Sabtu, 8 Jun 2013

SALASILAH KETURUNAN SULTAN MELAKA

Bukit Siguntang Mahameru di Palembang
(sumber: mediainformasi.org)

Berdasarkan tulisan Sejarah Melayu, Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu (MS 18 Stamford Raffles), kerajaan Melayu Melaka telah diasaskan pada 660 hijriah bersamaan 1262 masihi menurut satu pendapat. Pandangan yang mencetuskan spekulasi baru ini telah dibangkitkan semasa Seminar Tahun Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka anjuran Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) di Hotel Everly Resort, Tanjung Kling, Melaka pada 31 Mei 2010. Bagi meneliti sejauh mana kebenarannya, mari kita lihat pula cerita sejarah yang harus diketahui secara umum.

Makam Sultan Alauddin Riayat Shah, bersebelahan dengan
Masjid Jamek Kampung Raja di Pagoh, Muar, Johor
(kredit: jejaksejarahmelaka.blogspot.my)

Orang Melayu seperti juga orang lain merupakan keturunan seorang nabi. Siapa lagi kalau bukan Nabi Adam alaihi salam, bapa kepada seluruh manusia. Namun begitu, bagi tujuan meringkaskan cerita sebaik mungkin maka adalah elok sekiranya kita terus kepada kisah tiga bersaudara yang turun di Bukit Seguntang dekat Pelembang, Andalas (kini, pulau Sumatera). Tiga bersaudara yang dimaksudkan adalah Sri Nila Pahlawan, Sri Krishna Pandita, dan Sri Nila Utama. Sri Nila Pahlawan merupakan yang paling tua antara tiga beradik tersebut dan diberi gelaran 'Sri Maharaja Sang Sapurba Paduka Sri Trimurti Tri Buana' atau ringkasnya 'Sang Sapurba'. Dalam salah satu versi cerita tentang tiga bersaudara ini, (versi Sir Richard Olaf Winstedt atau versi Abdullah bin Abdul Kadir/ Munshi Abdullah umpamanya) mereka didapati mempunyai pertalian darah dengan Sri Bijitram Shah (Bichitram Syah), Sri Paludatani, (Nila Pahlawan), dan Sri Nilathanam (Kama Pandita) yang akan diceritakan pada lain kali, inshaaAllah (إنْ شَاءَ اللهُ).

Iskandar Agung
(sumber: Alexander Mosaic)
Sang Sapurba dan adik-beradiknya merupakan keturunan Iskandar Zulkarnain. Raja Iskandar yang dimaksudkan adalah Iskandar Agung (Alexander the Great) dari Macedon, sebuah kerajaan Greek zaman purba. Gelaran Zulkarnain yang beriringan dengan nama Iskandar pula bermakna 'penguasa yang mempunyai dua tanduk' yakni pemerintah barat dan timur. Walaupun istilah Dhul-Qarnain dalam pengertian yang lain boleh sahaja merujuk kepada pengasas empayar Achaemenid iaitu Kourosh (Cyrus the Great) dari Parsi, istilah ini tidak diguna pakai bagi maksud tersebut. Sebagai perbandingan, Kourosh dilahirkan pada tahun 576 sebelum masihi di Anshan (Iran) manakala Raja Iskandar dilahirkan pada tahun 356 sebelum masihi di Pella (Greece). Jelas sekali mereka berdua adalah individu yang berbeza.

Sedikit mengenai Raja Iskandar (atau Iskandar Ibnu Faylabas al-Rumiy), lazimnya Philip II dari Makaduniah (Macedon) dikatakan sebagai bapanya. Walau bagaimanapun, Philip II hanyalah seorang bapa tiri dan bapa sebenar Raja Iskandar ialah Raja Darab (Kai Darab) iaitu anak kepada Kai Bahman, raja dinasti Kayan (Parsi). Raja Darab dilahirkan oleh Homai (Putri Humani) yang juga merupakan anak kepada Kai Bahman, yakni ibunya itu merangkap kakaknya sendiri. Raja Iskandar menjadi anak Raja Darab apabila ibunya Olympias (atau dikenali sebagai Nahid dalam buku 'Darab Nama' karangan Abu Taher Muhammad) berkahwin dengan Raja Darab sebelum bercerai. Perkara tersebut dirahsiakan dan Raja Iskandar dilahirkan setelah ibunya Olympias (Putri Safiya Arqiya) mengahwini Philip II. Tanpa dapat diketahui oleh Philip II, Raja Iskandar seterusnya diangkat menjadi pewaris takhta kerajaan Macedon. Raja Iskandar juga sempat berguru dengan ahli falsafah yang terkenal iaitu Aristotle. Ada satu pendapat, Aristotle jugalah merupakan individu yang disebut sebagai Luqman al-Hakeem. Wallahu a'lam.
Makam Bukit Batu di Bentan
(sumber: tanjungpinangpos.co.id)

Kembali kepada kisah yang berkisar pada zaman kerajaan Dharmasraya yang bakal berpindah dari Jambi ke Palembang (kedua-duanya terletak di pulau Sumatera), Sang Sapurba memperoleh empat orang cahayamata iaitu Sang Mutiara, Sang Nila Utama, Puteri Chandra Dewi (Dara Jingga), dan Puteri Sri Dewi (Dara Petak/ Indreswari), beserta seorang anak angkat bernama Puteri Mengindra Dewi (turut dikenali sebagai Puteri Tanjung Buih). Ibu kepada anak-anaknya ialah Wan Sendari (atau dengan ejaan Wan Sundaria) yang merupakan anak perempuan kepada Demang Lebar Daun dengan Tuan Telanai. Sang Sapurba mengenali Mangkubumi Demang Lebar Daun dalam satu peristiwa yang sangat penting iaitu ketika perjanjian yang menabalkan Sang Sapurba sebagai raja bagi rakyat jelata pada tahun 1286. Mulai saat itu, Sang Sapurba mula dikenali sebagai 'Srimat Tribhuwanaraja Mauli Warmadewa'. Kisah mengenai Sang Sapurba mempunyai pelbagai versi (contoh, A. Samad Ahmad, William Girdlestone Shellabear, dan John Leyden) malah turut dikaitkan sebagai cucu-cicit  'Maharajadiraja' dalam Tambo Minangkabau. Menurut satu versi, Sang Sapurba beserta keluarganya berpindah ke Bintan (Bentan) di kepulauan Riau untuk mencari perlindungan pada tahun 1288 akibat serangan kerajaan Singhasari (dari pulau Jawa) selepas berakhirnya 'ekspedisi Pamalayu'. Pada ketika itu, Bintan diperintah oleh ipar Sang Sapurba iaitu Ratu Sakadar Shah Wan Sri Bini Benian (atau 'Wan Sri Bini') yang menggantikan suaminya, Raja Ishar Shah yang telah meninggal dunia. Sang Sapurba terus menetap di Bintan dan akhirnya dimakamkan di sana apabila mangkat pada tahun 1316.

Sang Nila Utama
(sumber: glogster.com)
Anak kedua Sang Sapurba iaitu Sang Nila Utama adalah orang yang bertanggung jawab menamakan semula Temasek sebagai Singapura (yang bererti 'Kota Singa' setelah ternampak seekor beruk yang kelihatan seakan-akan seperti seekor singa ketika sedang berburu) pada tahun 1324. Penamaan tersebut berlaku selepas wakil kerajaan Tambralingga iaitu Temagi berjaya ditumpaskan. Maka, Sang Nila Utama mengambil gelaran 'Sri Maharaja Sang Utama Parameswara Batara Sri Tri Buana' dan menjadikan Raden Ratna Cendera Puri sebagai permaisurinya. Terdapat riwayat bahawa Sang Nila Utama berkahwin dengan sepupunya memandangkan ibu kepada Raden Ratna Cendera Puri iaitu Wan Sri Bini dan ibu Sang Nila Utama iaitu Wan Sendari (Putri Ayu Sundari) merupakan adik-beradik. Semenjak menubuhkan kerajaan di negeri yang suatu ketika dahulu dipanggil Pulau Panjang, Pulau Ujong, Mahasin, atau Salahit (Selat) ini, Sang Nila Utama terus menguasai Singapura sehinggalah kemangkatannya pada tahun 1372 serta dimakamkan di Bukit Larangan (kini Fort Canning Hill, Singapura).

Bukit Larangan di Singapura
(sumber: National Library Board Singapore)

Parameswara
(sumber:
sejarahtokoh.wordpress.com)

Selepas kemangkatan Sang Nila Utama, anaknya Paduka Sri Pekerma Wira Diraja atau dikenali juga sebagai 'Raja Kecil Besar' (yang berkahwin dengan Nila Panjadi) mengambil alih tampuk pemerintahan dari tahun 1372 hingga 1386. Kemudian, cucu sulung Sang Nila Utama pula iaitu Paduka Seri Rana Wira Kerma (bapa mertuanya Tun Perpatih Muka Berjajar) memerintah dari tahun 1386 hingga 1399 sebelum cicitnya Paduka Sri Maharaja Parameswara (yang dilahirkan dengan nama Dharmaraja atau Damia Raja) dari tahun 1399 hingga 1401. Paduka Seri Rana Wira Kerma (atau dengan ejaan lain, Paduka Seri Rana Wikrama) yang turut dikenali sebagai 'Raja Muda' atau 'Sang Aji' buat pertama kalinya telah membuat hubungan diplomatik dengan sebuah kerajaan Muslim iaitu Perlak (di pulau Sumatera). Paduka Sri Maharaja Parameswara yang lebih dikenali sebagai 'Parameswara' (Permaisura) pula merupakan Raja Singapura yang keempat dan juga yang terakhir. Dalam tempoh pemerintahan raja-raja inilah terjadinya pelbagai peristiwa penting sehingga munculnya nama-nama individu yang masyhur seperti Tun Jana Khatib, Hang Nadim (kanak-kanak genius semasa peristiwa Singapura Dilanggar Todak), Badang (seorang hulubalang yang gagah perkasa), serta tidak ketinggalan juga adalah Sang Rajuna Tapa.

Akibat serangan kerajaan Majapahit (dari pulau Jawa) yang berkomplot dengan Sang Rajuna Tapa yang membelot setelah anak perempuannya dihukum sula dek menjadi mangsa fitnah dituduh bermukah, Parameswara dan para pengikutnya terpaksa bergerak menuju ke Muar, Johor di semenanjung Tanah Melayu (Nusa Kencana) bagi menyelamatkan diri. Dua tempat di Muar iaitu Biawak Busuk dan Kota Buruk menjadi tempat persinggahan mereka sebelum meneruskan perjalanan ke Sening Ujong (dahulu Sungei Ujong dan kini dikenali sebagai Seremban di Negeri Sembilan). Kemudian, apabila kumpulan Parameswara pergi ke kawasan kuala Sungai Leleh (di Kampung Ayer Leleh) dan Sungai Bertam (kini Sungai Melaka) yang ketika itu didiami oleh orang-orang Seletar (Orang Laut / Celates), berlaku peristiwa ganjil seekor pelanduk putih (atau kancil) yang berani melawan anjing-anjing pemburunya malah turut menendang salah seekor daripadanya. Parameswara yang begitu teruja dengan kejadian tersebut turut menganggapnya sebagai suatu petanda tuah yang baik, maka kawasan tersebut terus dinamakan sebagai 'Melaka' sempena pokok yang menjadi tempat teduhannya semasa itu. Pada tahun 1402, bermulalah sejarah terkenal negeri Melaka di atas bekas tapak kerajaan Lang Buana hingga namanya turut diabadikan di lautan Selat Melaka (the Strait of Malacca / Sinus Sabaricus) atau dahulunya disebut sebagai Tasik Melayu.

Tanjung Tuan di Melaka
(sumber:
malaysia-campervan.blogspot)
Parameswara memeluk agama Islam pada tahun 1409 iaitu sebelum dikahwinkan dengan Puteri Ratna Kemala dari Perlak, anak Sultan Makhdum Alaiddin Malik Muhammad Amin Syah II (atau Sultan Muhammad Amin Johan Berdaulat Perlak). Selepas menjadi seorang Muslim (dengan mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Maulana Sayyid Abdul Aziz bin Sheikh Qadir Jilani / Sayyid Abu al-Hassan dari Yaman), Parameswara mula menggelarkan dirinya sebagai Raja Iskandar Shah. Seorang lagi anak Sultan Makhdum Alaiddin Malik Muhammad Amin Syah II iaitu Puteri Ganggang pula berkahwin dengan Sultan Malik al-Salih (atau dikenali juga sebagai 'Meurah Silu') dari Kesultanan Samudera-Pasai (pulau Sumatera). Pada tahun 1414, Parameswara atau kini sebagai Raja Iskandar Shah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dan digantikan dengan anaknya iaitu Megat Iskandar Shah. Makam pengasas Kerajaan Melaka itu berada di Melaka atau mungkin lebih tepat lagi di Tanjung Tuan (yang juga dinamakan sebagai Cape Rachado oleh orang Portugis). Sayangnya, makam tersebut telah dirobohkan dan didirikan pula sebuah menara api bagi mengaburi sejarah kegemilangan bangsa Melayu seperti mana telah robohnya Istana Besar Melaka (di Bukit Gedung) dan Masjid Agung Melaka (di Bukit Melaka).

Makam Raja Iskandar Shah di Tanjung Tuan
(sumber: artmelayu.blogspot.com)
Makam "Tok Tanjung Tuan" yang telah dibaikpulih
(sumber: qulamirulhakim.blogspot.my)



GARIS MASA:
1286 M, Sang Sapurba ditabalkan sebagai raja Kerajaan Dharmasraya di Bukit Siguntang, Palembang
1288 M, Sang Sapurba dan ahli keluarganya berpindah ke Bintan, Riau
1296-1318 M, Sultan Muhammad (Sang Tawal) menubuhkan Kerajaan Grahi (Cahaya)
1298 M, Raja Merlang I mendirikan Kerajaan Indragiri di Riau
1309 M, Cucu Sang Sapurba iaitu Jayanagara (Kala Gemet) menggantikan tempat pengasas Majapahit iaitu bapanya, Raden Wijaya
1316 M, Sang Sapurba mangkat dan dimakamkan di Bukit Batu, Bintan
1318-1348 M, Raden Galuh Gemeranchang (Urduga) memerintah Jembal di Kuala Krai
1324 M, Sang Nila Utama, anak kedua Sang Sapurba mengasaskan Kerajaan Singapura
1339-1362 M, Sultan Mahmud Jiddah Riayah Saadatussalam ibni Abdullah (Raja Bharubhasa) memindahkan Kerajaan Chermin ke Bukit Panau (Tanah Merah) dan mendirikan Wurawari
1344 M, Cicit kepada Sang Nila Utama, Parameswara dilahirkan
1347 M, Anak kepada Dara Jingga dan juga seorang lagi cucu Sang Sapurba, Adityawarman (Mantrolot Warmadewa) menubuhkan Malayapura di Pagaruyung
1350-1369 M, U-thong (Ramathibodi I) mengasaskan Kerajaan Ayutthaya (Syahrul Nuwi)
1354 M, Fa Ngum menubuhkan Kerajaan Lan Xang di Siam Lancang
1360 M, Che Bo Nga (Binasuar) menjadi raja Kerajaan Champa
1363 M, Raja Brunei, Awang Alak Betatar memeluk Islam setelah berkahwin dengan Puteri Pingai
1372 M, Sang Nila Utama mangkat dan dimakamkan di Bukit Larangan, Singapura
1372-1386 M, Raja Kecil Besar, anak Sang Nila Utama menjadi Raja Singapura kedua
1377 M, Satu penentangan yang berjaya dipatahkan oleh Majapahit menandakan tamatnya terus riwayat Srivijaya
1380 M, Patih Gumantar daripada suku Dayak memerintah Kerajaan Sidiniang
1386-1399 M, Raja Muda, cucu Sang Nila Utama menjadi Raja Singapura ketiga
1391-1418 M, Sultan Baki Shah ibni Al-Marhum Sultan Mahmud (Radin Mas Pamari) muncul sebagai raja Kerajaan Chermin
1399-1401 M, Parameswara menjadi Raja Singapura terakhir
1402 M, Parameswara mengasaskan Kerajaan Melaka
1405 M, Kesultanan Sulu diasaskan oleh Sayyid Abu Bakr bin Abirin AlHashmi (Paduka Mahasari Maulana al Sultan Sharif ul-Hashim) pada 17 November
1406 M, Melaka menerima kunjungan pertama pelayaran Laksamana Cheng Ho dari China
1409 M, Parameswara menerima Islam dan menggunakan nama Raja Iskandar Shah
1411 M, Raja Iskandar Shah, isterinya, dan 540 pegawai berlayar ke China melawat Maharaja Yongle
1412 M, Raja Iskandar Shah memperkenalkan Jawi sebagai sistem tulisan yang utama
1414 M, Raja Iskandar Shah mangkat dan dimakamkan di Tanjung Tuan, Melaka
1414-1424 M, Megat Iskandar Shah (Raja Ahmad) menggantikan tempat Raja Iskandar Shah
1424-1444 M, Sultan Muhammad Shah (Radin Tengah) bermimpi berjumpa dengan Nabi s.a.w.
1444-1446 M, Sultan Abu Syahid Shah (Raja Ibrahim) dibunuh kerana tidak menganut agama Islam
1446-1459 M, Sultan Muzaffar Shah (Raja Kassim) menjadikan Islam sebagai agama rasmi
1447 M, Daeng Mempawah (Merupawah) atau Hang Tuah dilahirkan di Makassar, Sulawesi
1456 M, Raja Pahang bergelar Maharaja Dewa Sura yang berpusat di Pura (Pekan) tunduk kepada Empayar Kesultanan Melayu Melaka. Anakandanya bernama Puteri Wanang dikahwinkan dengan anak Sultan Melaka lalu digelar Puteri Lela Wangsa
1457 M, Phya Tu Nakpa (Raja Anthira Wangsa) mengasaskan Kesultanan Patani Darussalam dan mengambil gelaran Sultan Ismail Shah
1459-1477 M, Sultan Mansur Shah mengahwini Hang Li Po
1467 M, Sultan Mansor Shah ibni Al-Marhum Sultan Iskandar ditabalkan sebagai Raja Kelantan-Majapahit (Majapahit II)
1470 M - Sultan Muhammad Shah I ditabalkan sebagai Sultan Pahang
1477-1488 M, Sultan Alauddin Riayat Shah mencontohi Khalifah Umar al-Khattab
1488-1511 M, Sultan Mahmud Shah adalah Sultan Melaka yang terakhir
1496 M, Syah Pau Ling iaitu anak kepada Raja Champa, Syah Pau Kubah mengasaskan Kerajaan Aceh selepas berjaya melarikan diri dari Vijaya, ibu kota Champa yang diserang Kerajaan Dai Viet
1498 M, Tun Perak bin Tun Perpatih Sedang meninggal dunia
1499 M, Sultan Mahmud Shah menyerang Kelantan dan menangkap Raja Gombak, Puteri Onang Kening (Onang Kuning), Puteri Cau Pa, serta Puteri Cau Pauk (Chubak)
1500 M, Sultan Mahmud Shah berkahwin dengan Puteri Onang Kening, anak Sultan Mansor Shah dari Kelantan
1509 M, Diogo Lopes de Sequeira menjadi orang Eropah yang pertama tiba di Melaka
1511 M, Melaka Darul Azim jatuh ke tangan Portugis (Peringgi) pada 24 Ogos
1511 M, Sultan Mansor Shah dari Kelantan menyerahkan kuasanya kepada Phra Tu Intira (Sultan Muhammad Shah) untuk membentuk Patani Besar
1511-1513 M, Sultan Ahmad Shah dibunuh oleh bapanya sendiri, Sultan Mahmud Shah
1521 M, Panglima Awang (Henrique) menghadiri majlis jamuan oleh Rajah Humabon di Cebu, Visayas
1525 M, Anak Hang Jebat, Laksamana Hang Kadim dari Johor Darul Alam mengepung Kota A Famosa
1526 M, Sultan Mahmud Shah mangkat dan dimakamkan di Kampar, Sumatera
1528 M, Tengku Alauddin Shah menubuhkan Kesultanan Johor Riau-Lingga
1528 M, Tengku Muzaffar Shah menubuhkan Kesultanan Perak
1564 M, Kota Batu, Johor ditakluk Kesultanan Aceh Darussalam dengan bantuan Empayar Turki Uthmaniyah
1584-1616 M, Bermulanya era Ratu Pelangi di Patani apabila Raja Hijau (Nan Cayang I) menggantikan Sultan Bahadur Syah yang mangkat
1587 M, Ibu kota Johor iaitu Johor Lama diserang Portugis
1599 M, Pengiran Muda Tengah (Sultan Ibrahim Ali Omar Shah) dilantik sebagai Sultan Sarawak
1613 M, Portugis menyerang Singapura
1627 M, Po Ramo (Nik Mustafa) menjadi raja Champa
1632 M, Raja Sakti ditabalkan sebagai pemerintah Patani di Kota Jembal
1641 M, Belanda (Wolanda) menakluk Melaka pada 14 Januari
1641 M, Kesultanan Sarawak berakhir apabila Sultan Ibrahim Ali Omar Shah dibunuh
1642 M, Ponhea Chan (Ibrahim atau Preah Bat Samdech Ramathipadi I) menjadi raja Kemboja selepas kejatuhan pakciknya Outey (Udayaraja) yang dibunuh
1699 M, Raja Mahmud Shah II (Sultan Mahmud Mangkat Dijulang) dimakamkan di Kota Tinggi, Johor
1699 M, Bendahara Tun Abdul Jalil (Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV) diumumkan sebagai pengganti takhta Kesultanan Johor di Kota Tinggi pada 3 September
1708 M, Kesultanan Terengganu diasaskan dengan pertabalan Sultan Zainal Abidin I
1740 M, Pangeran Mas Surya Negara memerintah Kerajaan Mempawah
1743 M, Daeng Chelak melantik anaknya Raja Lumu menjadi Yamtuan Selangor sebelum diiktiraf sebagai Raja Selangor oleh Sultan Muhammad Shah ibni Sultan Mansur Shah III dari Perak
1766 M, Raja Lumu (Sultan Salehuddin Shah) diangkat menjadi Sultan Selangor yang pertama oleh Sultan Mahmud Shah ibni Sultan Muhammad Shah
1769 M, Temenggong Abdul Rahman dilantik sebagai Temenggong di Johor
1770 M, Temenggong Tun Abdul Majid, iaitu anak Bendahara Tun Abbas diangkat sebagai Bendahara bagi Pahang
1773 M, Raja Melewar (Raja Mahmud) merupakan putera Pagaruyung yang dipilih menjadi Yamtuan Besar (Yang di-Pertuan Besar) Negeri Sembilan yang pertama
1795 M, Melaka dikuasai oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris buat sementara
1818 M, Melaka dipulangkan kepada pihak Belanda selepas Perang Napoleon
1824 M, British mengambil alih Melaka pada 17 Mac
1832 M, Champa ditakluk oleh Raja Vietnam, Minh Mang
1843 M, Penubuhan Kerajaan Perlis dengan penabalan Raja Syed Hussain Jamalullail pada 20 Mei
1855 M, British mengiktiraf Temenggong Daeng Ibrahim sebagai penguasa baharu Johor
1857 M, Sulaiman Badrul Alam Shah II diangkat sebagai Sultan Riau-Lingga setelah Sultan Mahmud Muzaffar Shah diturunkan daripada takhta oleh Belanda pada 7 Oktober
1868 M, Ratu Victoria dari Great Britain telah mengurniakan gelaran Maharaja Johor kepada Temenggong Wan Abu Bakar, anak Daeng Ibrahim
1882 M, Bendahara Wan Ahmad (Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah) memakai gelaran Sultan Pahang pada 6 Ogos
1886 M, Sir Abu Bakar secara rasminya menggunakan gelaran Sultan Johor di samping turut dikenali sebagai Albert Baker
1942 M, Jepun (Nippon) menawan Melaka pada 31 Januari
1946 M, Melaka diambil menjadi koloni Mahkota British
1956 M, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj mengisytiharkan kemerdekaan di Bandar Hilir, Melaka
1957 M, Melaka menjadi salah satu negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu (Malaya)
1963 M, Tanah Melayu, Singapura, Sabah (Borneo Utara), dan Sarawak membentuk negara Malaysia

Porta de Santiago: Puing pintu gerbang yang menjadi
tinggalan sejarah penjajah Portugis di Bandar Hilir, Kota Melaka
(sumber: photorena.com)


[rujukan:]
Melaka ditubuh 1262, bukannya 1400 atau 1278? (Utusan Online)
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_31.htm

Tarikh penubuhan Melaka 1262 bukan 1400 (Utusan Online)
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_10.htm

2 ulasan: