Jumaat, 7 September 2018

NAMPAK BAIK TAPI JAHAT

Asal orang Islam saja mesti pengganas, asal pengganas saja mesti orang Islam. Begitulah yang sering dimomokkan dalam media massa mahupun di media sosial. Mungkin sebelum dituduh, cepat-cepat pihak yang berkenaan menuding jari menuduh orang lain. Yang jelas, memang orang Islam bukan semuanya baik. Walaupun ada yang baik namun ada juga yang jahat. Mengapa jadi begitu? Pertama sekali, haruslah difahami bahawa Islam itu satu cara hidup, cara hidup yang lengkap meliputi segala hal. Orang pula manusia, insan pelupa yang sentiasa perlu diingatkan tentang Pencipta seluruh alam. Kebanyakan "orang Islam" mendapat namanya hasil daripada baka atau darah keturunan ibubapanya maka sebab itulah ramai juga yang jadi Islam hanya pada nama dan bukan masuk Islam dengan sepenuhnya. Oleh itu, sekiranya seseorang itu samada lelaki atau perempuan masuk Islam dengan sepenuhnya maka sepatutnya dia bergelar "Muslim", yakni yang berserah diri kepada Allah. Jika tidak, seseorang yang lahir dan membesar itu hanya sekadar menurut agama rasmi ibu atau bapanya ("Islam Baka" atau "Islam Budaya").

Kitab Kuning menjadi bahan menelaah
yang popular di kawasan Nusantara.
(gambar: ahlibahasaarab.blogspot.com)

Apakah yang dimaksudkan dengan masuk Islam sepenuhnya? Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, sila rujuk sumber wahyu yang diturunkan oleh Tuhan yang Maha Esa melalui perantaraan malaikat kepada nabiNya yang terakhir. InshaaAllah, dengan izinNya jua, di sini kalau dihuraikan pun secara umum sahaja. Jadi, sudah tentu yang terbaik adalah memahami isi kandungan Al-Quran dan tidak setakat hanya membaca buku-buku teks Pendidikan Islam di sekolah. Bertanya dan dapatkanlah jawapan daripada para guru yang mengetahui agar sama-sama dapat mengetahui. Mengetahui apa? Mengetahui kebenaran. Kebenaran apa? Kebenaran bahawa sesungguhnya yang benar itu benar-benar hanya milik Allah. Asasnya, menjadi Muslim seharusnyalah mengajak kepada kebaikan serta mencegah keburukan, mendirikan solat lima waktu, mengeluarkan zakat, dan menyembah Allah sahaja, satu-satunya Tuhan untuk disembah.

Tanpa asas yang kukuh, maka ramailah yang selalu salah faham mengenai apa yang baik dan apa yang buruk. Sebagai contoh, label-label jahat seperti zindik, pembidaah, fasik, munafik, murtad, musyrik, kafir, dan sebagainya seringkali disalahguna. Meskipun adalah lebih elok dan molek jikalau dapat muhasabah diri agar tidak mempunyai ciri-ciri seperti makna label-label tersebut, namun ramai yang lebih cenderung untuk melemparkan label-label tersebut kepada orang lain dengan sesuka hati. Ikut suka hati sahaja mengguris hati dan perasaan orang lain tanpa mencermin diri sendiri terlebih dahulu. Menasihati tidak sama dengan memarahi. Memberi galakan tidak sama dengan membuat paksaan. Orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan berpesan-berpesan kepada kebaikan supaya tidak berada dalam kerugian, tetapi pada masa yang sama mereka melakukannya dengan penuh kebenaran serta kesabaran.

Suatu tindakan seperti memberi gula-gula kepada kanak-kanak boleh dilihat dengan pelbagai cara. Ia mungkin baik, mungkin juga buruk. Dari satu sudut, tindakan tersebut kelihatan baik apabila boleh menggembirakan kanak-kanak yang diberi gula-gula. Dari sudut yang lain pula, gula-gula yang diberi kepada kanak-kanak tersebut mungkin boleh menyebabkan ketagihan kepadanya sehingga merosakkan gigi. Atau, lebih teruk daripada itu, gula-gula dijadikan sebagai helah untuk aktiviti jahat seperti menculik kanak-kanak. Nauzubillahiminzalik. Hanya kepada Allah kita berlindung daripada perkara-perkara yang jahat. Yang sebenarnya, baik itu jelas dan jahat pun jelas. Sekalipun tidak jelas di mata manusia, ia jelas nyata pada pandangan Allah. Mengambil contoh perbuatan bersedekah atau menderma secara sukarela, ianya jelas baik apabila dilaksanakan mengikut kaedahnya. Kaedah yang betul, bukan yang salah. Memandangkan bersedekah adalah mengikut kemampuan, jangan pula sampai bertindak di luar kemampuan sehingga mengabaikan tanggungjawab segera yang lebih utama, umpamanya pemberian nafkah keluarga.

Apabila mampu bersedekah, bersedekah dengan ikhlas. Tidak seharusnya mengungkit-ungkit. Jika tidak mampu, jangan pula mencuri seperti karakter Robin Hood, kononnya untuk menderma tetapi mengambil harta serta menggunakan hak orang lain dengan cara yang salah. Kalau orang lain buat salah, jangan diikut. Kalau hendak ikut, ikutlah yang baik-baik. Jika seseorang itu bersedekah tetapi timbul rasa sombong, teruskan bersedekah sehingga hilang rasa sombong. Jika seseorang itu tidak bersedekah kerana tidak mahu menunjuk-nunjuk maka dia hanya merugikan diri sendiri selagi tidak mahu bersedekah. Tidak kedekut dan tidak pula membazir, berpada-pada sahaja. Buat apa nak boros? Ini tidak bermaksud bersedekah itu sukar atau susah. Perkara yang mudah, tidak perlu disusahkan dan perkara yang susah, dipermudahkan. Asalkan tiada sikap ambil mudah. Dalam perkara yang baik-baik, buat apa takut-takut, buat sahajalah. Tidak perlu berfikir terlalu mendalam sehingga menghalang untuk berbuat baik. Mengapa mahu berfikir banyak kali sebelum melakukan kebaikan padahal ada hal-hal yang buruk boleh pula dibuat tanpa berfikir? Tak usah lagi ragu-ragu.

Yang baik akan dibalas baik manakala yang buruk akan dibalas dengan yang setimpal juga. Harap-harap yang baik itu lebih banyak daripada yang buruk. Bukan semua yang menutup aurat itu baik tetapi yang baik semuanya menutup aurat. Begitu juga, bukan semua yang pergi ke masjid itu baik tetapi yang baik semuanya pergi ke masjid. Baik atau jahat, bergantung kepada niat. Mulakan sesuatu yang baik dengan menyebut Bismillah. Lakukan apa-apa yang baik dengan rela hati. Namun, berhati-hatilah. Sekali buat baik, jangan ingat sudah jadi baik selama-lamanya dan sekali buat jahat, itu tidak bermakna jadi jahat selama-lamanya. Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui keadaan yang sebenarnya. Maka, beristighfar dan bertaubatlah selagi sempat. Pohon, pinta, serta rayulah kepada Allah agar kita dimasukkan ke dalam golongan yang baik dan bukannya golongan yang jahat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan