Isnin, 17 Oktober 2016

SEJARAH BARU TIDAK MEMADAMKAN YANG LAMA

Secara amnya, rumpun Melayu (Kunlun/Mala/Bani Jawi) yang terdiri daripada beberapa suku bangsa merupakan penduduk pribumi bukan sahaja di Semenanjung Tanah Melayu (Malay Peninsula) bahkan di seluruh Kepulauan Melayu (Malay Archipelago). Ini adalah satu fakta yang tidak boleh dinafikan lagi. Buktinya, lihat sahaja kepada batu-batu bersurat mahupun manuskrip-manuskrip yang menyimpan pelbagai sejarah purbakala. Allah subhanahu wa taala yang mencipta segala kejadian dan merupakan satu-satunya Pemilik mutlak sekalian alam telah mengamanahkan sebahagian kawasan yang terletak di rantau Asia Tenggara (Nusantara/Pascabima) kepada bangsa ini sebagai suatu tanggungjawab. Seperti mana bangsa-bangsa lain, bangsa Melayu sebagai tuan rumah turut diberi tempat berpijak untuk melaksanakan segala perintahNya agar setiap individu tidak menzalimi dirinya sendiri (termasuklah kaum kerabat dan saudara-mara) dan tidak pula menzalimi orang lain (para tetamu). Berpandukan wahyu al-Quran yang diturunkan oleh Allah melalui Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, mudah-mudahan cahaya Islam dapat menerangi hati orang-orang yang bukan setakat percaya tetapi yakin dengan sesungguhnya (yakni beriman serta beramal soleh), tidak kiralah samada di kalangan bangsa Melayu atau pun bukan.

Masa yang lepas telah pun berlaku. Masa hadapan, hanya Allah yang tahu. Masa yang ada ini pula cukup pantas berlalu. Itulah lumrah kehidupan. Muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, sihat sebelum sakit, dan hidup sebelum mati. Lima perkara sebelum lima perkara. Masing-masing bebas untuk melakukan apa sahaja. Bebas juga untuk tidak melakukan apa-apa. Kesannya, sendiri buat sendirilah tanggung. Allah Maha Adil. Tuhan tidak zalim, tidak pernah zalim dan tidak akan zalim. Manusialah yang selalu menzalimi diri atau lebih teruk lagi, menzalimi makhluk lain. Jika dilihat pada sejarah, banyak perkara yang boleh dipelajari. Yang baik diambil, yang buruk dibuang. Barulah boleh berubah daripada buruk kepada baik dan daripada baik kepada yang lebih baik. Istiqamah (berterusan) dalam kebaikan itulah yang lebih baik walaupun tidak banyak.

Sebenarnya, buatlah apa pun. Cuma, apa yang dilakukan pada saat, waktu, dan ketika ini tidak mampu mengubah apa-apa yang sudah terjadi kerana ia telah pun terjadi. Sejarah baru tidak memadamkan sejarah yang lama. Sebaliknya, sejarah yang baru hanya memanjangkan sejarah yang dahulu. Jika dibuat "mesin masa" sekalipun, dan "kembali" kepada masa lampau, setiap detik masih lagi berjalan. Umur tetap semakin meningkat, nyawa pula semakin singkat. Ini bermakna, perjalanan ke masa lampau dengan menggunakan "mesin masa" pun masih dikira sebagai menuju ke masa hadapan. Hayat manusia sememangnya tidak boleh lagi berpatah balik ke belakang. Sebab itulah usia di dunia ini hanya sementara, dan kehidupan di akhiratlah yang kekal abadi. Hakikatnya, kita hanya sedang mencari jalan pulang sebagai musafir yang fakir.

Hutan hujan Taman Negara di Banjaran Titiwangsa berusia 130 juta tahun.
[gambar: mafuzahphotography.wordpress.com]

Sekiranya mahu, mari renungkan sedikit sejarah bangsa-bangsa yang lain daripada Melayu khususnya di Malaysia ini:

*Tidak diketahui bila - Na Tuk Kong (Datuk Gong/Datuk Keramat) sebenarnya diambil daripada fahaman syirik kawasan Nusantara dahulu kala (seperti mana syiriknya ancak, puja pantai, dan sebagainya) dan diserap pula ke dalam kepercayaan orang-orang Cina. Dicedok daripada kisah tokoh-tokoh tempatan yang sebenar, nama-nama seperti Datuk Panglima Ali, Datuk Panglima Hitam, Datuk Panglima Harimau, Datuk Panglima Hijau, Datuk Panglima Kuning, Datuk Panglima Putih, Datuk Panglima Bisu, Datuk Panglima Merah, dan Datuk Panglima Bongsu disalah anggap sebagai penunggu.

1601 - Masjid asal Kampung Belimbing Dalam di Durian Tunggal sudah pun wujud sebelum dibiarkan usang setelah sebuah masjid baru dibina pada tahun 1972.
Masjid Lama Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka.
[kredit: zoomlensa.blogspot.com]

1634 - Masjid Wadi Al-Hussein di Telok Manok, Menara (kini Narathiwat, Thailand) siap dibina.

1645 - Tokong Cheng Hoon Teng diasaskan oleh dua orang kapitan Cina iaitu Tay Kie Ki (atau Tay Hong Yong) dan Li Wei King (dipanggil Chang atau Li Koon Ki Kap) pada zaman Melaka dijajah.

1670 - Datuk Aroom @ Harun (nama asalnya ialah Tan Seek Teong, seorang Cina muallaf) telah ditugaskan untuk mengetuai penduduk tempatan untuk membina Masjid Kampung Hulu di tengah-tengah Bandar Melaka dengan pembiayaan daripada Syarikat Hindia Timur Belanda (Dutch East India Company/Verenigde Oost-Indische Compagnie).
Masjid Kampung Hulu, Bandar Hilir, Melaka.
[kredit: fairfun.net]

1745 - Zhang Li, Khoo Yeow (berasal dari Tapu), dan Ma Hock Choon (dalam Hokkien, Yong Tian) sedang berlayar ke Batavia (dahulu Jayakarta, kini Jakarta) dari Chaozhou (di Guangdong, China) tetapi dilanda ribut kuat. Mereka dan juga para kelasi dihanyutkan ke sebuah tempat yang mereka panggil sebagai Hai Zhu (dahulu Teluk Tikus, sekarang Tanjong Tokong di Pulau Pinang). Sebuah tokong Tao didirikan pada 1799 apabila matinya Zhang Li yang digelar Tua Pek Gong (dalam Mandarin, Da Bo Gong sempena tokoh bernama Fu De).
Zhang Li
(Tua Pek Kong)

1781 - Kuil Sri Poyatha Moorthi di Melaka dibina pada zaman penjajahan Belanda oleh komuniti Chitty (Peranakan Tamil yang beragama Hindu).

1787, Mei - Koh Lay Huan (Chewan) dilantik sebagai kapitan Cina yang pertama di Pulau Pinang

1795 - Tokong Poh San Teng (Tokong Sam Poh Kong) dibina di Melaka oleh kapitan Cina yang bernama Chua Su Cheong (atau Tsai Shih Chang). Ia terletak berhampiran dengan Perigi Hang Li Poh (Perigi Raja) di kaki Bukit Cina (juga dipanggil San Bao Shan).

1801 - Masjid Kapitan Keling dibangunkan oleh Major Nador Khan (Tok Nadok Berkajang Kain) di atas tapak masjid lama yang lebih kecil iaitu Masjid Chulier semasa zaman Cauder Mohideen Merican, kapitan Keling yang pertama di Pulau Pinang.
Masjid Kapitan Keling, Tanjong Penaga, Pulau Pinang.
(sumber: Arkib Negara)

1803 - Di kawasan yang dikenali sebagai “Little India” dan terletak di persimpangan Lebuh Chulia dan Lebuh King, didirikan sebuah bangunan iaitu Nagore Durgha Sheriff untuk makam (Syed Shahul Hamid dari Nagore, India meninggal dunia pada 1579) yang dianggap keramat bagi masyarakat India Muslim dan juga penganut Hindu.
Nagore Durgha Sheriff, Tanjong Penaga, Pulau Pinang.
(gambar: panoramio.com)

1858 - Seorang pemilik lombong di Lukut (Negeri Sembilan) iaitu Hiu Siew dilantik oleh penjajah British untuk menjadi kapitan Cina yang pertama di Kuala Lumpur.

1862 - Selepas ketiadaan kapitan Cina di Kuala Lumpur pada tahun 1861, Liu Ngim Kong naik menggantikan tempat tersebut.

1865, Jun - Seorang ketua kumpulan kongsi gelap Ghee Hin yang telah membuka beberapa lombong bijih timah iaitu So Ah Chong ditangkap dan dijatuhi hukuman mati oleh pemerintah Matang (Perak) semasa Perang Larut.

1868 - Yap Ah Loy menjadi begitu terkenal selepas diangkat sebagai kapitan Cina di Kuala Lumpur. Beliau yang datang ke Tanah Melayu pada tahun 1854 mengumpul harta kekayaan kebanyakannya melalui kegiatan perjudian, pelacuran, penipuan, serta pemerasan selain daripada aktiviti perlombongan bijih timah.
Yap Ah Loy juga dikenali sebagai
Yap Tet Loy atau Yap Mao Lan

1873 -  Kuil Sri Mahamariamman didirikan oleh Kayaroganam Thamboosamy Pillay di Kuala Lumpur.
K. Thamboosamy Pillay
[sumber: harithsidek.blogspot.my]

1883 - Seorang gadis Circassian bernama Rogayah Hanim Abdullah (lahir pada tahun 1864) yang dihantar oleh Empayar Turki Uthmaniyah tiba di Johor. Beliau kemudiannya melalui beberapa perkahwinan iaitu dengan adinda Sultan Abu Bakar yakni Ungku Abdul Majid (bapa kepada Ungku Abdul Hamid), Dato' Jaafar Haji Muhammad (bapa kepada pengasas UMNO, Dato' Onn), dan saudagar Arab dari Yaman, Syed Abdullah al-Attas (bapa kepada Syed Ali al-Attas).
Ruqayyah Hanum dan Khadijah
Hanim merupakan adik-beradik
[sumber: azphoenix.wordpress.com]

1885 - Yap Ah Shak menjadi pengganti Yap Ah Loy sebagai kapitan Cina di Kuala Lumpur.

1892 - Selepas K. Thamboosamy Pillay mengasaskan kuil di Batu Caves (Selangor) pada 1891, tempat tersebut mula menjadi tumpuan untuk sambutan perayaan Thaipusam.

1902 - Kematian kapitan Cina di Kuala Lumpur yang terakhir iaitu Yap Kwan Seng yang berkhidmat sejak tahun 1889.

1906 - Wong Loke Yew menjadi orang pertama yang memulakan kilang simen di Malaya apabila mewujudkan kuari simen yang menggunakan kuasa wap di Batu Caves, Selangor.
Loke Yew
[sumber:
overseaschineseinthebritishempire.blogspot.my]

1918, 29 Ogos - Kematian Loke Chow Kit iaitu anak kepada Loke Kum Choon dan abang kepada Loke Chow Thye.
Chow Kit, sosok di sebalik nama
sebatang jalan di Kuala Lumpur

1923, 16 September - Harry Lee Kuan Yew dilahirkan, kelak menjadi Perdana Menteri Singapura yang pertama selepas dua Ketua Menteri Singapura iaitu David Saul Marshall dan Lim Yew Hock (Haji Omar Lim).
Lee Kuan Yew
[gambar: time.com]

1923, 6 Oktober - Robert Kuok Hock Nien dilahirkan di Johor Bahru selepas bapanya yang berasal dari Fujian, China tiba di Malaya.
Robert Kuok,
individu terkaya di Malaysia
[gambar: theborneopost.com]

1935 - Dr. Wu Lien-teh dicalonkan untuk Hadiah Nobel Perubatan (Nobel Prize in Medicine).
Wu Lien Teh
[gambar: The Lancet]

1941, 20 Februari - Lim Kit Siang dilahirkan sebelum tiba di Batu Pahat, Johor berumur 16 tahun untuk bekerja di ladang.
Lim Kit Siang
[gambar: thenutgraph.com]

1954, 22 Ogos - Dong Zong (Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah China/United Chinese School Committees’ Association of Malaysia) ditubuhkan dan menjalinkan kerjasama erat dengan Jiao Zong (Persatuan Gabungan Guru Sekolah China/United Chinese School Teachers’ Association of Malaysia) yang telah ditubuhkan lebih awal lagi pada 25 Disember 1951 sehingga dikenali bersama sebagai “Dong Jiao Zong”.
Bangunan Dong Jiao Zong, Kajang, Selangor.

1984 - Sheikh Hussein Yee yang telah memeluk Islam semenjak 1968 (sewaktu berusia 18 tahun) menubuhkan Pertubuhan Al-Khaadem dengan bantuan sekelompok sukarelawan.
Sheikh Hussain Yee
[gambar: demephotography]

1996 - Terdapat dakwaan bahawa Lim Jooi Soon merupakan antara yang paling awal di kalangan orang Cina Malaysia yang tidak mengubah namanya ataupun nama bapa setelah memeluk Islam.
Lim Jooi Soon
[kredit: suarainsan.net]

2008, 5 Ogos - Ustaz Mohd. Farid Ravi Abdul­lah (Jasiah Ravi a/l Jacob) mencatat sejarah apabila menjadi saudara baru per­tama yang dilantik sebagai hakim dalam Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-51.
Ust. Farid Ravi
[kredit: penpasksgb.blogspot.com]

2008, 9 Ogos - Ann Wann Seng menerima Anugerah Saudara Muslim Cemerlang 2008 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan 2008 di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Dr. Hj. Ann Wann Seng

2010, 7 Disember - Shah Kirit Kakulal Govindji menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Selangor 2010 kategori Anugerah Tokoh Saudara Kita dalam majlis Ambang Hijrah dan Pelancaran Sambutan Ma'al Hijrah 1432 peringkat Selangor di Shah Alam.
Shah Kirit
[gambar: arkib.harakahdaily.net]

2013, 16 September - Ong Boon Hua yang lebih dikenali sebagai Chin Peng mati dalam buangan di Bangkok, Thailand.
Chin Peng
[gambar:
asocialistmalaysia.blogspot.com]

2014, 3 Julai - Felixia Yeap Chin Yee seorang model kelahiran Kuala Lumpur yang membesar di Ipoh, Perak mengambil nama Raisyyah Rania setelah menganuti agama Islam.
Raisyyah Rania
[gambar: rotikaya.com]

2014, 20 Disember - Firdaus Wong Wai Hung menggembleng hampir seribu sukarelawan Multiracial Reverted Muslims (MRM) dalam menjalankan misi dakwah mereka di jalanan untuk mengagihkan pelbagai risalah yang menerangkan serba sedikit tentang ajaran Islam.
Firdaus Wong
[sumber: themalaymailonline.com]

2015, 24 Disember - Ebit Irawan Ibrahim Lew (Lew Yun Pau) bersama-sama tujuh orang lagi menjadi penerima Anugerah Maulidur Rasul sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1437/2015 yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Ust. Ebit Lew

2016, 30 Mei - Penceramah bebas, Mohd Ridhuan Tee bin Abdullah (Tee Chuan Seng) mengumumkan keluar MCA sebagai tanda protes terhadap penentangan berterusan parti itu terhadap 'hudud'.
Dr. Ridhuan Tee
[kredit: ismaweb.net]

2017 - Dilantik 30 tahun yang lalu sebagai ketua Biro Pengaduan Awam MCA (MCA Public Services and Complaints Department) pada 1987, Datuk Seri Michael Chong sudah menyelesaikan sekurang-kurangnya 35,000 kes berkaitan masalah sosial hingga setakat ini.
Datuk Seri Michael Chong
[kredit: star2.com]

2019, 17 Mei - Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (Consumers Association of Penang/CAP) iaitu SM Mohamed Idris, meninggal dunia berumur 93 tahun pada hari Jumaat bersamaan 12 Ramadan 1440 Hijriah.


Terpulanglah kepada tuan-tuan dan puan-puan bagaimana untuk mempelajari sejarah. Sejarah adalah pengajaran yang amat berguna buat sesiapa sahaja di dunia ini. Bukankah dunia ini jambatan ke akhirat? Bagaimana hendak menyeberang jikalau jambatannya rosak? Hanya satu pesanan buat kita semua. Percayalah, Tuhan memang ada. Tuhan itu hanya satu. Sembahlah Allah, Tuhan yang Maha Esa. Tiada yang disembah melainkan Allah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan