Ahad, 5 Mei 2013

SEKAPUR SIRIH, SEULAS PINANG

Anda sedang membaca sebuah blog yang diberi nama 'Masa Depan Melayu' (masadepanmelayu.blogspot.com). Selamat datang diucapkan. Mudah-mudahan saudara saudari sekalian akan mendapat manfaat melalui pembacaan di blog ini. Sekadar berkongsi, sekapur sirih dan seulas pinang adalah antara contoh ungkapan indah bagi kata alu-aluan. Sekiranya anda tertanya-tanya apakah tujuan blog ini diwujudkan, maka sebab utamanya adalah sebagai satu ikhtiar untuk memperkayakan bahan bacaan kepada orang awam khususnya topik yang berkait rapat dengan istilah Melayu (sebutan dalam tulisan Jawi yang sebenarnya ialah "Malayu") di samping perihal dunia semasa secara amnya. Walaupun penulisan dan hasil kajian di dalam blog ini boleh sahaja dikatakan sebagai amatur pada keseluruhannya, tetapi matlamat besarnya masih lagi untuk menghadirkan impak yang positif kepada para pembaca seperti mana yang dilakukan oleh pihak-pihak yang dianggap profesional.

Inspirasi untuk memberi nama 'Masa Depan Melayu' untuk blog ini datang daripada sebuah tulisan mengenai sejarah Kesultanan Melayu Melaka iaitu 'Sulalatus Salatin' atau lebih dikenali sebagai 'Sejarah Melayu' (The Malay Annals). 'Sulalatus Salatin' bermaksud Pertuturan Segala Raja-Raja dan disalin dari karya asal, 'Hikayat Melayu' yang ditulis pada tahun 1356. Karya agung ini sering dikaitkan dengan seorang tokoh ulung yang bernama Tun Sri Lanang (Tun Muhammad bin Tun Ahmad) sebagai penyusun dan penyuntingnya. Namun begitu, blog ini bukanlah sambungan kepada karya agung tersebut secara langsung tetapi lebih kepada suatu bentuk penghormatan. Selain itu, penting untuk disebutkan juga bahawa blog ini tidak sekali-kali menyokong apa-apa jua bentuk diskriminasi perkauman. Allah mencipta manusia sebagai Bani Adam dengan adanya berbilang-bilang bangsa atas kehendak dan kebijaksanaan-Nya yang tiada tandingan. Tiada seorang pun yang dapat memilih jenis bangsa mereka sendiri apabila lahir samada semenjak dahulu mahupun sampai bila-bila. Perkara tersebut hanya Allah yang boleh menentukan. Oleh itu, amatlah wajar bagi semua pihak untuk menghormati perbezaan ini dengan mencari titik-titik persamaan.

Sulalatus Salatin
Salah satu manuskrip Sejarah Melayu dalam simpanan British Library


Bangsa Melayu pun hanyalah sebahagian daripada umat manusia. Umum mengetahui, manusia di atas muka Bumi ini terdiri daripada pelbagai jenis bangsa. Itu pun masih sukar bagi mana-mana individu untuk mengakui keaslian darah keturunannya sendiri apatah lagi setelah masing-masing hampir sudah pasti mempunyai campuran darah keturunan yang berbagai-bagai sejak zaman-berzaman. Menjadi seorang Melayu tidak menjadikannya mulia. Begitu jugalah yang lain, walau apa bangsa pun dirinya itu tidaklah menjadikannya mulia. Kemuliaan adalah milik Allah. Hakikatnya, Allah Yang Maha Mulia sahajalah yang berhak memberikan kemuliaan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Manusia jangan pernah perasan yang dirinya mulia hanya kerana darjat atau keturunannya. Maka, harus difahami bahawa blog ini merupakan satu usaha kecil untuk memberikan pandangan dan pendapat yang mungkin boleh memperlihatkan dimensi yang berlainan. Sekiranya perkataan "Melayu" sebelum ini barangkali hanya difahami dengan erti yang sempit dan sejarah yang kabur, mungkin blog ini dapat membantu memberikan sedikit pencerahan mengenainya. Dengan izin Allah, adalah diharapkan agar orang-orang Melayu berupaya mengenali diri sendiri dengan lebih baik supaya orang lain turut mampu mengenali alam Melayu dengan baik. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Sekian sahaja buat kali ini. Salam hormat dan selamat membaca.


NOTA:

Sulalatus Salatin
- naskhah asal 'Hikayat Melayu' ditulis di Singapura (zaman Sang Nila Utama) pada tahun 1356 sebelum dibawa ke Melaka (zaman Parameswara)
- dipindahkan ke Johor dari Kampar (Sumatera) pada tahun 1528
- pernah dirampas Portugis pada tahun 1536 sebelum dibawa balik ke Johor oleh Orang Kaya Suguh
- Tun Sri Lanang membuat salinan semula pada 13 Mei 1612 selepas mendapat perintah Raja Bongsu dan mengambil masa lebih kurang dua tahun untuk disiapkan
- terdapat lebih 80 versi termasuklah Cod Or. 1704, versi Raffles Malay 18, edisi William Girdlestone Shellabear tahun 1896 (dipinjamkan oleh Munsyi Mohammed Ali Al-Hindi), Richard Olaf Winstedt, Abdullah bin Abdul al Kadir (Abdullah Munshi), dll.
- tidak berkait secara langsung dengan 'Suma Oriental' tulisan Tome Pires mahupun 'Shahnameh' tulisan Ferdowsi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan