar, atau paling kurang pun yang jauh daripada cerita palsu, pertama sekali haruslah diakui bahawa Tuhan yang Maha Esa yakni Allah subhanahu wa taala sahajalah pemilik kebenaran yang mutlak. Kita sebagai manusia dan juga salah satu makhluk ciptaanNya perlulah sedar bahawa tiada apa yang boleh diketahui melainkan apa yang Allah kehendaki. Maka, ilmu hanyalah berguna apabila ia digunakan untuk perkara yang baik dan bukannya untuk perkara yang tidak baik. Sesudah memahami keadaan ini barulah kita gunakan anugerah akal untuk menilai kesahihan pelbagai bukti artifak serta bahan bacaan melalui kaedah pembelajaran yang betul. Memandangkan proses pembelajaran sentiasa bersambung-sambung, mudah-mudahan Allah memberi kita petunjuk kebaikan. InshaaAllah.

Berbalik kepada dakwaan salasilah keturunan Raja Chulan berasal daripada Nabi Adam alaihis salam melalui Raja Iskandar, ingin dibentangkan di sini beberapa cebisan maklumat yang sememangnya boleh dicari semula sumber rujukannya sekiranya mahu dikaji dengan lebih mendalam. Kata kunci untuk membuat semakan adalah melalui nama-nama. Maaf ya. Yang faham, faham, yang tak faham, sudah. Sekadar ingin berkongsi, semasa Raja Iskandar berperang dengan Parsi, terdapat seorang wanita bernama Barsine yang dijadikan sebagai tebusan kepada Raja Dara oleh suaminya Memnon (yang juga pakciknya). Selepas menjadi milik Raja Iskandar, Barsine kemudiannya melahirkan Heracles (sempena nama Hercules) yang hanya beberapa tahun sahaja lebih tua daripada Alexander IV. Malangnya, Heracles sewaktu meningkat remaja juga dibunuh oleh Cassander, orang yang sama membunuh Alexander IV tidak lama sebelum itu. Lebih menarik, Raja Iskandar semasa di India turut sempat berkahwin dengan salah seorang anak perempuan Raja Puru (Raja Kida Hindi) iaitu Badrul Qumriya (Puteri Shahrul Bariyah). Hasil daripada perkahwinan ini, maka lahirlah Raja Aristun Shah.

Gambaran pertemuan Raja Puru dengan Raja Iskandar
(kredit: alchetron.com)

Apabila dewasa, Raja Aristun Shah dikahwinkan dengan anak Raja Turkistan (di Asia Tengah) dan mendapat anak yang dinamakan sebagai Raja Aftas (Aftus). Selepas Raja Aftas, keturunan Raja Iskandar diteruskan dengan Raja Askainat. Selepas itu pula, Raja Kasdas. Mereka semua menaiki persada kerajaan yang diwariskan oleh Raja Iskandar selama beberapa tahun pada zaman masing-masing, termasuklah cucu Raja Aftas dan anak Raja Sabur iaitu Raja Ambutas (Amtabus atau Ardavan V), yang juga adik kepada Raja Kasdas. Selain itu, ada juga Zamzius (Zaman Yus). Selang beberapa tahun, giliran Raja Heruwaskainan (Kharus Kainat) pula yang ditabalkan sebagai ketua kerajaan. Setelah itu, Raja Arahadaskainat (Arhat Askainat), yang selepas kemangkatannya diganti pula oleh anak Raja Ambutas iaitu Raja Gudarz Kuhan (Kudar Zakuhun). Kemudian, Raja Nikabus Ashkabus sebelum diganti dengan Raja Ardashirii Papagan (Ardisyir Babegan atau Ardashir I) yakni anak raja sebelumnya, Raja Gudarz Kuhan. Begitulah senarai pewaris takhta tersebut secara berturutan.

Lanjutan daripada itu, Raja Ardashirii Papagan berkahwin pula dengan nenek moyang Raja Nushirwan 'Adil (Khosrow I) yang kelak memiliki kerajaan besar dari Masyrik (Timur) ke Maghrib (Barat), dan mendapat anak lelaki bernama Derma Nus. Apabila Raja Ardashirii Papagan mangkat, anaknya Deria Nus menggantikannya sebelum diganti pula oleh Raja Kestah, Raja Ramji, dan Raja Shah Tersi (Syah Tursi). Raja Shah Tersi merupakan anak Raja Derma Nus dan penggantinya adalah Raja Teja (Tij), Raja Ajakar (Ijqar), dan anak Raja Shah Nahsi (Narseh atau Narseus) iaitu Raja Hurmizd (Uzmaz atau Hormizd II). Pengganti Raja Hurmizd pula adalah Raja Yazdifgird (Yardigird atau Yazdegerd I), dan Raja Kupi Kudar. Seterusnya adalah Raja Narsi Biradarash (Naris Baradarash atau Tersi Berderas), anak Raja Zimrut, cucu Raja Shah Narsi, cicit Raja Deria Nus, piut Raja Ardashirii Papagan. Raja Narsi Biradarash ini berkahwin dengan anak perempuan Raja Amdan Negara yang menghasilkan dua putera raja iaitu Kudar Shah Jahan dan Raja Suran Padshah (Suran Fad Syah). Siapakah Raja Amdan Negara? Dia adalah Raja Nazruah, anak Raja Kibad Shahriar (Kobat Sa'ir atau Kayqubad I, usah dikelirukan dengan Kavadh I) dan juga cucu kepada Raja Nasrawan (Kaykhusraw I).


Ibu kepada Raja Chulan berasal dari Kota Batu Hitam

Gua Kota Gelanggi di Jerantut, Pahang dan
Tasik Langgiu di Kota Tinggi, Johor, apa kaitannya?
(kredit:
akuanakpahang.blogspot.my
malaysiakini.com)

Amdan Negara dan Bija Negara (Chandukani) adalah dua kerajaan serantau. Sekiranya Raja Nazruah adalah Raja Amdan Negara yang berpusat di Betapur (pulau Andaman), Raja Shulan (Syulan atau Tsulan) sebagai Raja Bija Negara pula berpusat di Bukit Bijana (pulau Bintan) yang luas kerajaannya sampai ke Nagapatnam (India). Dua anaknya bernama Alim (Alam) dan Mufti (Mughni). Sebagai pendiri kerajaan baharu Dharmasraya namun masih belum merasa puas, Raja Shulan yang bergelar 'Maharaja Sambugita Segentar Alam' bercita-cita untuk meluaskan lagi kerajaannya. Berangkat bersama-sama bala tenteranya pergi meredah hutan belantara, perjalanan Raja Shulan atau nama lainnya Trailokyaraja telah membawanya sampai ke Gangga Negara (Dinding, atau kini Manjung, Perak) yang diperintah oleh Raja Linggi Syah Johan. Saudara perempuan raja tersebut yang bergelar Puteri Dara Segangga (Tuan Putri Zaris) diambil Raja Shulan sebagai isteri dan mereka memperoleh 3 orang anak lelaki. Nama mereka bertiga ialah Sri Bijitram Shah (Maharaja Alif di Minangkabau), Sri Paludatani, (Maharaja Dipang di Tanjungpura), dan Sri Nilathanam (Maharaja Diraja sebagai putera di Palembang). Mereka ini nanti akan menjadi datuk saudara sebelah nenek bagi anak-anak Raja Chulan iaitu Sri Nila Pahlawan, Sri Krishna Pandita, dan Sri Nila Utama.

Meneruskan perjalanannya, Raja Shulan dan bala tenteranya sampai ke suatu tempat yang disebut sebagai Kota Batu Hitam (Galenggui, Johor). Rajanya adalah Raja Chulin (Culin), isteri raja tersebut bernama Onang Kinang, manakala anak perempuan mereka dipanggil Tuan Puteri Onang Kiu. Hasil perkahwinan Raja Shulan dengan Tuan Puteri Onang Kiu, maka lahirlah Tuan Puteri Candani Wasis. Tuan Puteri Candani Wasis ini kemudiannya berkahwin dengan cucu Raja Amdan Negara, siapa lagi kalau bukan Raja Suran Padshah. Seterusnya, pertemuan antara Raja Suran Padshah dengan Tuan Puteri Candani Wasis ini telah melahirkan pula tiga orang anak lelaki, masing-masing dinamakan sebagai Raja Jiran (Hiran) untuk memerintah Chandragiri (Nepal), Raja Chulan di Bija Negara, dan Raja Pandayan (Fandin) sebagai raja di Nagapattinam (India).

Makam Raja Segentar Alam di Bukit Siguntang, Palembang
(kredit: Afif/detikTravel)


Raja Chulan menyelam turun ke dasar laut

Pada masa dahulu, seorang raja dari China ada mendapat tahu bahawa terdapat seorang raja, Raja Iskandar namanya. Namanya begitu gah dan kerajaannya juga begitu luas sehinggakan raja China merasa takut bahawa negaranya pula yang akan ditakluk lalu bercadang untuk membuat helah. Diperintahkan sebuah kapal (tongkang) buruk diisi dengan jarum-jarum yang telah berkarat, pokok-pokok yang saiznya amat besar, dan juga para kelasi yang tua-tua belaka hinggakan gigi pun tiada. Kapal tersebut seterusnya diarahkan belayar ke barat untuk membuat cerita kononnya negara China tersangatlah jauh. Maka, cerita pun direka dan didengar pula oleh orang-orang Raja Iskandar. Jarum-jarum yang karat itu dikatakan awalnya merupakan batang-batang besi setebal lengan manusia, pokok-pokok besar asalnya daripada biji benih yang baru ditanam, manakala pakcik-pakcik kelasi yang berumur lanjut pula pada mulanya masih muda remaja sebelum belayar dari China. Termakan dengan cerita rekaan yang disampaikan melalui orang-orangnya tersebut maka si raja yang tetap gah namanya itu merasakan tidak mahu menghabiskan masa yang terlalu lama lalu negara China terlepas daripada menjadi sasaran utamanya. Justeru, negara China dan rajanya terselamatlah pada masa itu.

Laluan Sutera dan Laluan Rempah
(kredit: www.wionews.com)

Selepas beratus-ratus tahun berlalu, negara China tidak lagi terasa terlampau jauh kerana umum sudah boleh mengetahui jaraknya. Jika di daratan ada Laluan Sutera, Laluan Rempah yang merentasi Lautan Melayu juga menjadi penghubung penting antara timur dan barat. Kepulauan Melayu menjadi tempat berteduh ramai pedagang (saudagar) yang menantikan kedatangan dua monsun, Monsun Timur Laut jika hendak menuju ke arah India manakala Monsun Barat Daya jika hendak menuju ke arah China. Selain itu, terdapat pula sebuah tempat persinggahan yang masyhur disebut sebagai Temasek (atau Tumasik). Ia wujud sebelum diberi nama baru, kelak akan dipanggil Singapura, dan berada di bawah jajahan takluk seorang penguasa berketurunan Raja Iskandar yang bernama Raja Chulan. Habis semua daratan telah pun diketahui oleh Raja Chulan, hanya isi lautan samudera sahaja yang menjadi misteri baginya.

Disebabkan keinginannya yang mendalam untuk merungkai misteri itu maka segala macam ahli tukang yang pandai-pandai dipanggil untuk membina sebuah peti kaca yang boleh ditutup dan dibuka dari dalam. Mereka pun membinanya seperti mana yang dikehendaki dan diikat juga dengan rantai emas sebagai penyambungnya. Apabila peti kaca tersebut siap dan dihadapkan kepadanya, Raja Chulan berasa amat berpuas hati sehingga pelbagai pemberian yang tidak terkira banyaknya dianugerahkan kepada tukang-tukang mahir tersebut. Apabila sudah bersedia, Raja Chulan pun masuk ke dalam peti kaca tersebut dan berupaya melihat semua yang berada di luar. Peti kaca itu kemudiannya dikunci dari dalam dan seterusnya perlahan-lahan diturunkan ke laut. Alangkah gembiranya Raja Chulan apabila dapat melihat keindahan alam ciptaan Tuhan setelah mula menyelam sedikit demi sedikit.

Dika, sebuah kerajaan misteri di bawah laut
(kredit: newscientist.com)

Apabila tiba di dasar laut, Raja Chulan sampai ke sebuah tempat yang digelar Dika (Rika). Sebaik sahaja keluar dari peti kacanya, Raja Chulan dapat melihat sebuah bandar besar yang dibina dengan megahnya dan sejurus selepas itu didatangi oleh sekumpulan daripada kaum Bersim (Barsam) yang jumlahnya hanya Tuhan yang tahu. Sebahagian daripada mereka itu adalah golongan yang beriman (Muslim) manakala sebahagian lagi tidak. Melihat kepada Raja Chulan, mereka berasa amatlah kagum lalu membawanya berjumpa dengan raja mereka. Raja Fatabul Ard (Raja Aftabu’l-Ardl atau Raja Petrali) ialah nama raja mereka dan mereka pun ditanya siapakah gerangan yang dibawa itu. Mereka menjawab, mereka sendiri pun tidak tahu kerana baru sahaja berjumpa. Maka, Raja Chulan pun ditanya tentang maklumat dirinya oleh Raja Fatabul Ard yang kian diselubungi dengan perasaan ingin tahu.

Bagi memperkenalkan dirinya, Raja Chulan pun memberitahu namanya selain menyatakan dialah raja bagi manusia yang datang dari dunia di atas laut, negeri di bawah angin. Terpegun dengan jawapan itu, Raja Fatabul Ard seperti tidak menyangka bahawa masih ada dunia lain selain daripada dunianya. Raja Chulan seterusnya menerangkan bahawa alam ini tersangatlah luas dan tersangat luas jugalah apa yang ada di dalamnya. Mendengar kata-kata hikmah tersebut, Raja Fatabul Ard terus sedar dan memuji-muji Tuhan yang Maha Esa. Dengan demikian, Raja Chulan yang dimuliakan sebagai tetamu terhormat pun diberi tempat duduk di atas singgahsana kebesaran. Di samping itu juga, Raja Fatabul Ard mempunyai seorang anak perempuan yang cantik rupa parasnya. Maka, anak Raja Fatabul Ard yang namanya ialah Tuan Puteri Mahtabul Bahri itu dikahwinkan pula dengan Raja Chulan.

Haiwan mitos yang dipanggil sebagai kuda semberani
(kredit: mbahjitu.com)

Selepas tiga tahun berkahwin, pasangan tersebut memperoleh tiga orang cahayamata dan kesemuanya adalah anak lelaki. Melihat kepada anak-anaknya yang semakin membesar, perasaan masygul (susah hati) mulai timbul di hati Raja Chulan. Terpikir pula bagaimana keadaannya nanti apabila tiga putera tersebut hanya tinggal di bawah bumi tanpa mengetahui apa yang ada di atas bumi. Lantaran itu, Raja Chulan pergi berjumpa dengan ayah mertuanya Raja Fatabul Ard dan menyatakan permintaannya agar tiga orang puteranya itu dihantar naik ke bumi apabila mereka nanti sudah mencapai umur dewasa, mudah-mudahan kerajaan Iskandar Zulkarnain tidak luput begitu sahaja serta boleh berterusan hingga ke akhir zaman. Ditinggalkan juga tiga mahkota, yang Raja Chulan dapati melalui Maharaja Jin Asmagiah Pari sebagai tanda kemuliaan untuk anak-anaknya. Mendengar permintaan tersebut, Raja Fatabul Ard pun bersetuju.

Raja Chulan kemudiannya turut meminta izin untuk berangkat pulang ke tempat asalnya. Lalu, tangisan teresak-esak mula kedengaran apabila mereka semua menyedari masa untuk berpisah telah pun tiba. Setelah itu, Raja Fatabul Ard mengarahkan supaya dibawa kemari Farsul Bahri, seekor kuda sembrani jantan untuk dijadikan sebagai tunggangan bagi anak menantu kesayangannya. Dengan menunggang di atas kuda ajaib yang bersayap itu maka Raja Chulan pun dibawa keluar dari laut dan naik ke udara. Di kala kuda sembrani tersebut berjalan terawang-awangan di atas air laut, sebahagian daripada rakyat jelata dapat melihat seseorang yang seperti mereka pernah kenal dan ternyata itu adalah raja mereka, Raja Chulan. Setelah Raja Chulan selamat sampai di atas daratan (Pantai Baniras) maka kuda sembrani tersebut pun terus kembali ke dalam lautan. Bagi memperingati peristiwa Raja Chulan turun ke laut dan selamat kembali maka diperintahkan agar dibuat suatu alamat yakni tanda untuk hikayat itu disuratkan. Tanda tersebut kini sudah pecah, yang tinggal beberapa serpihan sahaja dan ia dikenali sebagai Batu Bersurat Singapura.


Anak-anak Raja Chulan mendarat di Bukit Siguntang

Bukit Siguntang Mahameru
(kredit: backpackerjakarta.com)

Sri Nila Pahlawan yang lebih dikenali sebagai Sang Sapurba, Sri Krishna Pandita (Sang Maniaka), dan Sri Nila Utama (Sang Pertala) adalah tiga orang putera hasil perkahwinan Raja Chulan dengan Tuan Puteri Mahtabul Bahri. Apabila mereka sudah mencapai umur dewasa, masa pun telah tiba untuk mereka dihantar naik ke atas bumi seperti yang dipinta oleh bapa mereka. Entah bagaimana, mereka tidak ke Temasek tetapi turun di Bukit Siguntang dekat Palembang, tanah Andalas (pulau Sumatra). Kehadiran mereka pada waktu malam yang disinari dengan cahaya terang-benderang disedari oleh dua orang petani wanita, Wan Empuk dan Wan Malini. Akibat rasa takut untuk keluar pada waktu malam maka mereka berdua hanya keluar pada keesokan paginya. Alangkah terkejutnya dua wanita tersebut apabila melihat padi mereka berbuahkan emas, berdaunkan perak, dan berbatangkan suasa. Tidak lama selepas itu mereka juga terlihat tiga orang pemuda yang baik rupa parasnya, yakni Sang Sapurba dan adik-beradiknya.


GARIS MASA:
1469 SM, Pemerintah Pwene (Punt) iaitu Raja Perahu (Perehu) beserta permaisurinya Hati (Eti) menerima kunjungan Nehesj, wakil Firaun Hatshepsut dari Mesir
945 SM, Ratu Balqis (Sheba) menziarahi Nabi Sulaiman di Baitulmaqdis
582 SM, Permulaan tamadun Kedah Tua yang berpusat di Sungai Batu, Lembah Bujang. Ramaunibha adalah salah seorang keturunan rajanya.
356 SM, Raja Iskandar dilahirkan di Pella, Yunani
333 SM, Raja Iskandar menewaskan raja Parsi dalam Pertempuran Issus
331 SM, Raja Iskandar mendirikan bandar Iskandariah di Mesir
326 SM, Raja Iskandar menyerang India
323 SM, Raja Iskandar meninggal dunia ketika berumur 32 tahun
50 M, Sri Kripawarman (Wan Pa) membentuk Empayar Yawadwipa (Yawakoti)
68 M, Kaundinyawarman mengasaskan Kerajaan Funan
192 M, Sri Mara (Zhulian) menjadikan Kandapurpura sebagai ibukota Kerajaan Champa (Linyi)
208 M, Ardavan V (Artabanus V dari Parthia) memerintah empayar Parthia (Arsacid)
224 M, Ardashir I (Ardashir-e Bābakān) mengasaskan empayar Sasanid
293 M, Narseh menjadi raja Ērānshahr (empayar Sasanid) yang ketujuh
302 M, Hormizd II menjadi raja empayar Sasanid yang kelapan
330 M, Sri Paduka Maharaja Durbaraja (Derbar Raja I) tiba di kuala Sungai Kilah (Sungai Merbok)
380 M, Raja Bhadravarman menaiki takhta kerajaan Champa
399 M, Yazdegerd I menjadi shah empayar Sasanid yang keduabelas
418 M, Raja Bhadreswararaja mengetuai negeri Kalathana (Kelantan) membentuk Kerajaan Chih-Tu bersama Tranthana (Terengganu), Ku-Li (Pahang), dan Gangga Negara (Perak)
450 M, Kewujudan kerajaan Pahang Tua di Kampung Kembahang
531 M, Khosrow I (Anushiruwān-e Dādgar) menjadi Shahanshah empayar Sasanid
550 M, Bhavavarman I menjadi raja Kerajaan Chenla (Kambuja)
568 M, Gautama Wijaya daripada Wangsa Chudan membebaskan Kerajaan Raktamrittika (Chih Tu) yang berpusat di Tanah Merah daripada pengaruh penguasaan Kerajaan Funan pada tahun 490 Saka
584 M, Dapunta Hyang Sri Jayanasa (Prabhasadharma) lahir di Medang Gana (Kelantan)
603 M, Dapunta Hyang Sri Jayanasa (Sri Jayanaga) turun dari Gunung Marapi
628 M, Sheikh Rukunuddin membawa ajaran Islam ke Sumatera (Aceh)
628 M, Ardashir III menjadi raja empayar Sasanid selama kurang daripada dua tahun
634 M, Merong Mahawangsa mendirikan Kerajaan Langkasuka di Sik
638 M, Anak Merong Mahawangsa iaitu Merong Mahadipusat menghantar utusan Kedah Zamin Turan (Kedah Pasai Ma) ke China
645 M, Dapunta Hyang Sri Jayanasa mendirikan Minanga Tamwan (Muara Tatang) di Parahyangan (Periaman)
673 M, Seorang sami Buddha, Yi Jing (I-Ching) berlayar dari Canton (Guangzhou) melintasi Kerajaan Malayu (Johor) untuk berguru dengan Sakyakirti sebelum ke Bharatvarsha (India)
674 M, Moyang Sanjaya (Prabu Harisdarma), Ratu Shima (Sri Maharani Mahissasuramardini Satyaputikeswara) menaiki takhta Kerajaan Kalingga apabila suaminya Kartikeyasinga meninggal dunia
682 M, Dapunta Hyang Sri Jayanasa memimpin 20,000 bala tentera ke Matajap dan kemudiannya mengasaskan Kerajaan Srivijaya (Sri Saujana Wijaya Mala) di Langkapura, Palembang pada tahun 605 Saka
683 M, Sungai Batu di Lembah Bujang menjadi jajahan takluk Srivijaya
692 M, Dapunta Hyang Sri Jayanasa diganti oleh anak keduanya Maharaja Dhiraja (Lokitavarman) di Bija Negara manakala anak sulungnya Maharaja Dipang (Dwipantara) berkuasa di Amdan Negara
718 M, Sri Indrawarman (Sri Maharaja Indra Warmadewa) menulis surat kepada khalifah Umayyah, Umar bin Abdul-Aziz
723 M, Suami kepada Tejakancana (Rakai Mataram Sang Ratu Sanjaya) iaitu Sanjaya Harisdarma (Rakeyan Jamri) menjadi raja Kerajaan Sunda-Galuh
730 M, Rudra Wikraman (Bhanu) memindahkan ibukota Srivijaya ke Kota Mutajap, Jambi
732 M, Sanjaya Harisdarma mendirikan Medang hasil gabungan Kalingga Utara (Bhumi Mataram) dengan Kalingga Selatan (Bhumi Sambara)
775 M, Wangsa Sailendra yang dipimpin oleh Sri Maharaja Wisnu (Dharmasetu) mengambil alih tampuk pemerintahan Srivijaya
803 M, Rombongan Sanjaya Harisdarma (Sri Maharaja Kusumabhadra) berlayar sampai ke Madagasikara (Madagascar)
1006 M, Sri Chulamanivarman (Sri Cudamani Warmadewa) membina sebuah biara Buddha iaitu Chudamani Vihara di Nagapattinam dengan Raja Raja Chola I sebagai penaungnya
1017 M, Pusat pentadbiran Srivijaya dipindahkan ke Kadaram (Kedah) oleh Sangrama-Vijayottunggawarman
1025 M, Beberapa pelabuhan Srivijaya diserang armada kapal perang raja Tamil, Rajendra Chola I dari Dinasti Chola
1044 M, Adik kepada Sangrama iaitu Samara Vijayatungga menaiki takhta Srivijaya
1136 M, Raja Kedah (Kataha) yang ke-9, Phra Ong Mahawangsa (Sultan Mudzaffar Shah I) memeluk Islam
1183-1233 M, Raja Shulan (Trailokyaraja) menubuhkan Dharmasraya (Bhumi Malayu) di Jambi sebagai kerajaan Dinasti Mauli, serpihan Empayar Srivijaya
1192 M, Kaykhusraw I menjadi sultan Rom Seljuk yang kesebelas
1220 M, Kayqubad I menjadi sultan Rom Seljuk
1222 M, Ken Arok (Rajasa) mengasaskan Kerajaan Singhasari di Tumapel menggantikan Kerajaan Kediri
1233-1253 M, Raja Suran (Surendra) menjadi raja Jawaka (Kelantan)
1247 M, Raja Chandrabhanu Sridhamaraja dari Tambralingga (Ligor) menghantar angkatan tentera menyerang Serendip (Ceylon) untuk meluaskan pengaruhnya
1253-1267 M, Raja Chulan (Thilam) menjadi raja Malayur (Singapura)
1267-1296 M, Salah seorang anak Raja Chulan iaitu Raja Zainuddin (Sakranta) menjadi raja Langkasuka (Singgora) yang diwarisi melalui datuknya Raja Suran
1267–1339 M, Raja Abdullah (Raden Mas Aria) menjadi raja Chermin di Kota Mahligai (Bachok)
1275 M, Kertanagara, raja Singhasari melancarkan Ekspedisi Pamalayu yang diketuai oleh Kebo Anabrang
1282 M, Raja Indravarman V dan anaknya Putera Harijit (Chế Mân, atau Jaya Simhavarman III) berundur ke kawasan pergunungan apabila Champa diserang tentera Mongol yang diketuai oleh Kublai Khan
1286 M, Sang Sapurba ditabalkan sebagai raja Kerajaan Dharmasraya di Bukit Siguntang, Palembang


Tiada ulasan:

Catat Ulasan