Isnin, 29 Disember 2014

TAMADUN BANGSA MELAYU

Sebuah tamadun (civilization) adalah hasil satu perjalanan sejarah (history) yang sangat panjang dan bukannya berlaku dalam sekelip mata. Bermula daripada adat (custom), sesebuah masyarakat (society) membangun sehingga mempunyai budaya (tradition) dan seterusnya peradaban (culture) sendiri. Pembukaan sebuah bandar (urban area) pula menjadi titik tolak untuk menentukan hala tuju sesebuah tamadun. Sejarah juga telah menunjukkan bahawa semua peradaban yang besar berasal dari sebuah ibu kota (metropolis) atau negara kota (city-state) yang mempunyai tokoh-tokoh (figures) serta pelbagai peristiwa (events) penting dalam tempoh masa (time frame) yang tertentu. Dikatakan Eridu (kini Tell Abu Shahrain, Iraq) yang pernah didirikan kira-kira antara tahun 5400 sebelum masihi/SM hingga 5301 SM semasa tamadun purba era Sumer di kawasan Mesopotamia (dekat sungai Tigris dan sungai Euphrates) adalah antara bandar tertua di dunia. Lebih tua daripada itu ialah bandar Jericho atau disebut juga Ariha (kini di Tebing Barat, Palestin). Selain diketahui sebagai bandar bertembok yang paling tua di dunia (dianggarkan dibina sejak 7500 SM), Jericho juga dikatakan pernah diduduki oleh bangsa gergasi 'Nephilim'. Betul atau tidak, hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Bumi ciptaan Allah memang sangat indah tapi
janganlah kita pula yang merosakkannya.
Sama-sama kita jaga keindahannya.

Manusia sering bergerak melalui pelbagai jalan samada darat, laut, mahupun udara sebelum menetap di suatu tempat. Apabila beberapa buah rumah membentuk satu petempatan (settlement), kawasan tersebut boleh sahaja berkembang menjadi kampung atau kariah (village), pekan (town), bandar (city), bandar raya (megalopolis), daerah (district), negeri (state), negara (country), rantau (region), benua (continent), dan kemudiannya membawa kita ke seluruh dunia (the whole wide world). Walaupun terdapat beberapa insan yang bercita-cita untuk menduduki angkasa atau planet-planet lain selain Bumi (plane Earth), setakat ini ia hanyalah suatu khayalan kerana hanya tempat hamparan ini sahaja yang sesuai didiami. Bukankah Allah yang meletakkan kita semua di sini? Cuma masing-masing mempunyai peranan dan tanggungjawabnya yang tertentu dan itulah yang sepatutnya menjadi keutamaan.

Untuk memahami cara hidup bermasyarakat dan hubungan sesama manusia, perlu difahami terlebih dahulu beberapa istilah penting yang asas sebelum ia menjadi lebih rumit. Lazimnya, setiap orang dilahirkan dalam sebuah keluarga (family) dan keluargalah yang menjadi pendedahan pertama kepada mana-mana individu tentang kehidupan dalam satu kelompok (group). Keluarga adalah biasanya satu kumpulan yang terdiri daripada seorang bapa, ibu, dan anak-anak yang semuanya mempunyai perkaitan melalui darah keturunan (kecuali bagi pasangan suami isteri yang terjalin melalui perkahwinan). Walaupun barangkali terdapat kes-kes perpecahan dalam keluarga seperti kematian, penceraian, dan sebagainya, kehidupan sebatang kara hanya terjadi selepas kelahiran dan bukan semasa dilahirkan. Kemudian, apabila individu dalam sesebuah keluarga terutamanya di kalangan anak-anak mula berinteraksi dengan individu-individu di luar lingkungan keluarga induk seperti saudara-mara, jiran-jiran, kawan-kawan, dan guru-guru umpamanya, maka pendedahan baru mula diperkenalkan.

Sejurus selepas itu, pendedahan demi pendedahan akan terus berlaku sehinggalah timbul pemahaman-pemahaman baru yang akan dikutip oleh anak-anak tersebut seperti puak (tribe/clan), suku sakat (ethnic), kaum kerabat (race/kinship), dan rumpun bangsa (nation). Secara amnya, puak adalah berdasarkan jalur nasab nenek moyang, suku adalah berdasarkan tempat yakni tempat asal atau tanah air (homeland), kaum adalah berdasarkan rupa paras, warna kulit, atau bahasa ibunda (mother tongue), manakala bangsa adalah berdasarkan kepercayaan atau agama. Dari situ, muncul pula panggilan-panggilan seperti Australian Aborigines, Native Americans, Indigenous MalaysArab Christians, British MuslimsAfrican American, Malaysian Indian, Indonesian ChineseFrench Algerian, Eurasian, Chindian, dan bermacam-macam lagi. Oh, ianya tidak berakhir di situ saja dan bersambung lagi dengan pertanyaan-pertanyaan seperti penyokong kelab bolasepak yang mana, rakyat atau warganegara apa, ahli parti politik apa, sudah berada di sini berapa lama, dan lain-lain. Walhal, bukankah hakikatnya kita semua adalah manusia, Bani Adam yang berdarah merah? Kita boleh jadi sama, tapi tak serupa.

Pelakon Bollywood terkenal, Shah Rukh Khan menerima gelaran 'Datuk'
apabila dikurniakan Darjah Mulia Seri Melaka sempena sambutan Hari Yang
Dipertua Tuan Yang Terutama Negeri Melaka ke-70 pada tahun 2008.
(gambar: thestar.com.my)

Justeru itu, situasi tersebut kian lama menjadi semakin sulit dan bertambah sukar. Padahal, kerumitan tersebut samada sengaja ataupun tidak, ia diada-adakan tanpa ada sebab musabab yang munasabah serta berpunca daripada perangai yang terikut-ikut dengan apa sahaja yang dibuat oleh orang lain. Natijahnya, sudah tidak ramai yang meraikan perbezaan dan lebih sedikit lagi yang cuba mencari titik-titik persamaan. Namun begitu, tiada siapa yang menyuruh agar dibuang identiti masing-masing melainkan dipujuk secara halus yakni rela bukan terpaksa. Krisis identiti hanya berlaku apabila kurangnya kesedaran (awareness) dan ilmu pengetahuan (knowledge) tentang betapa pentingnya rasa bersyukur terhadap berbagai-bagai anugerah pinjaman Ilahi. Siapa ibubapa kita, siapa adik-beradik kita, di mana kita lahir, di mana kita membesar, bagaimana rupa bentuk dan wajah kita, adalah beberapa perkara yang berada di luar kawalan kita. Semuanya sudah ditentukan. Malah, apa yang telah ditentukan itulah yang terbaik buat kita. Andai tiada sifat bersyukur dalam diri, akan hilang jugalah jatidiri (identity) kita.

Sekiranya kita berpijak di bumi yang nyata, pertikaian tentang kewujudan bangsa Melayu (bani Jawi) tidak seharusnya timbul. Sekiranya terdapat juga pihak yang cuba mempertikaikannya, bermakna pihak tersebut langsung tidak ambil peduli tentang rentetan perkembangan sejarah yang terbentang di hadapan mereka. Lebih mengecewakan lagi, tidak mustahil bahawa dalam pihak tersebut turut melibatkan orang-orang Melayu sendiri dan termasuklah golongan Melayu Celup. Agaknya mereka tidak tahu pun siapa diri mereka yang sebenarnya (dan boleh jadi mereka akan berkata "Oh my God, who am I??" selepas ini). Baiklah, inshaaAllah akan diperjelaskan di sini tentang definisi bangsa Melayu dengan harapan semua pihak mampu mendapat pencerahan yang sebaik mungkin. Mudah-mudahan penerangan ringkas yang akan diberikan sedikit sebanyak dapat membantu mereka membuka kedua-dua belah mata untuk melihat dengan lebih jelas serta lebih meluas. Memandangkan cerita sejarah bukan semuanya indah-indah belaka, cerita-cerita yang kurang indah akan disampaikan juga tetapi sekadar untuk memperoleh iktibar. Pandai-pandailah untuk menilai yang mana intan, yang mana permata, walaupun kaca juga ada.

Sebelum bercerita tentang bangsa Melayu, tidak salah rasanya untuk bercerita sedikit tentang beberapa bangsa lain sebagai perbandingan. Kisah sejarah bangsa Irish (sebahagian daripada orang Celts yang dipanggil Gaelic atau Goidelic) didominasi oleh sebuah dinasti yang diketuai oleh Niall Noígíallach, anak kepada Eochaid Mugmedon yang kemudiannya membentuk keturunan Uí Néill (ataupun O'Neill). Niall yang dikenali sebagai Niall of the Nine Hostages oleh orang Inggeris, merupakan seorang raja di Tara, Ireland (dahulunya Ierne atau Hibernia) dari tahun 379 AD/Anno Domini hingga kemangkatannya pada tahun 405 AD. Kisah lagendanya turut dikaitkan dengan seorang pemuda hamba dari Wales yang berjaya meloloskan diri daripada Niall dan kemudiannya menjadi wali penaung (hawari) Ireland iaitu Saint Patrick. Dalam cerita sejarah yang lain pula, nama Michael Collins juga diangkat sebagai perwira bangsa Irish yang terbilang seperti mana William Wallace dan Robert Roy MacGregor bagi bangsa Scots (Scottish).

Lia Fáil (Stone of Destiny) di Bukit Tara, Ireland dahulunya
digunakan sebagai batu pertabalan bagi raja-raja Ireland.

Kisah sejarah bangsa Inggeris (English) pula adalah satu bentuk integrasi yang terjadi dalam satu tempoh yang agak lama. Bangsa Inggeris sebenarnya bukanlah penduduk asal Kepulauan British (Britain atau dahulunya Albion) malah tiada kena mengena dengan orang Beaker pada zaman gangsa. Pada zaman besi, beberapa puak dari tengah Eropah yang dikenali sebagai orang Celts (Brythonic) tiba di Kepulauan British (Wales, Cornwall, & Brittany) kira-kira pada tahun 500 BC/Before Christ. Kemudian, bangsa Romawi (Roman) dari Itali (termasuklah orang Gaul dari Perancis) tinggal selama lebih kurang 400 tahun (semenjak tahun 43 AD) di Kepulauan British yang mereka namakan sebagai Britannia. Sebenarnya, orang Yunani (Greek) dahulu kala memanggil orang Irish sebagai Pretani dan Pretannia sebagai tempat orang Pretani. Dari situlah sebutan Pretannia menjadi Britannia dan lama-kelamaan disebut Britain sahaja. Setelah Romawi keluar, penceroboh dari Denmark dan utara Jerman yakni orang-orang Angles, Saxons, serta Jutes pula menyerbu masuk Britain melalui kapal-kapal perahu dan terjadilah penamaan Angle-land (kini England) sebagai tempat baru mereka.

Terdapat 7 kerajaan pada zaman Anglo-Saxon iaitu Essex, Mercia, East Anglia, Kent, Northumbria (Deira & Bernicia), Sussex, dan Wessex. Adakah seorang raja yang bernama Arthur Pendragon (King Arthur of Camelot) benar-benar wujud? Ia memang wujud, tapi hanya dalam bentuk sastera yang entah betul atau tidak ada kaitan dengan Lucius Artorius Castus. Malah, Brutus (Brute of Troy) yang kononnya pengasas Britain pun tidak banyak bukti sejarah tentangnya. Begitu juga dengan Lud, seorang raja yang dikaitkan dengan asal usul penamaan kota London (Plowonidonjon). Pada abad ke-9, tokoh yang diiktiraf sebagai raja yang memulakan monarki Inggeris ialah Alfred (Alfred the Great), anak kepada isteri Æthelwulf dan dianggap cucu bagi Egbert. Perebutan takhta sering terjadi bahkan beberapa orang Norse (Viking) yang berasal dari Denmark juga pernah menjadi raja, salah seorangnya ialah Canute (Cnut the Great). Nama-nama lain yang masyhur sebagai raja (atau ratu) England termasuklah Æthelstan, Eadweard (Edward the Confessor), William I (William the Conqueror), John "Lackland" Plantagenet, Richard I (Richard the Lionheart), Elizabeth I, dan Anne (yang telah memulakan monarki British sehingga ke hari ini). Tidak ketinggalan, Oliver Cromwell adalah individu yang bertanggungjawab menumbangkan monarki Inggeris buat sementara waktu sebelum tempoh monarki tersebut bersambung semula.

Pewaris kerabat diraja British, Putera William di samping isterinya
Kate Middleton semasa lawatan ke Kuala Lumpur pada tahun 2012.
(gambar: heraldsun.com.au)

Satu lagi kisah sejarah yang boleh dibandingkan ialah bangsa Cina. Asalnya terdiri daripada pelbagai etnik yang berpecah-belah samada Hokkien, Kantonis, Teochew, Hakka, Hainan, Hokchiu (Hockchia/Fuzhou), Kwongsai, dan sebagainya, mereka akhirnya telah berkembang menjadi sebuah bangsa yang besar dengan adanya perpaduan. Tatkala bangsa Melayu hidup dalam dunia yang dipanggil Alam Melayu (atau Pascabima), bangsa Cina atau Zhonghua minzu (Chung-hwa/Tionghoa) juga mempunyai dunia mereka yang tersendiri yang dipanggil Huaxia. Tokoh yang paling berpengaruh dalam sejarah mereka sudah tentu tidak lain dan tidak bukan ialah Yingzheng. Lebih dikenali sebagai Qin Shi Huangdi, Yingzheng telah menjadi Maharaja kepada sebuah negara bangsa (yakni Zhongguo, Tiongkok, atau China) yang berjaya disatukan selepas peperangan antara 7 buah negeri semasa zaman dinasti Zhou (Chou). Dinasti Zhou yang berpusat di Xi'an (Chang'an) adalah kesinambungan bagi dinasti yang sebelumnya iaitu Shang dan dinasti yang lebih lama lagi iaitu Xia. Pada tahun 221 BC, dinasti Qin selanjutnya mengambil tempat apabila negeri Qin di bawah pimpinan Yingzheng dapat menakluki negeri-negeri lain iaitu Qi, Chu, Yan, Han, Zhao, dan Wei. Tembok Besar China juga mula dibina semasa zaman pemerintahan dinasti Qin.

Walaupun begitu, Han menjadi kumpulan etnik terbesar apabila Liu Bang (yang diberi gelaran Maharaja Gaozu) muncul sebagai ketua pemberontak yang berhasil menumbangkan dinasti Qin untuk digantikan dengan dinasti Han. Orang Han juga menganggap bahawa mereka adalah keturunan Yandi (Flame Emperor/Shennong) dan Huangdi (Yellow Emperor/Xuanyuan-shi). Apabila dinasti Qing (dinasti Manchu) berakhir pada tahun 1912, China tidak lagi mempunyai dinasti selepasnya. Selain itu, bahasa piawai yang digunakan dalam penulisan disebut Hanyu (atau Zhongwen) berdasarkan aksara atau karakter Cina yang dikenali sebagai Hanzi. Dialek dari Beijing (dahulu Peking) yakni Mandarin (Guanhua/Beifanghua) pula menjadi bahasa baku bagi percakapan. Kalau cheongsam (qipao) berasal dari Manchuria, Hanfu secara khusus adalah pakaian tradisi orang Han dan juga warga China dahulukala umumnya. Terdapat juga orang-orang Cina yang beragama Islam, mereka dinamakan sebagai Hui. Hui tidak sama dengan etnik Uyghur, yang juga beragama Islam. Sekadar untuk disebutkan di sini, nama-nama seperti Fuxi (Fu-hsi), Laozi (Lao-Tze), Lie Yukou, Sun Tzu, Confucius (Kong Qiu), Xu Fu, Liu Bei, Guan Gong (Guan Yu), Xuanzang (Chen Yi), Hua Mulan, Mi Heng (Zhengping), Howqua (Wu Bingjian), Wu Zetian, Zheng He (Cheng Ho), Sun Yat-sen, Chiang Kai-shek, Mao Zedong, Deng Xiaoping, Fong Sai-yuk, Wong Fei-hung, Yip Kai-man, Stephen Chow Sing-chi, Jack Ma (Ma Yun), apatah lagi Bruce Lee merupakan tokoh-tokoh yang sangat terkenal bukan sahaja di China tetapi juga hingga ke seluruh dunia.

Jackie Chan dari Hong Kong, China juga menerima gelaran
'Datuk' apabila dikurniakan Panglima Mahkota Wilayah
pada 1 Februari 2015 sempena Hari Wilayah.

Maka, berdasarkan cerita-cerita beginilah yang membolehkan bangsa-bangsa seperti Irish, Inggeris, Cina, mahupun yang lain-lain mempunyai keyakinan terhadap diri mereka sendiri. Sekiranya pencapaian dan sejarah mereka terpadam, maka kewujudan mereka juga seolah-olah telah hilang bersama. Begitu jugalah bagi bangsa Melayu. Setelah sekian lama, bangsa Melayu sering kali ditipu hidup-hidup oleh para penjajah dan para pendatang asing bahawa sejarah Melayu kononnya tidak pernah wujud. Padahal, keris (di samping parang, golok, badik, pedang jenawi, tombak, dan juga lembing) sudah lama menjadi senjata simbol kebanggaan pendekar serta pahlawan Melayu, malah lebih hebat lagi adalah pemuras (blunderbuss), istinggar (flintlock musket), terakol (pistol), dan meriam-meriam seperti lela, rentaka, ekor lotong, jala rambang, serta tahan turut. Walaupun segala bukti pencapaian dan sejarah wangsa (dinasti) Mala cuba disorokkan, digelapkan, malah diselewengkan, bangsa Melayu dengan izin Allah akan menjumpai kebenaran apabila berbekalkan iman, ilmu, amal, serta takwa.

Berbalik kepada cerita bangsa Melayu, sebutan yang asal ialah "Malayu" tetapi "Melayu" telah menjadi kebiasaan sejak penggunaan tulisan Rumi yang menggantikan tulisan Jawi. Tulisan Jawi adalah tulisan yang diambil daripada huruf-huruf bahasa Arab serta ditambah dengan beberapa abjad baru. Sebelum tulisan Jawi digunapakai, bangsa Melayu pernah menggunakan tulisan-tulisan seperti Pallava (Pali), Kawi, Gangga Malayu, dan Rencong. Lebih kurang sezaman dengan tulisan-tulisan itu juga, bangsa Melayu turut mempunyai aksaranya yang tersendiri yakni tulisan Kunlun (Melayu Lama) atau sebutannya yang lain, Kolan. Tidak kiralah Bahasa Malaysia (bahasa kebangsaan Malaysia) atau Bahasa Indonesia, bahasa Melayu sebenarnya mempunyai sejarah yang sangat menakjubkan dan telah berevolusi mengikut perkembangan zaman. Zaman-zaman tersebut juga telah diwarnai dengan jatuh bangunnya para penguasa serta pemimpin yang bersilih ganti. Jika cerita pra-sejarah tidak mahu diambil kira, maka kewujudan sebuah benua yang dinamakan "Mu" atau Lemuria (yang juga salah satu daripada leluhur bangsa-bangsa di dunia di samping ethereal, Hyperborea, Atlantis, dan Aryan) sudah pasti akan diperdebatkan. Begitu juga dengan tamadun Pentas Sunda (Sundaland) yang hilang kira-kira 16,000 tahun dahulu. Oleh itu, ambil sahaja sejarah yang sudah tercatat dengan kemas dan masih tersimpan rapi dalam lembaran sejarah.

Sayang sekali apabila tulisan
Jawi semakin dilupakan.

Jangan buat-buat lupa, sebelum pembentukan negara Malaysia yang bertunjangkan negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) adalah sebahagian daripada sejarah silam yang agung. Kesultanan Melaka (Malacca) namanya begitu gah sehingga dikatakan boleh menyaingi kehebatan sebuah republik yang terkemuka di Itali iaitu Venice. Sebelum itu pula, Kedatuan Srivijaya (Sribuzza/ Syarbazah) pernah menguasai hampir keseluruhan kepulauan Melayu dengan megahnya. Sayangnya buku-buku sejarah di sekolah terhenti di situ sahaja. Padahal, terdapat banyak lagi yang boleh diceritakan. Antaranya, Raktamrittika (Chi Tu/ Medang Kamulan/ Medan Gana/ Nusa Medan/ Kunjarakunja/ Kalathana), Kusadwipa, Jawadwipa (Yawakoti/ Jawa Kotti), Kunlun (Segenting Kera), Arimadana, Dwarawati (Dvaravati/ Dwaraka), Haripunjaya (Haribhunjaya/ Hariphunchai), Tanjungpura (Kuangwan), Valai Penjuru (Medang Bhumi/ Amdan Negara/ Tanah Seri Indah Sekebun Bunga Cherang Tegayong/ Imbang Jaya/ Kisaran Payung), Hujung Tanah, Funan (P'an P'an/ Phnom), Chenla (Zhenla), Thanathana (Tan Tan), Kuli (Inderapura), Jembal, Sampugita (Sang Bunga Gita), Jawaka-Malayur (Javaka/ Wak-Wak/ Zabag/ Sabak), Chermin-Jiddah, Kahuripan, Majapahit, Grahi (Chaiya/ Cahaya/ Jaya), Terang (Trang), Patani Darul Makrif (Petani/ Fathani), Reman (Yala/ Jalor), Legeh, Kathana (Kadaram/ Kataha/ Ketah/ Kedat), Langkasuka, Gangga Negara (Beruas/ Dinding), dan Ligor (Tambralinga/ Nagara Sri Dharmaraja).

Sambung lagi, Tumasik (Mahasin/ Pulau Ujong/ Salahit), Boni (Poli), Segati, Gasib, Banjar Mahasin (Banjarmasin), Toupo (Shopo), Maharlika, Minanga Tamwan, Dharmasraya (Bhumi Malayu), Siguntur, Pagaruyung Darul Qarar (Malayapura), Indragiri, Kandali (Kantoli/ Kuntala), Singgora (Songkhla), Merdelung (Berdelung/ Phattalung), Wentan, Kambujadesa, Kembayat Negara (Champa/ Champaka Sari/ Vijaya/ Lam Ap/ Lin Yi), Kauthara (Nha Trang), Panduranga, Peureulak (Perlak), Samudera-Pasai, Lamuri, Acheh, Kualuh, Panai, Demak, Riau-Lingga, Langkat Darul Aman, Deli Darul Maimon, Serdang Darul Arif, Asahan, Sulu Darul Jambangan, Bulungan, Siak Sri Indrapura, Khemra Hilir, Khemra Hulu, Seludong (Maynila), dan Genggayu (Air Jernih/ Klang Kio/ Langyu/ Linggiu/ Gelanggi/ Hamparan Permata/ Wurawarai) adalah antara kerajaan-kerajaan lama yang mempunyai kisah sejarahnya yang tersendiri. Maka, tidak ramai yang sedar atau tahu bahawa sebelum mahupun selepas empayar Srivijaya terdapat pelbagai lagi ketamadunan di rantau Asia Tenggara yang mungkin setanding dengannya jika tidak lebih hebat daripadanya.

Dari sudut keagamaan pula, bangsa Melayu akhirnya telah kembali kepada satu-satunya kepercayaan yang menyembah Tuhan yang satu yakni tauhid (ad-Din) setelah beratus-ratus tahun bergelumang dalam kejahilan. Walaupun begitu, bangsa Melayu sehingga kini masih lagi bergelut untuk memastikan ajaran Islam yang dianuti benar-benar bebas daripada anasir-anasir keagamaan saki-baki zaman dahulu yakni KapitayanHinduBuddha, Animisme, mahupun Dinamisme. Semoga anak-anak keturunan bangsa Melayu (dan harapnya lain-lain bangsa juga) terus diberi taufik dan hidayah oleh Allah subhanahu wa ta'ala agar selamat bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat juga.

Alam Melayu menjadi sebahagian daripada Dunia Islam.

Persoalan yang paling penting di sini ialah, siapakah orang Melayu? Mari kita sama-sama rungkaikan satu persatu. Pertama, bahasa menunjukkan bangsa. Sebab itulah tidak kira banyak mana pun bahasa yang dikuasai, percakapan sehari-hari yang dituturkan terutamanya di rumah dan semasa membesar hingga menjadi dewasa tetap menjadi bahasa utama (first language). Bagi orang Melayu, bahasa Melayu adalah bahasa piawai yang menjadi penghubung sesama mereka walaupun terdapat pelbagai jenis loghat atau dialek mengikut kawasan setempat. Kedua, tidak dapat dinafikan juga bahawa orang Melayu sememangnya boleh dibezakan dengan bangsa-bangsa lain apabila dilihat dari segi keturunan. Seperti yang sedia maklum, anak-anak tidak dapat menentukan keturunan mereka sendiri. Akan tetapi, setiap ibubapa mestilah bertanggungjawab dalam membuat pilihan. Sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga serta membina keluarga, pilihlah pasangan yang sesuai dengan mengambil kira faktor agama, yang boleh membawa kepada keselamatan dunia serta akhirat.

Jika berlakunya kahwin campur antara orang Melayu dengan bangsa lain, keturunan mereka tidak lagi dikategorikan sebagai Melayu hanya apabila mereka tidak memeluk agama Islam walaupun sangat fasih berbahasa Melayu. Tanpa Islam, amalgamasi ini telah membentuk masyarakat baru iaitu golongan Peranakan yang terpecah kepada tiga kumpulan yakni Serani (Papia Kristang, Gente Kristang, atau Gragok), Baba Nyonya (Cina Selat), dan Chetti (Chitty atau Keling). Berbeza dengan golongan Syed (kacukan Arab) dan Jawi Pekan (termasuklah Chulia atau Mamak/Mamu Mami) yang hidup sebagai Muslim, golongan Peranakan umumnya tidak termasuk dalam bangsa Melayu ketika lahir. Dengan sebab itu juga, kumpulan-kumpulan etnik di Nusantara yang lazimnya tidak menganuti Islam seperti Pyu, Mon, Khmer, Dayak (Iban, Bidayuh, Kelabit, Apokayan/Kayan, Kenyah, Bahau, Sabup, Sipeng, Penan, Punan Bah, Selako, Bukitan/Baketan, Ukit, Lun Bawang-Dayeh, Iban Merotai, Murut, Tidong, dan Tagaas), Saban/Merau, Lakiput/Long Kiput, Dalek/Dali, Kadazan-Dusun/Mamasok, Dumpas, Idahan/Ida'an, Kwijau, Lotud, Mangka'ak, Maragang/Kimaragang, Minokok, Rumanau, Rungus/Momogun Rungus, Orang Sungai, Tambanuo, Tatana, Tobilung, Batak (Alas, Kluet, Karo, Pakpak, Simalungun, dan Toba), Kajang (Sekapan, Kejaman, Lahanan, Punan, Tanjong, dan Kanowit), Lugat, Lisum, Sian/Sihan, Tabun, Berawan, Kiput, Tering, Tabun, Bakong, Miriek, Lirung, Tebalau, Narum, Bagobo, Urak Lawoi', Papua/Irian, Banda, Manado/Minahasan, Bali, Ambon, Bacan, Kupang, Igorot, Bontoc, Ifugao, Tingian, Tagalog/Tagal, Papango, Ilocano, Zambales, Cagayan, Bicol, Visayan/Bisaya, Pangasinan, Toraja, Yami/Tao, Lao, Burma/Bamar, Siam/Thai, Tai/Dai*, Viet/Kinh, Shan, Chamorro, Churu, dan sebagainya (Malagasy, Maori, Dayak Merah) tidak termasuk dalam bangsa Melayu. Mereka setakat diiktiraf sebagai sebahagian daripada golongan Pribumi (Bumiputera dalam konteks Malaysia maksudnya lain) sahaja sekiranya bukan Muslim.

Fungsi kampung sebagai petempatan orang Melayu bukan sahaja
telah mewujudkan suasana yang harmoni dengan alam sekitar tetapi juga
sebagai penanda aras yang baik bagi konsep kehidupan yang menepati syariat.

Seandainya mahu melihat dari sudut genetik, istilah orang Asal atau 'orang Asli' sebenarnya merujuk kepada asal-usul nenek moyang orang Melayu. Ini bermakna, bangsa Melayu (Melayu Campur/Melayu Deutro/Orang Baruh) adalah hasil asimilasi daripada beberapa kumpulan nomad orang Asli iaitu Semang (Negrito/Sakai), Senoi (Veddoid/Mani), dan Melayu-Proto (Mongoloid/Moken). Mengikut cerita pra-sejarah, dikatakan terdapat sebuah lagi kumpulan yang dipanggil 'Kahazi' (Bota/Rakshasa/Dinagat) yakni orang gergasi namun setakat ini belum ada fakta jelas yang boleh membuktikan kesahihannya. Orang Semang terpecah kepada beberapa kumpulan lagi iaitu Kensiu (Tonga/Mos/Maniq), Kintak (Kintaq/Kentaq Bong), Lanoh, Jahai (Jehai/Jedek), Mendriq (Medrique/Minriq), dan Bateq (Batek Deq/Batek Nong). Orang Senoi (Sengoi/Sng'oi) pula terdiri daripada Che Wong, Mahmeri, Jah Hut (Jahut), Semoq Beri (Semaq Beri), Semai, dan Temiar (Ple-Temer) manakala orang Melayu-Proto (Melayu Tulen) terdiri daripada Orang Kuala (Orang Laut/Urak Lawoi/Selung/Desin Dolak/Duano'), Orang Kanaq, Orang Seletar (Slitar/Selitar/Kallang), Jakun (Orang Ulu), Semelai, dan Temuan. Terdapat juga kumpulan-kumpulan orang Asli (Orang Darat/Benua) yang kurang dikenali seperti Besis, Jah Chong, Beri Nyeg (Jo-Ben), Temoq, Mintil (Batek Tanum), Wila' (Bila'), Semnam (Semnan), Sabiim (Sabum), Orang Sabimba, Orang Tambus (Tambusa), Orang Pago, Orang Gunong, Orang Binua (Udai, Mintira, dan Besisi), Orang Akik, Orang Rimba (Orang Gugu, dan Orang Kubu), Moklen (Moklem), Orang Sireh, dan juga Orang Lanta.

Kemudian, pembentukan bangsa Melayu mula berlaku apabila sumber ekonomi mula beralih daripada pemburuan haiwan dan pengutipan hasil hutan kepada aktiviti penangkapan ikan dan juga pertanian, sebelum ke sektor awam dan perkilangan. Pembentukan sebuah bangsa besar ini turut diperkukuhkan lagi selepas kedatangan dakwah Islam. Sekiranya persaudaraan Muslimani (Bosniak, Gorani/Goranci, Pomaks, dan Torbes/Torbesh) terjalin di Bosnia, Bangsamoro (Maranao, Maguindanao/Magindan, Iranun/Illanun, Tausug/Suluk, Yakan, Sama, Sangil, Kaagan, Kolibugan, Palawan/Panimusan, dan Molbog) sebagai rumpun Melayu pula hadir di Filipina hasil gabungan beberapa kumpulan yang bersuku-suku menjadi sebuah kaum besar atas dasar tauhid. Begitu jualah yang terjadi kepada bangsa Melayu yang jauh lebih luas dan kini merangkumi berbilang suku bangsa. Yang utama di semenanjung Tanah Melayu (Nusa Kencana) adalah Melayu Jati iaitu Johor/Singapura, Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan (termasuk Biduanda/Blandas/Mantra), Pahang, Perak, Selangor/Kuala Lumpur, dan Terengganu. Melayu Seberang/Dagang pula antaranya ialah Aceh, Banjar, Bawean/Boyan, Bugis, Makassar, Mandar, Jawa, Sunda, Kampar, Kerinchi, Mandailing, Angkola, Singkil, Pattani, Cham, Riau, Rejang, Jambi, Palembang, Deli, Minangkabau, Rawa/Rao, Brunei, Kedayan/Kadaian, Belait, Tutong, Sarawak, Sabah, Melanau/A-likou, Sama-Bajau/Palauh (Kagayan/Jama Mapun/Cagayan, Ubian, Simonol/Simunul, serta Sibutu), Binadan, Bengkulu, Ternate, Kutai, Bangka, Berau, Betawi, dan Moro yang berada di sekitar kepulauan Melayu. Sayang sekali apabila ramai juga di kalangan Melayu Diaspora (seperti Cape, Cocos, Merina, Betsileo, Pashu, Ja Minissu, Jomon, dan lain-lain) yang bertebaran di seluruh pelosok dunia sudah agak terpisah, bukan sahaja dari sudut geografi tetapi adakalanya dari segi agama juga.

Bumi Melayu sudah merdeka tetapi
minda bangsanya masih terjajah.

Apa yang ingin disimpulkan di sini ialah bangsa Melayu (kebanyakannya) belum lagi sedar bahawa ia masih lagi terbelenggu diikat penjajahan. Apabila Perang Dunia Pertama dan Kedua dengan liciknya dicetuskan supaya negara-negara moden wujud dibatasi sempadan-sempadan antarabangsa yang ada pada hari ini, konsep 'pecah dan perintah' memang telah lama digunakan secara terang-terangan bagi tujuan penindasan. Konsep "globalisasi" (Tata Dunia Baru) yang dilaung-laungkan pula hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja dan yang lemah dipijak-pijak dengan sewenang-wenangnya. Oleh yang demikian, kezaliman yang berlaku tidak boleh lagi ditangani dengan konsep 'kebangsaan' yang rapuh. Bangsa Melayu sudah pasti akan ketinggalan sekiranya tidak memandang ke arah masa hadapan. Masa hadapan yang dimaksudkan adalah persaudaraan sesama Muslim, yakni berpegang kepada tali Allah. Hanya dengan cara ini, barulah manusia sejagat boleh hidup sebagai ummah (bermasyarakat). Selagi tiada usaha dan tenaga yang dikerahkan untuk hidup serta mati demi Islam, selagi itulah orang-orang Muslim hanya akan dikenali sebagai 'berketurunan Muslim' dan bukannya Muslim yang benar-benar mahu beriman. Tanda seseorang Muslim itu mahu beriman adalah dengan mengamalkan konsep 'ihsan' yakni mentaati Allah sepanjang masa, setiap masa. Menjunjung dua kalimah syahadah 24 jam setiap hari, 7 hari setiap minggu.

Pada kurun atau abad ke-21 (21st century) ini, kehidupan manusia kelihatan semakin terkebelakang walaupun dikelilingi dengan pelbagai teknologi canggih seperti Internet, telefon pintar, keretapi laju, satelit, malahan nanoteknologi pun sudah ada. Pada dasarnya, bandar-bandar di serata dunia memang nampak maju dari segi luaran namun sentiasa sahaja diselubungi dengan berbagai-bagai masalah tak kiralah samada dalam bentuk pencemaran alam sekitar, jenayah, keganasan rumahtangga, rasuah, pecah amanah, kesesakan lalu lintas, pengangguran, kemiskinan, kebuluran, wabak penyakit, penyalahgunaan dadah, perang saudara, dan banyak lagi. Semuanya disebabkan oleh tangan-tangan manusia sendiri yang amat mementingkan faktor materialistik semata-mata.

Hatta, tidak hairanlah jika di mana-mana pun kini sudah ramai yang sangat berbangga memakai seluar jean atau skirt yang seksi, amat mengagung-agungkan Bahasa Inggeris sehingga mengabaikan bahasa sendiri, dan terlalu bergantung kepada minyak petrol yang tidak mesra alam untuk menggerakkan kenderaan seperti kereta dan motosikal. Ini berlaku lebih-lebih lagi semenjak zaman peralihan di mana rata-rata penduduk dunia meninggalkan terus cara hidup tradisional dan bertukar kepada gaya hidup moden. Sewaktu menginjak ke alaf baru (new millennium), nilai-nilai murni seolah-olah tidak lagi dititikberatkan sehingga budi pekerti (common courtesy) dan akal budi (common sense) semakin hilang dari pandangan. Entah bagaimanalah nasib generasi-generasi yang seterusnya. Meskipun begitu, alangkah baiknya jika masing-masing dapat berubah sebelum keadaan menjadi lebih parah pada masa hadapan.

Presiden Amerika Syarikat ke-44, Barack Hussein
Obama ketika melawat Malaysia pada tahun 2014.
(gambar: thestar.com.my)

Ada satu lagi persoalan besar yang harus ditanya di sini. Adakah kita benar-benar ikhlas dalam menegakkan kebenaran dan menyemai kebaikan? Sekiranya kita betul-betul ikhlas, maka sifat tersebut tidak boleh lahir daripada perasaan benci yang melampau. Sebaliknya, ikhlas hadir dari dalam hati yang mahu mengenang budi (right-minded). Ada telinga, dengar (hear, not just listen). Ada mata, lihat (see, not just look). Anggaplah keadaan di sekeliling kita sebagai cermin untuk mencermin diri dan bukannya kaca untuk melihat kekurangan atau keburukan orang lain. Apatah lagi kita semua lemah dan tiada daya upaya melainkan dengan pertolongan Allah. Moga-moga kita tergolong dalam golongan yang berkasih sayang. Berkasih sayang bukan sebab lain tetapi semata-mata kerana ingin mengenang budi kepada yang Maha Esa. Ingatlah, segala yang baik itu datangnya daripada Allah subhanahu wa ta'ala. Dialah Tuhan seluruh alam. Maha Suci Allah, Pencipta langit dan bumi serta segala isi di dalamnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan