Khamis, 26 Mac 2020

TAKUT

Ittaqullah! Bertakwalah kepada Allah. Takut kepada Allah.

Pengertian bagi takwa secara ringkasnya ialah takut. Mengapa harus takut kepada Allah? Bukankah Allah itu Tuhan yang Maha Baik dan segala yang baik itu datang daripadaNya? Kenapa perlu takut?

Allah adalah Pencipta seluruh alam. Dialah Maha Adil, Maha Bijaksana. Takut kepada Allah maksudnya takut untuk melakukan kejahatan di samping takut sekiranya tidak melakukan kebaikan. Bukan risau yang melampau, tetapi tahu baik-buruk dan mahu ambil peduli. Ini bermakna, takut kepada Allah juga maksudnya berani menghindari kejahatan dan berani pula untuk melakukan kebaikan. Orang yang kononnya tidak takut melakukan kejahatan, telah disediakan azab api yang dahsyat. Di neraka, mahu tidak mahu, akhirnya takut yang disembunyi akan terkeluar juga.

Jika takut kepada makhluk, binatang buas atau serangga berbisa umpamanya, maka terus akan dijauhi daripada makhluk tersebut. Takut yang lain, contohnya kepada pegawai polis. Walaupun tidak bersalah, sebolehnya mahu dielak daripada ditahan melainkan terpaksa berjumpa jika berhadapan dengan masalah jenayah. Akan tetapi, jika takut kepada Allah yang mencipta semua makhluk maka diri (atau lebih tepat, jiwa) semakin terasa hampir kepadaNya.

Takut kepada Allah maknanya dekat dengan kebaikan. Dekat dengan kebaikan maknanya takut kepada Allah. Bertakwalah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan