Sabtu, 14 April 2018

MASALAH UTAMA BUKANLAH ISU POLITIK MAHUPUN EKONOMI

Mulakan setiap hari dengan niat yang bersih.
[gambar: Google Images]

Setiap hari keenam, setiap minggu tanpa henti sejak turunnya perintah kepada umat Muhammad untuk mengerjakan solat Jumaat, para khatib di atas mimbar masjid dari seluruh dunia selalu berpesan kepada jemaah masing-masing termasuk dirinya sendiri agar sentiasa bertakwa kepada Allah subhanahu wa ta'ala. Apa itu takwa? Takwa itu ringkasnya bererti takut. Takut kepada Tuhan dan bukannya kepada makhluk ataupun cerita-cerita hantu. Ketahuilah bahawa sesungguhnya semua makhluk, malah segala apa yang di langit dan di bumi adalah ciptaan Tuhan yang Maha Esa. Sekiranya seseorang itu takut kepada makhluk maka semakin gusar dan jauh dia daripadanya, namun jika seseorang itu takut kepada Tuhan maka semakin tenang dan dekat dia kepadaNya. Takwa pula tidak lengkap tanpa iman. Iman maksudnya percaya. Yakin bahawa harapan masih ada walaupun diuji dengan pelbagai dugaan di alam fana, dunia yang tiada kekal ini.

Kadar iman seseorang adakalanya boleh naik, adakalanya boleh turun. Namun begitu, selain bagusnya kerap menadah tangan untuk berdoa, tahap iman hanya boleh naik dengan berusaha. Cara untuk berusaha meningkatkan iman adalah melalui mencari ilmu. Ilmu yang harus berlandaskan sumber wahyu, apa lagi kalau bukan kitab suci al-Quran yang terpelihara. Haruslah diingat, ilmu yang banyak mana sekalipun akan menjadi tidak berguna sekiranya tidak disulami dengan amal. Seiring dengan takwa, hanya dengan amal yakni mengikuti suruhan-suruhanNya serta menjauhi larangan-laranganNya, barulah ilmu boleh digunapakai bagi meningkatkan iman. Udara, air, tanah, cahaya matahari, semuanya sudah tersedia. Allah yang menyediakannya. Kita hanya perlu berusaha. Bukankah usaha tangga kejayaan? Kejayaan yang diharapkan bukan sahaja di sini tetapi juga di akhirat sana, insha'Allah.

Seperti yang dinyatakan dalam tajuk di atas, masalah utama bagi individu-individu Muslim di mana sahaja amnya bukanlah berkenaan isu politik, ekonomi, atau sosial, tetapi masalah utama yang perlu diselesaikan dengan segera adalah bersangkutan dengan ibadat. Terlalu banyak maksiat yang sering berlaku dan pada masa yang sama kurang pula usaha yang hendak dilakukan untuk bertaubat. Ke mana pergi penyesalan (masa silam), kesedaran (masa kini), dan keinsafan (masa depan)? Selagi sempat, mari bertaubat. Berwaspadalah kerana maksiat boleh terjadi apabila kurangnya amal ibadat. Walaupun isu politik, ekonomi, dan sosial turut perlu ditangani dengan sebaik-baiknya, agama pula merupakan isu yang sangat besar malahan lebih utama berbanding kesemuanya. Oleh itu, jagalah agama untuk menjaga seluruh kehidupan manusia. Kehidupan yang bagaimana? Kehidupan beragama yang merangkumi empat perkara yang sejajar iaitu iman (spiritual), ilmu (mental), amal (fizikal), dan takwa (emosional).


27 Rejab 1439 Hijriah, bersamaan 14 April 2018 Masihi
*Israk dan Mikraj

Tiada ulasan:

Catat Ulasan