Rabu, 11 Februari 2015

PEJUANG BUKAN PEMBERONTAK

Bagaimanakah nasib bangsa selepas memasuki alaf baru, abad ke-21?
(gambar: merdeka-online.com)

'Demi agama, bangsa, dan negara'. Itulah laungan yang sering menjadi pemangkin semangat buat para pejuang kemerdekaan negara. Sekiranya slogan "Daulat Tuanku", "Hidup Melayu", dan "Merdeka" (مرديکا) menjadi sebutan individu-individu yang memperjuangkan kelangsungan (survival) politik, ucapan takbir "Allahu Akbar" pula sudah menjadi sebati di mulut dan di dalam diri para mujahidin dahulu kala. Sebelum munculnya golongan Kaum Muda yang dipelopori oleh gerakan nasionalisme yang disulam pemikiran agama, telah pun bertapak di bumi bertuah ini satu golongan tradisional yang juga cenderung kepada agama. Golongan yang menentang penjajahan sejak awal dan lebih lama lagi ini tiada nama khusus pada mulanya tetapi telah dikenali sebagai Kaum Tua.

Walaupun kedua-dua Kaum Tua (Ahli Sunnah Wal Jamaah/Khalafi/ulama konservatif) dan Kaum Muda (Salafi/Wahabi/ulama progresif) mungkin merasakan telah memberi sumbangan yang tertentu, secara dasarnya mereka dilihat gagal keseluruhannya apabila gagal untuk bersatu. Tanpa usaha yang bersungguh-sungguh untuk bersatu padu sebagai sebuah bangsa, kesan daripada kegagalan tersebut masih terasa sehingga kini. Natijahnya, pertembungan tersebut masih lagi berterusan tetapi dalam bentuk manifestasi yang baru pula yakni politik demokrasi berwarna, hijau (PAS) atau merah-biru (UMNO/BN). Mujurlah kumpulan-kumpulan kongsi gelap Melayu yang lama seperti Bendera Merah dan Bendera Putih sudah pun berkubur. Yang mahu bersatu pun hanyalah beberapa kerat di pantai dan beberapa kerat lagi di bendang (sawah padi) apabila para nelayan dan para petani bersatu hati meletakkan hasil mereka di pasar-pasar. Namun, kegagalan penyatupaduan tersebut tidak harus dipandang negatif malah harus dilihat sebagai sesuatu yang positif yakni sebagai satu cabaran yang sangat besar. Satu peluang yang sangat besar bagi generasi masakini (dan generasi masa hadapan) untuk kembali bersatu sebagai sebuah bangsa yang ingin menyumbang kepada kemaslahatan umat sejagat dengan perubahan-perubahan yang mendatangkan pelbagai kebaikan.

Pilihan Raya Umum sentiasa mendapat sambutan rakyat.
(gambar: Topeng Perak Unmasked)

Persoalannya, bagaimana untuk bersatu sekiranya berbeza? Perpecahan tidak terhenti apabila menyebut tentang Ahli Sunnah Wal Jamaah (Deobandi) dengan Salafi (Nasibi) sahaja. Perpecahan terus berlaku apabila ada lagi lain-lain kumpulan seperti ABIM, IKRAM, ISMA, Jemaah Tabligh, Hizbut Tahrir, Barelvi, al-Ahbash, Syiah (Rafidi), Sufi (Tariqat), Nahdlatul Ulama, Muhammadiyah, Musyabbihah, Mujassimah, dan sebagainya. Itu pun belum disebut lagi kumpulan-kumpulan yang semakin mendapat tempat di kalangan orang awam yang jahil, seperti ajaran sesat, sekular, liberal, takfiri, batiniah, pelampau, dan entah bermacam-macam lagi. Masing-masing sudah tentu mahu mempertahankan pegangan masing-masing dengan habis-habisan. Yang menunggang ugama pun, masalah lain pula. Di samping itu, masing-masing juga langsung menolak mentah-mentah apa yang disampaikan oleh kumpulan-kumpulan lain tanpa adanya hikmah. Kesudahannya, pengakhiran yang baik tak kunjung tiba.

Disebabkan terlalu melebihkan perbezaan daripada persamaan, kadang kala perkara-perkara yang mendatangkan faedah tidak lagi dipedulikan walaupun masalah telah sampai ke tahap yang boleh membawa kemudaratan. Jika sekarang bukan masanya untuk semua pihak duduk semeja berunding bagi mencapai kesepakatan, bila masanya perbincangan mengenai masalah ini akan selesai? Henti-hentikanlah pergaduhan yang sia-sia. Kesian kepada anak cucu kita. Sudah tiba masanya untuk mencari titik-titik persamaan dan mengetepikan isu-isu perbezaan buat seketika. InshaaAllah, ikhtiar seperti ini akan memberi situasi menang-menang kepada semua pihak yang terlibat sekiranya dilakukan dengan setulus hati dan penuh ketabahan. Berpesan-pesanlah dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah dengan kesabaran.

Perbarisan Rejimen Askar Melayu Diraja sempena Hari Kemerdekaan.
(gambar: www2.bharian.com.my)

Jadi, apakah masalah sebenar yang menghalang perpaduan ini? Masalah yang menghalang perpaduan sesama Muslim sebenarnya adalah kekeliruan. Kekeliruan apa? Kekeliruan tentang agama yang dianuti. Kekeliruan yang bukan datang daripada agama tetapi kekeliruan yang berpunca daripada penganutnya sendiri. Penganutnya keliru disebabkan kecetekan ilmu agama akibat malas mengaji (belajar). Walhal, mempelajari ilmu agama dengan ikhlas, dengan izin Allah mampu menyelesaikan semua kekeliruan dan menguraikan segala kekusutan. Satu soalan besar harus ditanya, adakah Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu?

Jawapannya, tidak. Melayu bukan Islam dan Islam bukan Melayu. Melayu adalah Melayu dan Islam adalah Islam. Melayu merupakan bangsa, Islam pula satu cara hidup. Malah, Arab bukan Islam dan Islam bukan Arab. Walaupun sesiapa sahaja boleh menjadi penganut Islam, tak kiralah samada Melayu, Arab, atau lain-lain, tetapi untuk menjadi penganut Islam tak semestinya orang itu Melayu atau Arab sahaja. Boleh bertutur dalam Bahasa Arab memanglah amat bermanfaat namun tidak sekali-kali menjadikan seseorang itu Arab jika sudah dilahirkan sebagai bukan Arab ('ajam). Arab adalah Arab dan 'ajam adalah 'ajam. Menjadi penganut Islam adalah suatu pilihan manakala dilahirkan sebagai Melayu, Arab, campuran Melayu-Arab atau tidak, dan lain-lain adalah ketentuan daripada Allah subhanahu wa ta'ala sejak azali. Tidak perlu mempertikaikannya lagi.

Walau bagaimanapun, sejarah perjuangan seperti yang ditunjukkan oleh orang-orang dahulu dalam menentang penjajahan amat sesuai dijadikan sebagai pengajaran. Samada penjajahan bentuk zahir mahupun batin, penentangan yang berkesan hanya boleh dilaksanakan dengan jayanya jika mengikut panduan yang digariskan syariat. Pertelingkahan sesama sendiri tidak seharusnya berlaku andai agama yang dianuti benar-benar dituruti. Agama hendaklah digunakan sebagai alat perpaduan dan bukannya dijadikan alat permusuhan. Kasih sayang yang perlu diutamakan, bukannya benci-membenci. Pada masa yang sama, bukan semua cinta itu baik dan bukan semua benci itu buruk. Benci hanya pada apa yang dibenci agama. Kisah yang lampau telah berlalu tetapi setiap saat dan setiap waktu sedang membuka lembaran yang baru. Bertindaklah dengan tidak melulu agar tidak mengulangi kesilapan yang lalu.

Ketokohan Tok Kenali (duduk, kiri sekali) dalam bidang agama
dan semangat juangnya ibarat sebutir permata di tengah lautan.

Berikut adalah kronologi peristiwa-peristiwa silam yang boleh dijadikan iktibar serta pedoman dalam mempertahankan maruah bangsa dan yang paling penting sekali, menegakkan syiar agama:

1821 - Pengepungan askar-askar Siam yang dibantu oleh tentera British ke atas Kuala Kedah telah menyebabkan penentangan rakyat negeri Kedah di bawah pimpinan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II dengan sokongan daripada Tunku Abdullah, Tunku Kudin (Syed Zainal Abidin), Tunku Long Puteh, Tunku Muhammad Saad, Tok Mo Ris, Tok Madi, Dato' Shahbandar Wan Daud, Dato' Pekerma Ali, Tunku Sulaiman, Tunku Anom, Syeikh Abdul Kadir, Tunku Muhammad Akib, dan Syed Hussain Jamalullai.
Sultan Ahmad Tajuddin

1831, 15 Julai - British yang diketuai Kapten Wyllie dan kemudiannya Kolonel Herbert menyerang daerah Naning selepas mengisytiharkan penghulu Naning iaitu Dol Said (Dato' Abdul Said) sebagai penderhaka. Dari pusat pentadbirannya di Taboh, Dol Said serta sokongan dari Seri Menanti, Sungai Ujong, Johol, dan Muar bangkit menentang British yang mendapat bantuan pula daripada Yamtuan Muda Raja Ali dan Syed Sya'aban dari Rembau.
Dol Said

1835 - Si Bongkok, anak kepada Damak, bangun menentang pengaruh British dalam pemerintahan di Tanjung Puteri iaitu nama lama bagi Johor Bahru. Laksamana Daeng Alek dan juga adik Si Bongkok sendiri yakni Panglima Putih berada di pihak yang menyokong British.

1855 - Selain daripada pahlawan-pahlawan Iban seperti Penghulu Asun, Banting, dan Rentap (nama asalnya Libau), Sharif Masahor turut muncul sebagai wira Sarawak apabila menentang perluasan kuasa James Brooke. Sebagai pembesar Sarikei yang berasal dari Kampung Igan di muara Sungai Rajang, Sharif Masahor beserta Datu Patinggi Abdul Ghapur dari Kuching dan Temenggung Hashim dari Sadong seterusnya bertempur dengan Tuan Muda Charles Brooke, yang menerima sokongan daripada pihak Belanda.
Sharif Masahor

1875, 2 November - Ketibaan rombongan J.W.W. Birch di Pasir Salak untuk mengumumkan pengambilan hak memungut cukai oleh Residen British itu sengaja menaikkan lagi kemarahan rakyat. Orang Besar Berlapan Perak dan juga penghulu Pasir Salak iaitu Dato' Maharaja Lela Pandak Lam beserta para pengikutnya iaitu Dato' Sagor, Pandak Indut, dan Sepuntum telah menawarkan diri untuk menamatkan riwayat J.W.W. Birch selepas bermesyuarat dengan Raja Abdullah dan Raja Ismail. Penentangan terhadap pentadbiran British turut disokong oleh Ngah Ibrahim bin Long Jaafar, penguasa daerah Larut.
Dato' Maharaja Lela

1875 - Residen British di Sungai Ujong (Seremban) iaitu P.J Murray masuk campur dalam perbalahan antara Yamtuan Seri Menanti iaitu Yamtuan Antah (nama panjangnya Tunku Laksamana Antah Ibni Almarhum Raja Radin) dengan Dato' Kelana Syed Abdul Rahman dari Sungai Ujong. Yamtuan Antah yang pada awalnya dibantu oleh Dato' Siamang Gagap, bertempur dengan pihak British bagi mempertahankan wilayah jajahan Seri Menanti yang terdiri daripada Ulu Muar, Gunung Pasir, Jempol, dan Terachi.
Yamtuan Antah

1891, 16 Disember - Pembesar Temerloh iaitu Dato' Bahaman (nama penuh Abdul Rahman bin Imam Noh) dan para pengikutnya bertindak menyerang Balai Polis Lubuk Terua yang didirikan oleh E.A Wise, seorang pegawai British. Serangan dilakukan selepas tiga orang pengikut Dato' Bahaman ditangkap kerana kononnya mengutip hasil hutan tanpa kebenaran pihak British sehingga meletuskan peperangan yang melibatkan Dato' Bahaman sendiri, Tok Ku Paloh dari Terengganu, Tok Gajah, dan Mat Kilau menentang Hugh Clifford, J.P. Rodger, dan juga Sultan Wan Ahmad yang diugut British.
Dato' Bahaman

1895, Ogos - Sebelum kemunculan Aki Antanom (Ontoros anak lelaki Endoi) sebagai ketua kaum Murut di Rundum, seorang anak kelahiran Inanam berketurunan Bajau dan Suluk iaitu Mat Salleh (Datu Mohammad Salleh bin Datu Batu) pula merupakan pemerintah Sungai Sugut yang cuba berunding dengan Gabenor Beaufort, C.V. Creagh namun tidak diendahkan. Selepas Syarikat Borneo Utara British (SBUB) membakar kampungnya, Mat Salleh yang dibantu pengikut-pengikutnya seperti Mat Sator dan Kamunta bertindak balas menyerang balik. Pengarah Urusan SBUB, William Cowie terbukti kejam apabila sengaja membuat tipudaya dengan tidak menepati janji dalam urustadbir daerah Tambunan selepas daripada itu.
Mat Salleh

1915, 28 April - Dihantar oleh Pegawai Daerah Pasir Puteh, Sarjan Che Wan ditikam mati dalam percubaannya untuk menangkap Tok Janggut (nama sebenar Haji Mat Hassan bin Munas) yang dituduh gagal membayar cukai kepada penjajah British. Tok Janggut yang dilahirkan di Kampung Jeram, Pasir Puteh tetapi menetap di Kampung Nering, Kelantan selanjutnya bersama-sama Ungku Besar Jeram iaitu Tuan Ahmad, Penghulu Adam, dan Che Sahak Merbol melancarkan serangan ke atas penjajah British dalam menyahut seruan kerajaan Turki Uthmaniyah untuk berjihad.
Tok Janggut

1922 - Setelah berjaya membebaskan 43 orang petani Kuala Telemong yang ditangkap serta didakwa di mahkamah, Haji Abdul Rahman Limbong (Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid) dan termasuk juga Haji Musa Abdul Ghani terus mempertahankan nasib para petani walaupun terpaksa berhadapan dengan Sultan Sulaiman yang didesak oleh kuasa British. Enam tahun kemudian, kebangkitan rakyat Terengganu semakin memuncak sehingga berlakunya peristiwa penawanan balai polis serta bangunan kerajaan di Kuala Berang di samping pertempuran dengan pihak British di Padang Kacong.
Haji Abdul Rahman Limbong

1949, 3 Disember - Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua yang turut menamatkan pentadbiran Dinasti Brooke, seorang wira remaja dari Sarawak iaitu Rosli Dhoby bersama rakan-rakannya Morshidi Sidek, Awang Ramli Amit Mohd Deli, dan Bujang Suntong daripada sebuah organisasi bernama 'Rukun 13' terus berjuang menuntut kemerdekaan daripada penjajah British. Apabila gabenor kedua Sarawak iaitu Sir Duncan George Stewart membuat lawatan ke Sibu, kecederaan teruk yang dialami beliau selepas ditikam oleh Rosli Dhoby membuatnya terbunuh seminggu kemudian.
Rosli Dhoby

Alif, ba, ta. Agama, bangsa, dan tanah air. Semoga Allah merahmati pejuang-pejuang yang syahid di jalan Allah. Tidak lupa juga kepada ibubapa, keluarga, serta masyarakat Muslim secara umumnya.

Merdeka! Mengikut rasul dan yakin kepada Allah.

#MalaysiaBoleh


Rujukan:
cikgurazak.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan