Satu lagi pengkisahan era gilang-gemilang tamadun Melayu di Melaka yang nampaknya menimbulkan lebih kekeliruan adalah ketika tindakan bijak Tun Ali sebagai Seri Nara Diraja yang menyembunyikan Laksamana Hang Tuah (ejaan lain Awang Tuha?) daripada dihukum bunuh. Tanpa melakukan apa-apa yang dilihat derhaka kepada sultan secara terang-terangan, Tun Ali juga bersedia untuk berkorban demi kebaikan yang lebih besar walaupun terpaksa berhadapan dengan apa jua kemungkinan. Yakni, beliau sanggup mengambil risiko walaupun nyawanya sendiri boleh melayang. Inilah yang dikatakan tindakan berhikmah! Bahkan, jauh sekali di hati beliau untuk memalukan sultan sebagai pemerintah di hadapan sekalian rakyat jelata. Walaupun keikhlasan tidak ternampak di mata, tetapi hasil daripada keikhlasan boleh sahaja dipandang melalui hati yang bersih. Namun begitu, sekiranya Tun Ali yang bertanggungjawab menyelamatkan Hang Tuah, mengapa pula nama Tun Perak (anak Bendahara Seri Wak Raja dan juga abang Tun Kudu) yang disebut-sebut dalam peristiwa tersebut? Benar, Bendahara Paduka Raja iaitu Tun Perak memanglah istimewa tetapi sehebat-hebat manusia pun, sungguh tidak patut apabila dibuat cerita orang lain namun digantikan dengan watak orang lain pula. Agak hairan juga bagaimana peranan Tun Ali boleh diketepikan begitu sahaja, seolah-olah ada pihak yang mahu menimbulkan teori bahawa idea untuk menyelamatkan Hang Tuah itu sebenarnya adalah buah fikiran Tun Perak.
Hang Tuah, putera Hang Mahmud (Raja Bajung) dan Dang Merduwati |
Merujuk kepada fakta, kompilasi dokumen Rekidai Hōan adalah bukti bahawa Hang Tuah pernah menulis sepucuk surat bertarikh 11 April 1480 kepada Kerajaan Ryukyu (kini adalah Okinawa di Jepun) bagi pihak Sultan Alauddin Riayat Shah, pemimpin Kesultanan Melayu Islam Melaka pada waktu itu. Kewibawaan Hang Tuah sebagai seorang wira dan juga simbol pahlawan bagi bangsa Melayu memanglah tidak disangkal. Namun, apa yang menjadi persoalan adalah bagaimana untuk mengenal Hang Tuah sebagai tokoh lagenda sejarah dan bukannya sebagai suatu mitos yang terlalu diperbesar-besarkan mahupun yang selalu diperkecil-kecilkan.
Maka, cerita-cerita sejarah hendaklah diperbetulkan dan diperkemaskan pada setiap masa agar penceritaan sejarah tidak lagi dengan sewenang-wenangnya diselewengkan sesuka hati. Hatta, apa-apa yang dibaca di sini pun perlu ditapis dan dinilai terlebih dahulu memandangkan ilmu adalah sesuatu yang perlu dicari dan diselidiki oleh tiap-tiap individu tanpa mengira apa jua jenis latarbelakang. Sudah tentu, masing-masing mempunyai tanggungjawabnya yang masing-masing untuk mencari apa yang benar dan membetulkan yang salah.
Ingin dijelaskan di sini, nama-nama seperti Ang Tu Ah, Ang Ji Fatt, Ang Lee Ker, dan Ang Lee Kiew bukanlah daripada cerita sejarah para pendekar mahupun hulubalang Melaka tetapi nampaknya macam cerita lawak sahaja. Mujur tidak ada "Ang Kastuli" sekali. Kalaulah ada sekalipun nama-nama sebegitu, sudah pasti mereka hanyalah cereka (cerita rekaan) yang tidak terlibat langsung dengan sejarah silam negeri Melaka. Walaupun terdapat usaha yang cuba mengaitkan nama-nama mengarut tersebut dengan Puteri Hang Li Po (Han Libao Liu), kajian sejarah mestilah berdasarkan maklumat sahih yang telah dikumpulkan dan bukannya atas dasar khayalan atau andaian semata-mata. Memanglah teori konspirasi kelihatan menarik, tetapi lebih baik berada di pihak yang membongkar pakatan jahat daripada berpakat membuat jahat.
Hang Li Poh, lagenda yang bukan mitos (kredit: ahikayataday.blogspot.my) |
Sejarah telah menceritakan, Zhu Di atau lebih dikenali sebagai Maharaja Yongle merupakan anak keempat yang lelaki bagi pengasas dinasti Ming iaitu Maharaja Hongwu. Sebagai maharaja ke-3 dinasti Ming yang memerintah dari tahun 1402 hingga 1424 di China, pada zaman inilah Laksamana Cheng Ho (Zheng He atau Ma He) yang tersohor melaksanakan pelayarannya menjelajah ke Barat dan turut singgah di Melaka. Cheng Ho meninggal dunia pada tahun 1433 dan maharaja empayar Ming silih berganti sampailah ke Maharaja Yingzong (Zhu Qizhen) yang merupakan cicit kepada Maharaja Yongle.
Cheng Ho, pelaut Muslim yang ulung |
Maharaja Yingzong pula menyandang kedudukan maharaja dinasti Ming sebanyak dua kali (maharaja ke-6 dan juga ke-8). Memandangkan dia ditangkap oleh kumpulan Oirat (Mongol) semasa Krisis Tumu maka adiknya iaitu Maharaja Jingtai (Zhu Qiyu) dilantik menggantikannya di antara pertengahan tempoh tersebut. Sebagai maharaja ke-7, Jingtai mempunyai beberapa orang isteri dan isteri pertamanya adalah Maharani Xiaoyuanjing yang kemudiannya digantikan dengan Maharani Suxiao pada tahun 1452. Sebelum diangkat menjadi maharani yang baharu, Maharani Suxiao asalnya adalah seorang gundik bagi Maharaja Jingtai dan dikenali juga sebagai Maharani Hang kerana Hang (杭) adalah nama keluarganya.
Jadi, apa kaitannya antara Maharani Hang dengan Han Libao? Setakat ini, memang terdapat rekod tidak rasmi dari China yang menyebut nama Han Libao tetapi tidak diketahui pula latar belakang keluarganya. Walaupun begitu, sekurang-kurangnya sejarah Maharani Hang ini mungkin membuka sedikit ruang untuk betul-betul mengenal pasti identiti sebenar wanita dari China bernama Han Libao atau Hang Li Po, yang dibawa ke Bukit Cina (dahulu Bukit Gedung) di Melaka oleh Tun Perpatih Putih untuk dinikahkan dengan Sultan Mansur Shah pada tahun 1459.
Kalau pun masih ada lagi kesamaran mengenai salasilah keturunan Puteri Hang Li Po, susur galur Laksamana Hang Tuah pula boleh sahaja diketahui apabila disemak betul-betul. Daeng Mempawah, nama asalnya sebelum digelar Hang Tuah lahir sebagai Muslim pada 1447 (ada yang kata 1431?) tahun masihi di Makassar, Sulawesi sebelum berhijrah ke Bintan dan seterusnya berpindah serta menetap di Kampung Duyong, Melaka. Ibubapanya ialah Tun Mahmud (Hang Mahmud) dan Tun Lela Wati (Dang Merduwati). Apabila Laksamana Cheng Ho meninggal dunia, nama Hang Tuah belum pun ada lagi. Andaikata Hang Tuah dan rakan-rakannya berasal dari China dan datang ke Melaka untuk mengiringi Hang Li Po, di mana hendak letak teks Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang sudah jelas menceritakan kisah tentang mereka? Lagipun, Hang Tuah bukan bergandingan dengan Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, dan Hang Lekiu sahaja, tetapi juga dengan Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Hassan, serta Hang Hussin. Kesembilan-kesembilan mereka (ya, sembilan bukan lima bersaudara) berada di bawah pengawasan Tun Bija Sura yang bijak lagi berpengalaman.
Kewujudan Istana Melaka yang cuba dipadam oleh para penjajah dan pengkhianat bangsa (kredit: warguideus) |
Berbalik kepada cerita siapa yang melawan Hang Tuah, kedua-dua watak samada Hang Jebat mahupun Hang Kasturi nampaknya seperti sengaja diputarbelit oleh periwayat-periwayat tertentu yang jelas lebih berlandaskan pada kecenderungan masing-masing. Lantas, keadaan tersebut telah mengaburi apa yang sebenarnya terjadi. Jikalau watak Hang Tuah sebagai penegak keadilan manakala Hang Jebat sebagai penentang kezaliman menjadi bahan cerita popular pada zaman moden, watak Hang Kasturi yang terpinggir pula kian tenggelam sedangkan bukanlah Hang Jebat yang menderhaka. Susah sangatkah untuk faham bahawa seseorang manusia tidak kiralah sultan, pembesar-pembesar, atau sesiapa pun di kalangan rakyat marhaen dari dahulu hingga kini boleh sahaja membuat kesilapan? Cuma, apa yang sememangnya menjadi kesalahan adalah tidak mengakui apa yang silap dan tidak mahu belajar daripada kesilapan tersebut, apatah lagi jikalau langsung tidak ingin memperbetulkannya dengan seberapa segera.
Hang Jebat tidak derhaka kerana bukan dia yang menentang sultan secara terbuka kecuali dalam cerita-cerita yang entah bagaimana menyebut namanya. Hang Kasturi juga tidak derhaka kerana dia sekadar dituduh macam-macam tetapi sudah pun dianggap bersalah sebelum dihadapkan ke muka pengadilan. Ramai yang terlepas pandang bahawa semua cerita tentang Hang Tuah melawan salah seorang sahabatnya (barangkali yang paling akrab) hanya bermula atas sebab tindak-tanduk sultan sebagai penguasa yang sebelum itu tergesa-gesa menjatuhkan hukuman mati tanpa usul periksa ke atas Hang Tuah, akibat termakan hasutan fitnah para penghasad dengki. Maka, kisah Hang Kasturi berkehendak dengan seorang dayang istana (kemungkinan Tun Mandan, bukannya Dang Wangi, Dang Baru, atau nama lainnya Dang Inangsih si isteri kepada Hang Jebat) sahaja yang digembar-gemburkan.
Kalau Hang Tuah pun boleh dianiaya, kenapa tidak Hang Kasturi? Bukan itu sahaja, Hang Kasturi kononnya turut membunuh perempuan yang diingininya itu. Apa bukti Hang Kasturi yang bukan sebarangan orang melakukan pembunuhan tersebut (boleh jadi kemalangan, boleh jadi pembunuhan tidak pun berlaku), dan kalau benarlah mengapa pula perempuan yang diingininya itu dibunuh oleh Hang Kasturi sendiri (atau mungkin orang lain yang bunuh)? Pelik bukan. Lebih pelik lagi, Hang Kasturi bukannya murtad. Kenapa tidak dimandikan, dikafankan, disolatkan, dan dikebumikan, bahkan dibuang pula jasadnya ke laut? Kalaulah Hang Kasturi itu sejahat-jahat manusia seperti yang dikatakan, apa dosa anak bininya hingga turut layak dibunuh? Maka, siapa yang jahat sebenarnya? Jadi, buat masa ini sebarang kesimpulan masih tidak dapat diputuskan dengan pasti memandangkan sudah berabad-abad lamanya bangsa Melayu khususnya dan juga dunia secara umumnya disuap tanpa henti dengan kisah yang sudah dicemari dengan pelbagai dolak-dalik. Selagi mana misteri cerita di sebalik cerita belum dapat dirungkai sepenuhnya, maka selagi itulah cerita yang sering diceritakan akan mengaburi kisah yang sebenar.
Hikayat Hang Tuah dikarang sekitar selepas abad ke-17 (kredit: blogs.bl.uk) |
Tak 'kan Melayu hilang di dunia
Tuah sakti hamba negeri,
esa hilang dua terbilang,
patah tumbuh hilang berganti,
tak akan Melayu hilang di bumi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan