Sabtu, 31 Januari 2015

KECELARUAN YANG MENYEBABKAN KEKELIRUAN

Menurut 'Pusat Rujukan Persuratan Melayu' melalui laman sesawang Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (http://prpm.dbp.gov.my/default.aspx), takrifan bagi perkataan "celaru" adalah tidak tentu arah, tidak keruan, atau kacau-bilau manakala perkataan "keliru" pula adalah salah pengertian, silap, tidak benar, atau sesat. Orang Melayu seringkali keliru apabila mereka semakin bercelaru memikirkan samada mereka telah menjadi layu hanya disebabkan nama Melayu itu sendiri. Padahal, tidakkah mereka ketahui bahawa orang Melayu sebenarnya adalah bangsa Mala yang sebetul-betulnya disebut sebagai Malayu dan bukannya Melayu? Namun, selagi mana kecelaruan minda terus berlaku maka selagi itulah kekeliruan tentang asal-usul keturunan Keturah ini akan berlanjutan.

Baiklah, bagi mengatasi serba sedikit kekeliruan yang sedang terjadi, ingin dikongsikan di sini beberapa punca masalah yang menimbulkan kecelaruan. Punca yang utama adalah kejahilan tentang ilmu tauhid yakni ajaran Islam. Walaupun orang Melayu secara zahirnya memeluk syariat Islam tetapi umumnya mereka masih lagi belum berupaya untuk menterjemahkannya dalam keseluruhan kehidupan samada kapasiti sebagai individu, keluarga, mahupun masyarakat. Di sebalik usaha hebat mengadakan ceramah-ceramah agama yang disampaikan secara meluas di serata negara oleh para pendakwah ternama seperti Ustaz Ismail Kamus, Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Kazim Elias, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Ustaz Dr. Ridhuan Tee, Ustaz Farid Ravi, Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman, Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, dan lain-lain, rakyat Malaysia masih belum mampu berbahasa Arab. Memanglah tidak salah bertutur dalam bahasa Melayu tetapi sekiranya bahasa Inggeris boleh diangkat sebagai bahasa Internet, kenapa bahasa Arab tidak diangkat sebagai bahasa ummah dan lebih penting lagi sebagai bahasa mempelajari al-Quran? Oleh sebab itu, janganlah hairan mengapa setelah lebih 50 tahun merdeka, orang-orang Cina, India, Iban, Kadazan, dan sebagainya masih ramai yang belum mengenali Islam apatah lagi menganutinya. Mana tidaknya, orang Melayu yang lahir dalam keluarga Muslim pun masih keliru yang mana selamat, yang mana keganasan, yang mana sejahtera, yang mana melampau.

gambar: Masjid Negara, Kuala Lumpur

Punca masalah yang seterusnya adalah ketidakpedulian tentang sejarah silam. Mungkin ramai yang akan mempertikaikan isu ini. Sejarah masa lampau selalu sahaja dipandang enteng kerana kononnya tidak memberi apa-apa manfaat. Ia dianggap remeh kerana perkara tersebut telah pun berlalu dan tidak mempunyai peranan langsung pada masa sekarang mahupun pada masa hadapan. Sekalipun mereka tidak yakin bahawa sejarah mungkin berulang, sebenarnya mereka tidak sedar telah terlepas pandang akan sesuatu. Perkara apakah itu? Apalagi kalau bukan kisah-kisah para nabi dan rasul, terutamanya sirah Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Jika ditanya tentang Mesir, adakah firaun dan piramid yang timbul di benak fikiran ataupun teringat peristiwa Nabi Musa alaihi salam di Gunung Sinai? Sedar atau tidak, mahu tidak mahu, sejarah telah pun membuktikan bahawa ia tidak hilang ditelan zaman begitu sahaja. Masa dan tempat tidaklah sangat menjadi persoalan, soalnya adakah pengajaran daripada cerita sejarah diambil sebagai pedoman? Sekiranya antara firaun dan Nabi Musa alaihi salam pun masih keliru siapa yang berada di pihak yang benar maka betullah buta sejarah menjadi salah satu punca kecelaruan.

Boleh jadi ada banyak lagi punca kecelaruan yang menyebabkan kekeliruan khususnya orang Melayu sebagai penduduk majoriti Muslim di Malaysia tetapi terdapat satu lagi punca masalah yang ingin dinyatakan di sini. Punca yang dimaksudkan tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah penyalahgunaan istilah-istilah tertentu dalam urusan harian. Penyalahgunaan ini juga telah berlarutan sejak sekian lama dan tidak wajar dibiarkan lagi selepas ini. Malah, artikel ini juga sukar untuk tidak turut terjebak. Sebagai contoh, penggunaan perkataan "sembahyang" mempunyai kaitan dengan kepercayaan animisme dahulukala iaitu "hyang" yang tidak menonjolkan makna sebenar yang difahami kini. Selain itu, perkataan "sunat" bagi orang Melayu sekarang mempunyai dua makna iaitu 'berkhatan' dan 'ibadat yang digalakkan'. Kadangkala perkataan "sunat" turut terkeliru sebagai "as-Sunnah" walaupun pada dasarnya berbeza. Lebih memusykilkan, telah muncul perkataan-perkataan mengenai konsep Islam tetapi langsung tidak difahami oleh orang-orang di Tanah Arab. Rupa-rupanya kebanyakan perkataan tersebut didapati dicedok daripada bahasa Sanskrit dengan pengaruh Hindu serta Buddha. Oleh yang demikian, sekiranya boleh, adalah disarankan agar perkataan-perkataan yang lebih tepat digunakan bagi menggantikan istilah-istilah lama supaya kecelaruan yang lebih besar dapat dielakkan. Walaupun banyak juga perkataan yang tidak salah digunakan (seperti merdeka yang asalnya maharddhika), berikut adalah sekadar cadangan beberapa contoh istilah lama yang boleh ditukarkan (atau berselang-seli) kepada perkataan yang lebih tepat:
  • sembahyang - solat
  • sunat (masuk Jawi) - berkhatan/khitan/khatna
  • sunat (ibadat yang digalakkan) - mustahabb
  • harus (perkara yang dibolehkan) - mubah
  • puasa (upavasa) - siyam/sawm
  • derma (dharma) - sadaqah/sedekah
  • pahala (phala) - sawab/ajr/hasanat
  • dosa (dvesha) - 'ithm/isyan/dzanbun/rijs/jirm/lamam/sayyi'ah/maksiat 
  • syurga (svarga) - jannah
  • neraka (naraka) - jahiim/jahannam/an-nar
  • bidadari (vidyadhari) - hur/huriyah
  • pertiwi (prithvi) - ardh/bumi
  • ruang solat (prayer room) - musolla
  • surau - masjid
  • rumah ibadat - tempat penyembahan
  • anak haram - anak luar nikah/anak tidak sah taraf
  • pendatang haram - pendatang asing tanpa izin
  • jantung hati - qalb/kalbu

Doktrin atau ideologi Islam adalah amat mudah dan jelas. Tuhan hanya satu, bukannya tiada dan bukan pula banyak sembahan. Allah adalah Pencipta seluruh alam. Manusia dicipta untuk menyembah Allah dan setiap insan diberi tanggungjawab untuk memakmurkan Bumi ini. Nasihat dan galakan kepada perkara-perkara kebaikan sudah semestinya perlu diberi tumpuan berbanding paksaan dan hukuman terhadap sesiapa jua. Berserah diri kepada Allah, percaya kepada Allah, dan berbuat baiklah sesama kita. Moga-moga kita sentiasa takut untuk melakukan kejahatan (melanggar perintahNya) namun sentiasa harap agar diberi kebaikan dunia serta akhirat oleh Allah subhanahu wa ta'ala. Segala salah dan silap harap dimaafkan. Harap-harapnya jangan lagi celaru atau keliru selepas ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan