Rabu, 16 April 2014

PENGARUH BRITISH DI ALAM MALAYU

Fort Cornwallis: Tinggalan penjajah British di Padang Kota Lama, Pulau Pinang

Pulau Kesatu ialah nama lama bagi Pulau Pinang. Penang atau Prince of Wales' Island adalah sebutannya dalam Bahasa Inggeris seperti mana Malaya untuk Tanah Malayu. George Town atau dipanggil juga sebagai "Tanjong" oleh orang tempatan, pernah suatu ketika dahulu dikenali sebagai Tanjung Penaga di samping nama Tanjung Penegri. Bagan atau nama lainnya Bagan Tuan Kechil adalah panggilan awal bagi ButterworthProvince Wellesley pula adalah nama yang pernah diberikan oleh British kepada Seberang Perai. Sungguh menyedihkan, sebuah perkampungan nelayan iaitu Tanjung Kelawai kini hanya tinggal menjadi sebatang jalan apabila Jalan Kelawei dihimpit dengan pembangunan di Persiaran Gurney (Gurney Drive). Jikalau diperhatikan, di Pulau Pinang sahaja pun telah terserlah begitu banyak pengaruh British yang meninggalkan kesan ke atas bumi Malayu sehinggalah ke hari ini.

Entah kenapa, nama-nama tempat seperti Slim River (Sungai Selim, Perak), Cameron Highlands (Lembah Telom, Pahang), Port Dickson (Tanjung Tin, Negeri Sembilan), Beaufort (Padas, Sabah) dan sebagainya masih dikekalkan walaupun sudah lebih 50 tahun merdeka. Malah, lebih menyayat hati apabila petempatan bersejarah bagi Kuala Lumpur (nama lamanya Muara Bustak atau Pengkalan Lumpur) iaitu Kampung Haji Abdullah Hukum di Bangsar (dahulu Sungai Putih dan kemudiannya Jalan Bangsa) pun hendak ditukarkan namanya menjadi KL Eco City oleh pihak-pihak yang bukan sahaja rakus tetapi juga sangat tidak bertanggungjawab! Begitu juga dengan Kampung Kerinchi, ikut suka hati sahaja dinamakan semula sebagai Bangsar South. Mujurlah Teluk Anson dinamakan semula Teluk Intan dan Port Weld pula Kuala Sepetang. Namun begitu, sebarang pengaruh dari luar tidak semestinya sesuatu yang negatif sahaja, dan tidak pula semuanya positif belaka. Dunia Malayu jikalau mahu, boleh sahaja memperoleh manfaat sekiranya yang baik diambil, yang buruk dibuang jauh-jauh.

Rumah asal Haji Abdullah Hukum (yang juga dikenali sebagai Muhammad Rukun,
Arya Jaya, atau Tuk Dagang Dianjuk), pembuka tanah dan perkampungan
di Pudu, Bukit Nenas, dan Sungai Putih (kini Jalan Bangsar).
(gambar: www2.nst.com.my)


GARIS MASA:

Zaman penerokaan anak watan

14000 tahun Sebelum Masihi - Penemuan rangka manusia prasejarah di dalam Gua Keledung Kecil di Lembah Nenggiri dekat Gua Musang, Kelantan. Sedihnya, kawasan penemuan tersebut bakal ditenggelamkan untuk membina sebuah empangan hidroelektrik.

11000 / 9000 tahun Sebelum Masihi - Hasil daripada penyelidikan yang diketuai oleh Datuk Prof Zuraini Majid dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1991 di dalam Gua Gunung Runtuh di Bukit Kepala Gajah, Lembah Lenggong, Hulu Perak, Perak maka didapati bahawa "Perak Man" merupakan rangka manusia tertua yang pernah dijumpai dalam sejarah di semenanjung Malaysia.
Manusia Perak
(gambar: unesco.org.my)

6000 tahun Sebelum Masihi - Tulang "Perak Woman" dijumpai pada tahun 2004 di dalam Gua Teluk Kelawar di Lenggong, Perak.

5000 / 3700 tahun Sebelum Masihi - Bukti pendudukan manusia pra-sejarah terawal di Seberang Perai dijumpai pada tahun 1860 dalam sebuah gua batu kapur di Guar Kepah, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Guar Kepah
(gambar: themalaymailonline.com)

535 tahun Sebelum Masihi - Kajian Profesor Datuk Dr Mokhtar Saidin dari Universiti Sains Malaysia (USM) mengesahkan kewujudan tamadun Kedah Tua di sekitar Sungai Batu, Sungai Mas, dan Pengkalan Bujang di kawasan Lembah Bujang, Merbok, Kedah.
Candi Lembah Bujang
(gambar: kedah2u.com.my)

1100an - Budaya puak Negrito iaitu Semang-Pangan daripada keturunan Juru dan Yen yang hidup memburu serta mengutip hasil hutan rimba mulai mengecil apabila kehidupan bercucuk tanam dan menangkap ikan oleh orang-orang Melayu semakin mendapat tempat.

Pertengahan 1400an - Masjid Kampung Laut asalnya dibina (tanpa sebarang paku) di Kampung Laut, Tumpat tetapi dipindahkan (dibuka dan dipasang semula pada tahun 1968) ke Nilam Puri, Kota Bharu akibat banjir besar pada tahun 1966. Banjir besar kali pertama adalah pada tahun 1926 yang dipanggil "Bah Air Merah".
Masjid Kampung Laut, Nilam Puri, Kelantan.
(kredit: attractionsinmalaysia.com)

Hujung 1600an - Datuk Jenaton bin Raja Labu dilahirkan. Nenek moyangnya berasal dari Kampung Dalam, Gudam, Pagaruyung, Sumatera. Apabila berkahwin dengan Ambun Suri (sebelum dua lagi isterinya iaitu Tuan Gadih/Cik Puang dan Sharifah 'Aini), beliau bertemu dengan Datuk Setia (Nakhoda Bayan), Haji Muhammad Salleh (Nakhoda nan Intan), dan Ismail (Nakhoda Kecil).

1705 - Seorang ilmuan Islam dari Aceh yang bergelar Dato Keramat atau nama sebenarnya Haji Kassim (bukan orang yang sama dengan Datuk Keramat/Tok Nadhok yang berasal dari India) telah membuka perkampungan Malayu yang dikenali sebagai Pengkalan Haji Kassim (kini Kampung Makam, Jalan Dato Keramat) di Pulau Pinang.

1721 - Lahirnya salah seorang ulama "Empat Serangkai dari Tanah Jawi" iaitu Syeikh Daud Abdullah al-Fatani di Gerisik, Pattani pada 1133 Hijriah. Beliau nanti dapat mengajar di Masjidil Haram, selain turut dilantik menjadi orang Melayu yang pertama sebagai Sheikh Haji oleh Khilafah Uthmaniah.

1734 - Masjid Batu Uban diasaskan oleh Haji Muhammad Salleh. Nama sebenar beliau ialah Maharaja Nan Intan Ibni Al-Marhum Tengku Patih Nan Sebatang. Beliau berketurunan Minangkabau yang berasal dari Kampung Buadi, Payakumbuh, Sumatera.
Masjid Jamek Batu Uban, Gelugor, Pulau Pinang.
(kredit: penang-traveltips.com)

1740, 15 Disember - Francis Light lahir di Dallinghoo, Suffolk, England, United Kingdom.

1749 - Datuk Jenaton (atau dikenali juga sebagai Jenan) bersama-sama para pengikutnya berpindah ke Pulau Pinang. Mereka menetap di sebidang tanah (meliputi kawasan Batu Uban, Minden Heights, dan Bukit Gelugor) berukuran 40.47 hektar atau lebih kurang 100 ekar yang dihadiahkan oleh Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin II selepas membantu Kedah menghalang kemaraan Siam dan berperang dengan Aceh serta Bugis.

1749 - Teluk Tikus (kini menjadi Tanjong Tokong) diasaskan oleh seorang guru agama, Tok Guru Haji Hassan Fusanah yang berasal dari Madura, Jawa. Masjid Tuan Guru juga dibangunkan oleh beliau.
Perkataan "tokong" dalam nama Tanjong Tokong
merujuk kepada gunung laut dan bukannya kuil Cina.

Bermulanya gerak langkah British untuk menjajah

1771, 18 Mac - Sultan Muhammad Jiwa menawarkan Pulau Pinang menjadi tempat perdagangan kepada Francis Light (bekerja dengan Jourdain Sullivan and de Souza, wakil Syarikat Hindia Timur Inggeris) sebagai ganti untuk mendapatkan perlindungan daripada serangan Siam (kini adalah Thailand) tetapi tawaran tersebut ditolak oleh pihak atasan British. Maka, Francis Light dan rakan niaganya, James Scott hanya diizinkan berdagang di Kuala Kedah.
"Kapten" Francis Light

1777 M, Luo Fangbo (Low Lan Pak) dari Guangdong, China dilantik menjadi pemimpin Kongsi Lanfang di kepulauan Borneo (Kalimantan Barat).

1781, 6 Julai - Thomas Stamford Raffles dilahirkan daripada pasangan Kapten Benjamin Raffles dan Anne Raffles.

1784 - Raja Burma iaitu Bodawpaya (Maung Shwe Waing atau Badon Min) dari dinasti Konbaung menakluk ibukota Arakan (kini Rakhine), Mrauk U.

1786 - Siam melancarkan Perang Musuh Pattani.

1786, 27 April - Anak sulung Francis Light dilahirkan di Kuala Kedah. Colonel William Light menjadi pengasas bandar Adelaide di Australia, 50 tahun kemudian.
Kolonel William Light,
Pengasas Adelaide

1786, 11 Ogos - Francis Light mengasaskan petempatan British (British Settlement of Prince of Wales Island) yang pertama di Pulau Pinang semasa zaman pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram Shah sebagai Sultan Kedah.

1789 - Datuk Jenaton meninggal dunia di Pulau Pinang.
Tempat persemadian Datuk Jenaton
di Bukit Tok Jenaton, Minden.
(kredit: theearlymalaydoctors.blogspot.com)

1794, 21 Oktober - Francis Light mati akibat Malaria dan ditanam di Protestant Cemetery, Northam RoadNorth Beach (lokasinya adalah di Jalan Sultan Ahmad Shah atau "Ang Mor Lor" yang bermaksud European Road dalam Hokkien), Pulau Pinang.

1800 - Pada tahun rakan perniagaan James Scott iaitu David Brown (anak saudara Laurence Stuart) tiba, Pulau Pinang pada masa itu dipajak dengan harga 6,000 matawang Sepanyol manakala Seberang Perai dipajak dengan harga 4,000 matawang Sepanyol menurut satu perjanjian antara Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II dengan Sir George Alexander William Leith, Baronet Ke-2 sebagai wakil British. Pajakan masih lagi dibayar sehingga kini secara tahunan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang kepada kerajaan negeri Kedah dengan jumlah 10,000 ringgit.

1805 - Sebidang tanah (di Jalan Zainal Abidin) dibeli bagi menempatkan satu-satunya kawasan perkuburan Yahudi di Pulau Pinang. Pada tahun ini juga, Stamford Raffles diarahkan ke Pulau Pinang untuk bertugas sebagai pembantu setiausaha kepada Gabenor Pulau Pinang pada waktu itu yakni Philip Dundas.
Potret Sir Stamford Raffles yang dihasilkan oleh
George Francis Joseph pada tahun 1817.
(gambar: National Potrait Gallery)

1807, 25 Mac - Pasukan polis yang pertama ditubuhkan di Pulau Pinang menjadi asas kepada penubuhan pasukan Polis Diraja Malaysia.

1813 - Tengku Daeng Kuning (Panglima Hitam) mendarat di Kuala Larut, sebelum memperkenal dan mengembangkan Seni Silat Gayung bermula dari Relor Tujuh, Air Kuning di Taiping.

1813 - Bekas sekumpulan lanun yang dibentuk menjadi the 19th Malay Regiments of British Royal Navy telah melancarkan pemberontakan terhadap British India.

1819, 29 Januari - Stamford Raffles tiba di Singapura dan berjumpa dengan Tengku Abdul Rahman (Temenggung Abdul Rahman, adik tiri Tengku Hussain) pada 30 Januari 1819 untuk membuat satu perjanjian. Kemudian, beliau turut membuat satu perjanjian yang lain dengan Tengku Hussain pula (Tengku Long atau Sultan Hussain Shah dari Johor) pada 6 Februari 1819 bagi mendapatkan kebenaran kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris (British East India Company) untuk berdagang di Singapura.

1821 - Persatuan Mubaligh London (London Missionary Society) membeli sebuah bangunan di Pulau Pinang dan menggunakannya sebagai sekolah Cina untuk perempuan.

1821, 12 November - Serangan Siam ke atas Kedah (Perang Musuh Bisik) menyebabkan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II melakukan sekatan terhadap British di Pulau Pinang di samping mengarahkan beberapa serangan melalui muara Sungai Perai (yang kini menjadi sempadan semulajadi antara Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah) namun British tidak berjaya ditundukkan.

1824, 17 Mac - Perjanjian London (Perjanjian Inggeris-Belanda) yang ditandatangani di London dibuat bagi menyelesaikan pertikaian yang muncul selepas Perjanjian Inggeris-Belanda (Konvensyen London) pada tahun 1814. Hasilnya, Kepulauan Malayu terbahagi kepada dua apabila Tanah Malayu (kini menjadi sebahagian daripada Malaysia) dikuasai oleh British manakala Hindia Timur Belanda (Dutch East Indies yang kini menjadi Indonesia) pula dikuasai oleh Belanda.

1824, 2 Ogos - Kuasa Sultan Hussain ke atas Singapura hilang (hanya menjadi pemerintah boneka di bawah telunjuk British) setelah menandatangani satu lagi perjanjian dengan wakil British, John Crawford.
Istana Kampong Glam (kini Taman Warisan Melayu/Malay Heritage Centre)
pernah menjadi tempat tinggal Sultan Hussain sebelum berpindah 
ke Melaka dan dikebumikan di Masjid Tengkera (dahulu Upih).
(kredit: mithunonthe.net)

1826 - Syarikat Hindia Timur menubuhkan Negeri-negeri Selat bagi pihak British.

1826, 20 Jun - Perjanjian Burney ditandatangani oleh British dan Siam sebagai pengakuan terhadap tuntutan Siam ke atas empat negeri Malayu di utara semenanjung Tanah Malayu iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

1839 - Bagi menghargai sumbangan besar Tunku Anum kepada Kedah dalam Perang Musuh Bisik, Kubang Pasu Darul Qiyam dibentuk sebagai sebuah kerajaan yang berasingan sebelum masuk kembali ke dalam Kedah pada tahun 1864.

1839, 15 Ogos - James Brooke tiba di Kuching dan bertemu dengan Pangeran Raja Muda Hashim. Pada waktu itu, Kesultanan Brunei sedang menghadapi pemberontakan selepas Datu Patinggi Ali mengetuai kebangkitan rakyat Sarawak menentang kezaliman Pengiran Indera Mahkota.
Sir James Brooke,
Rajah Putih Sarawak

1844 - Masjid Nurul Islam didirikan di Bo-Kaap, dahulu disebut sebagai Malay Quarter di Cape Town, Afrika Selatan.

1848 - Bijih timah dijumpai dan diusahakan secara besar-besaran buat pertama kali di jajahan Larut, Perak oleh Long Jaafar bin Dato' Paduka Setia Long Abdul Latif (nama lain bagi ayahanda Long Jaafar iaitu Nai Lang adalah Syed Alang Alauddin ibni Koya Long Sultan Mudzafar Syah III yang bergelar "Datuk Panglima Bukit Gantang"). Teknik yang digunakan oleh pekerja-pekerja Cina yang dibawa masuk untuk melombong adalah melampan (mendulang).
Che Long Jaafar /
Sultan Jaafar Mad Azam Shah

1850 - Muhammad Rukun (antara gelarannya ialah Arya Jaya dan Tok Dagang Dianjuk) atau lebih dikenali sebagai Haji Abdullah Hukum tiba di Tanah Melayu dari Kerinchi, Sumatera sebelum membuka Bangsar (Kampung Sungai Putih, Kampung Padang, dan Kampung Paya), Pudu, Bukit Bintang, Bukit Nanas, dan beberapa tempat lagi di sekitar Kuala Lumpur. Beliau juga pernah bekerja dengan Sutan Puasa (Sutan Naposo), seorang pedagang berketurunan Mandailing.
Haji Abdullah Hukum
(kredit: otaicerita.blogspot.my)

1850 - Sebelum mengarang 'Tuhfat al-Nafis' pada tahun 1865, Raja Ali Haji ibn Raja Haji Ahmad menjadi penulis pertama yang menyusun tatabahasa Melayu menerusi bukunya 'Bustan al-Katibin'. Beliau juga adalah cucu kepada Raja Haji Fisabilillah (Marhum Teluk Ketapang).

1855, 10 Mac - Sultan Ali Iskandar Shah memeterai sebuah perjanjian dengan pihak British di Singapura sebagai persetujuan untuk melepaskan haknya terhadap Johor (kecuali Kesang) kepada Temenggung Daeng Ibrahim.

1865 - Sekelompok nelayan yang dipimpin oleh seorang Melayu keturunan Arab bernama Nayuda Ahmed berlayar mencari ikan di sekitar Kepulauan Mergui (Myeik) lalu mendirikan sebuah perkampungan (Bokpyin) di sebuah teluk di Pulau Dua (Victoria Point/Kawthaung).

1867, 1 April - Negeri-negeri Selat (Straits Settlements) iaitu Pulau Pinang, Dinding (Manjung, Perak), Melaka (Malacca), Singapura (Singapore), Pulau Natal (Christmas Island), dan Kepulauan Keeling (Cocos Islands) yang sebelum ini ditadbir oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris diletakkan di bawah pengawasan British di London sebagai sebuah koloni. Labuan hanya dimasukkan ke dalam Negeri-negeri Selat pada 30 Oktober 1906.

1867, Mei - Pertelingkahan antara Bendera Putih dan Bendera Merah, dua persatuan kongsi gelap gabungan Malayu, Tamil Muslim, serta Jawi Peranakan yang bertempur pada bulan Muharram. Masjid Pintal Tali menjadi tempat pangkalan utama Bendera Putih manakala pangkalan utama Syed Mohamed Alatas sebagai ketua Bendera Merah adalah di sekitar Masjid Malayu Lebuh Acheh. Mengikut sejarah, Masjid Pintal Tali diasaskan oleh Syed Mohamed Bilfakih yang merupakan menantu kepada pengasas Masjid Malayu Lebuh Acheh iaitu Tengku Syed Hussain Aideed.
Rumah Agam Syed Al-Attas kini dijadikan
sebagai Muzium Islam Pulau Pinang.
(sumber: thestar.com.my)

1867, 3 Ogos - Penang Riots, rusuhan selama 10 hari yang berpunca akibat perbalahan antara dua pertubuhan kongsi gelap Cina, Ghee Hin dan Toh Peh Kong. Bendera Putih yang dipimpin oleh Tuan Chee dan Bendera Merah yang diketuai oleh Che Long juga terlibat sama memandangkan Bendera Putih telah berpakat dengan Ghee Hin semenjak tahun 1865 manakala Bendera Merah pula telah berpakat dengan sekutu Hai San, Tua Pek Kong Hoey/Kean Teik Tong dengan lebih awal lagi iaitu pada tahun 1863.
Sebilangan kecil askar dan polis yang menjadi pasukan keselamatan
bagi pihak British semasa Rusuhan Pulau Pinang 1867.

1867, 4 Ogos - Kira-kira seramai 7,000 orang Melayu mengangkat sumpah di hadapan Sheikh Omar Basheer apabila beliau mengeluarkan fatwa melarang sebarang kegiatan yang berbaur jenayah seperti gangsterisme dan kongsi gelap. Namun, kegiatan kongsi gelap tetap diteruskan secara berselindung dalam bentuk boria dan kelab bolasepak sehinggalah kedatangan Jepun.

1868 - Masjid Peringgit yang ada kini adalah masjid yang dibina semula selepas masjid asal telah musnah pada tahun 1726.
Masjid Peringgit, Peringgit, Melaka
(gambar: masjid.islam.gov.my)

1869, 6 Mei - British dan Siam dengan sewenang-wenangnya menandatangani Perjanjian Bangkok yang menyebabkan terbentuknya sempadan antara kawasan Seberang Perai (dinamakan British sebagai Province Wellesley) dengan negeri Kedah. Sebuah batu sempadan turut didirikan di Kampung Bukit Semetol, Pinang Tunggal (Pulau Pinang) yang bersempadan dengan Kampung Terat Batu, Mukim Sidam Kanan, Padang Serai (Kedah).
Salah satu batu sempadan antara
Pulau Pinang dan Kedah.

1869 - Meletusnya perang saudara di Klang yang melibatkan menantu Sultan Abdul Samad iaitu Tengku Kudin (Tunku Dhiauddin ibn Sultan Zainal Rashid I) dan Raja Ismail di satu pihak, menentang Raja Mahadi serta kerabat diraja Selangor yang lain termasuk Dato' Bandar Langat.
Istana Tunku Kudin yang terbiar berusia lebih
100 tahun di Bukit Tinggi, Kepala Batas, Kedah.
(gambar: astroawani.com)

1874, 20 Januari - Perjanjian Pangkor secara rasminya telah memberikan kebenaran kepada pihak British untuk mencampuri urusan negeri Perak. Raja Muda Abdullah (Sultan Abdullah Muhammad Shah II) diangkat menjadi Sultan Perak setelah Sultan Ismail Muabiddin Riayat Shah diturunkan pangkat menjadi "Sultan Muda" beserta pencen 1,000 ringgit setiap bulan. Ngah Ibrahim (anak Che Long Jaafar) juga tidak lagi diakui sebagai pemerintah Larut.
Sultan Abdullah
(gambar: riwayatmelayu.blogspot.my)

1875 - Sungai Lumpur (nama ibu negara Kuala Lumpur diambil sempena nama sungai ini) diubah namanya kepada Sungai Gombak.

1875 - Maharaja Abu Bakar (Temenggong Sri Maharaja Wan Abu Bakar) membeli lokomotif (model Dübs 742/1874) yang pertama untuk mengangkut penumpang selepas siapnya gerabak keretapi diperbuat daripada kayu yang menyambungkan Johor Bahru dengan Gunong Pulai.
Lokomotif di Johor itu dijual kepada Selangor State Railway
pada 15 September 1885 untuk laluan Klang-Kuala Lumpur.
(kredit: Razak Bahrom)

1875, 2 November - Residen British yang pertama di Perak, James Wheeler Woodford Birch (J.W.W. Birch) mati dibunuh di Pasir Salak hasil kerjasama Dato Maharaja Lela dengan rakan-rakannya seperti Datuk Sagor (Seri Agar), Si Puntum, Pandak Endut, Laksamana Mohamad Amin, Ngah Ibrahim, dan Ngah Jabor. Seorang kerani Melayu yang bekerja dengan pihak British iaitu Mat Arshad turut terbunuh dalam peristiwa tersebut.

1876 - Seorang pedagang berketurunan Minangkabau iaitu Haji Mohamed Taib bin Haji Abdul Samad dari Batusangkar, Sumatera berhijrah ke Kuala Lumpur dan selepas itu menjadi antara orang Melayu yang terkaya pada masa itu dengan memiliki kilang biji timah, tanah ladang, rumah, dan juga kedai.
Malangnya, nama seorang tokoh besar dikaitkan
dengan daerah lampu merah yang menjadi tempat
kegiatan para penagih dadah dan bapuk.
(kredit: jellynajal.blogspot.my)

1876, 16 April - Sistem rangkaian telegraf yang pertama digunakan untuk menghubungkan pejabat Residen British di Kuala Kangsar dengan pejabat Penolong Residen di Taiping dan juga pejabat Majistret di Matang, Perak.

1885, 1 Jun - Sistem keretapi yang kedua di Tanah Melayu adalah di Perak apabila gerabak keretapi menyambungkan Taiping dengan Port Weld (Kuala Sepetang).
Stesen Keretapi Tanjong Pagar (milik Keretapi Tanah Melayu Berhad)
di Singapura sayangnya telah ditutup pada 1 Julai 2011.

1885, 13 Ogos - Terusan Wan Mat Saman sepanjang 36 kilometer dibina semasa zaman Wan Muhammad Saman bin Wan Ismail sebagai Perdana Menteri Kedah.
Wan Mat Saman

1886, 11 Mei - Royal Johore Military Force (JMF) atau Askar Timbalan Setia Negeri (ATSN) dibentuk selepas Perjanjian Setia antara Inggeris dan Johor yang ditandatangani pada 1885.

1887 - Sir Thomas atau lebih dikenali sebagai Lord Brassey (Pengarah North Borneo Chartered Company) mengesyorkan cadangan menggabungkan Singapura, Tanah Melayu, Sarawak, Borneo Utara (Sabah), dan Brunei sebagai satu konfederasi.

1888 - Pakatan Belajar-mengajar Pengetahuan Bahasa (PBmPB) digerakkan di Johor untuk menggalakkan penggunaan tulisan rumi bagi bahasa Melayu di sekolah dan juga di kalangan masyarakat.

1889 - José Rizal, seorang anak Melayu dari Filipina mengasaskan sebuah persatuan iaitu 'Sociedad R.D.L.M.' (Redencion de los Malayos/Redemption of the Malays Society) semasa Pesta Sedunia (Exposition Universelle) di Paris, Peranchis yang kemudiannya nanti menjadi asas kepada idea penubuhan SEATO, ASA, MAPHILINDO, dan ASEAN.

1889, 7 Oktober - Kematian seorang paderi Katolik berbangsa Inggeris, Julian Edmund Tenison-Woods (lahir pada 15 November 1832) yang barangkali merupakan orang pertama yang menyebut nama "Malaysia" dalam bukunya yang bertajuk 'Fisheries of the Oriental region; Geographical notes in Malaysia and Asia; Malaysian land and freshwater mollusca; On the vegetation of Malaysia; Journey to the summit of Gunong Bubu; Geology and mineralogy of the Northern Territory of Australia'.
Lampiran daripada buku Tenison Woods.
(rujukan: kiff-isme.blogspot.com)

1895 - Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang terdiri daripada Perak, Selangor, Negeri Sembilan, dan Pahang dibentuk oleh pihak British. Berpusat di ibukota Kuala Lumpur (yang ketika itu masih lagi sebahagian daripada negeri Selangor), Sir Frank Athelstane Swettenham dilantik menjadi Residen Jeneral yang pertama.

1897, 13 Julai - Mesyuarat Raja-raja Negeri-negeri Bersekutu yang dikenali sebagai Majlis Raja-raja Melayu atau 'Durbar' pertama kali diadakan di Kuala Kangsar, Perak. Majlis ini dianggotai oleh empat orang Raja dari negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan, dan Pahang.
Durbar merupakan mesyuarat antara
Raja-raja Melayu dengan pihak British.

1899 - Papan matawang (currency board) mula ditubuhkan di Negeri-negeri Selat.

Penjajahan halus melalui minda 

1900 - Apabila tujuh buah kampung iaitu Kampung Masjid, Kampung Periuk, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Pindah, Kampung Paya, dan Kampung Hujung Pasir disatukan, Pentadbiran Kolonial British mewartakan Kampung Baru (dahulu dieja Kampong Bharu) sebagai Tanah Pertanian Melayu (Malay Agricultural Settlement).
Sebahagian penduduk Kampung Baru bergambar
di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru.

1904, Oktober - Sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh R. J. Wilkison dan disertai beberapa nazir sekolah ditubuhkan bagi memperkenalkan sistem ejaan yang disebut sebagai "Ejaan Wilkinson" atau Romanised Malay Spelling melalui penerbitan sebuah laporan.

1905, 2 Januari - Richard James Wilkinson menubuhkan Malay Residential School yang kini dipanggil sebagai Malay College Kuala Kangsar (MCKK).

1906 - Dollar dari Negeri-negeri Selat yang digunakan di seluruh Negeri-negeri Melayu bertukar daripada berasaskan perak kepada emas.

1909 - Perjanjian Inggeris-Siam yang ditandatangani di Bangkok pada 10 Mac 1909 manakala dimeterai di London pada 9 Julai 1909 menyebabkan terpisahnya negeri-negeri Malayu di utara semenanjung Tanah Malayu kepada dua bahagian apabila Patani (Pattani), Singgora (Songkhla), Menara (Narathiwat), Jala (Yala), Setul (Setoi/Satun), termasuk Chenok (Chana), Tiba (Thepa), dan Terang (Trang) diserahkan kepada kekuasaan Thai (Rattanakosin) manakala Kedah (Saiburi), Kelantan (Kalantan), Perlis (Palit), dan Terengganu (Trangkanu) dibentuk menjadi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu di bawah pengaruh British.

1909 - Majlis Mesyuarat Persekutuan ditubuhkan oleh pihak British sebagai mengambil langkah untuk mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan persekutuan. Majlis tersebut diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang mahu menegaskan kedudukannya sebagai Ketua Eksekutif Persekutuan, sedangkan jawatan itu disandang oleh Residen-Jeneral sejak tahun 1896. Disebabkan penglibatan Raja-raja Melayu dalam Majlis Mesyuarat Persekutuan, mesyuarat Durbar tidak lagi diadakan sehingga tahun 1927 apabila majlis itu disusun semula dan Raja-raja Melayu menarik diri daripada menganggotai majlis tersebut.

1910 - Malay Administrative Service (MAS) ditubuhkan bagi menampung pegawai Melayu dalam Perkhidmatan Awam (kini dikenali sebagai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik). Penubuhannya adalah untuk mengimbangi Malayan Civil Service (MCS) yang hanya dikhaskan untuk pegawai Inggeris selain bertujuan untuk menjadi 'feeder service' kepada MCS. [sumber: www.ptd.com.my]

1913, 25 November - Majlis Persekutuan meluluskan Enakmen Tanah Simpanan Melayu yang mengandungi 16 fasal, kemudiannya diwartakan pada 1 Januari 1914 dan berkuatkuasa di seluruh Negeri Melayu Bersekutu. Dengan enakmen tersebut maka semua tanah yang diisytiharkan sebagai Tanah Simpanan (Rizab) Melayu, tidak boleh dijual sama sekali, disewa atau diserahkan kepada sesiapa yang bukan berbangsa Melayu. Perlaksanaannya diserahkan kepada tiap-tiap kerajaan Negeri yang mana tiap-tiap kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan kawasan-kawasan tertentu menjadi kawasan simpanan Melayu. Sehingga tahun 1923, terdapat kira-kira 1,126,700 hektar atau 15.58 peratus dari keluasan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah dijadikan Tanah Simpanan Melayu.

1914, 12 Mei - Johor dimasukkan ke dalam Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu bersama-sama dengan Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

1916, 20 Oktober - District Grand Lodges of Middle East atau singkatannya DGLME sebagai cawangan Freemason mula beroperasi di Kuala Lumpur.

1918 - Federated Malay States Railways (kini Keretapi Tanah Melayu Berhad) diberi beberapa plot tanah pajakan selama 999 tahun di Tanjong Pagar, Singapura untuk laluan keretapi yang diperuntukkan di bawah Akta Keretapi.

1918 - Pihak British menghadiahkan beberapa bidang tanah (di Perang Besar, Selangor atau kini sudah menjadi sebahagian daripada kawasan Putrajaya) kepada askar-askar Malaya yang bertarung bagi pihak British dalam Perang Dunia Pertama.

1919 - Terengganu menjadi negeri kesultanan Melayu yang terakhir menerima penasihat British.

1920an - Rekod terakhir petempatan Orang Asli di Pulau Pinang adalah di Kubang Semang sebelum mereka bergerak ke Kubang Ulu dan seterusnya masuk menetap di hutan belantara yang berhampiran. Berbeza dengan negara-negara seperti Amerika Syarikat, Australia, atau "Israel", Orang Asli dahulu tidak dibunuh atau dihalau tetapi mereka sendiri yang menjauhi kawasan hutan belukar yang dilihat hendak dibangunkan menjadi perkampungan Melayu. Malangnya, pada hari ini kehidupan Orang Asli kian terhimpit bukan atas sebab pembangunan tetapi disebabkan oleh aktiviti pembalakan yang terlalu rakus.
Bendang atau sawah padi di Kubang Semang
yang berlatarbelakangkan Bukit Mertajam.
(gambar: panoramio.com)

1927, 17 Disember - Upacara peletakan batu asas Penang Masonic Temple di Western Road (Jalan Utama), Pulau Pinang.
Dewan Freemason di Pulau Pinang.

1931 - Sekolah Pertanian Serdang dibuka secara rasmi oleh Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Bersekutu iaitu John Scott (sekolah ini dinaiktaraf beberapa kali, menjadi Maktab Pertanian Malaya pada 23 Jun 1942 sebelum menjadi Universiti Pertanian Malaysia, kini Universiti Putra Malaysia, pada 4 Oktober 1971).

1933, 1 Mac - Pasukan Askar Melayu (kini dikenali sebagai Rejimen Askar Melayu Diraja, cawangan Tentera Darat Malaysia) ditubuhkan di Haig Lines (sekarang Pusat Latihan Asas Tentera Darat atau PUSASDA) yang terletak di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Barisan pengasas kompeni percubaan askar Melayu.
(sumber: http://army.mod.gov.my/)

1937 - Nama "Malaysia" muncul lagi dalam buku yang bertajuk 'Malaysia: A Study in Direct and Indirect Rule', kali ini oleh seorang profesor dari Harvard University, Amerika Syarikat iaitu Rupert Emerson.
Gambar buku Rupert Emerson.
(rujukan: muhdhazrie.wordpress.com)

1938 - Currency Ordinance of 1938 (Ordinan Matawang 1938) secara rasminya memberikan kuasa kepada Malayan Board of Commissioners of Currency untuk beroperasi sebagai pengeluar matawang tunggal bagi semenanjung Tanah Melayu.

1946, 1 April - Penubuhan Jabatan Siaran Radio di Singapura telah melahirkan 'Radio Malaya' (kini telah berubah menjadi Radio Televisyen Malaysia).

1947, 20 Oktober - AMCJA-PUTERA menganjurkan hartal (mogok) yang hampir melumpuhkan keseluruhan jentera ekonomi dan pentadbiran penjajah British.

1948, 1 Februari - Gagasan Malayan Union (yang diisytiharkan oleh pihak British pada 1 April 1946) dibatalkan secara keseluruhannya serta digantikan dengan perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu hasil persetujuan (kontrak sosial) antara British dengan UMNO serta Raja-raja Melayu.

1948, 18 Februari - Mesyuarat 'Majlis Raja-raja' yang pertama diadakan bagi menggantikan Durbar dan buat pertama kalinya dihadiri oleh semua sembilan orang Raja-raja Melayu.

1948, 16 Jun - Tiga orang pengurus estet warga Eropah dibunuh oleh pihak Komunis dan seterusnya menjadi titik tolak kepada pengisytiharan Darurat.

1949, 1 September - Sejarah Tenaga Nasional Berhad bermula dengan penubuhan Lembaga Letrik Pusat (yang ditukar namanya kepada Lembaga Letrik Negara pada tahun 1965).

1949, 8 Oktober - Penggabungan King Edward VII College of Medicine (ditubuhkan pada 1905) dengan Raffles College (ditubuhkan pada 1929) membentuk Universiti Malaya (University of Malaya) di Singapura (sebelum berpecah menjadi dua universiti, satu di Singapura dan satu lagi di Kuala Lumpur pada tahun 1962).

1950 - Sir Henry Gurney melancarkan Rancangan Briggs dengan Leftenan Sir Harold Rowdon Briggs bertanggungjawab memindahkan penduduk Cina dari kawasan-kawasan terpencil yang bertaburan ke kawasan penempatan semula (New Village) untuk menyekat kegiatan 'Min Yuen' yang membekalkan makanan serta ubat-ubatan kepada Parti Komunis Malaya (PKM).

1951 - Rural and Industrial Development Authority (RIDA) dibentuk oleh pentadbiran kolonial British sebelum berevolusi menjadi Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada 1 Mac 1966.

1951, 26 Ogos - Petikan ucapan terakhir Dato' Onn Ja'afar sebagai Yang DiPertua UMNO:
"Oleh kerana saya mempunyai beberapa peluang dapat melihat sesuatu gerak langkah, sesuatu perbuatan atau cadangan yang hendak dijalankan di Tanah Melayu ini; langkah-langkah dan perbuatan yang mendatangkan kebimbangan kepada diri saya sendiri.
...saya dapat peluang itu oleh kerana dapat melihat tempat-tempat yang tidak dapat dimasuki kebanyakan orang. Melihat gerak langkah dan cadangan-cadangan yang hendak didatangkannya ke atas Tanah Melayu ini.
Malang mulut saya tertutup, malang saya berkata mulut saya ini tertutup tidak dapat menzahirkan kepada umat Melayu Semenanjung ini apa yang diketahui oleh saya dalam masa menyempurnakan pekerjaan-pekerjaan dan tanggungan saya itu..."
[rujukan: Mohamed Abid, 2003, mukasurat 191-192]

1952, 7 Februari - Sekumpulan ahli komunis yang diketuai oleh Siew Ma membunuh Pesuruhjaya Tinggi British yang mereka jumpa secara kebetulan apabila Sir Henry Gurney sedang dalam perjalanan ke Bukit Fraser (Fraser's Hill).

1956 - Dato' Onn Ja'afar mencadangkan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka dinamakan "Malaysia" memandangkan ada kemungkinan semenanjung Tanah Melayu akan digabungkan dengan wilayah-wilayah jajahan British yang lain di Asia Tenggara pada masa hadapan apabila membantah nama "Malaya" yang telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Reid.

1957, 5 Ogos - 7 Wasiat Raja-raja Melayu disampaikan semasa majlis menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang dihadiri oleh Raja-raja Melayu dan Sir Donald MacGillivary sebagai Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu.

1957, 19 September - Perjanjian Pertahanan Malaya-British (Anglo-Malayan Defence Agreement/AMDA) ditubuhkan dengan penglibatan Persekutuan Tanah Melayu, United Kingdom, Australia, serta New Zealand sebelum ianya ditandatangani secara rasmi pada 12 Oktober 1957.

1959, 26 Januari - Central Bank of Malaya (kini Bank Negara Malaysia) ditubuhkan di bawah Ordinan Bank Pusat Tanah Melayu. Sejak menjadi bank pusat sepenuhnya pada tahun 1967, ia juga mengambil alih pengeluaran matawang Ringgit Malaysia di samping berperanan sebagai jurubank serta penasihat kewangan kepada kerajaan.
Ibupejabat Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur.
(gambar: sarawakbloggers.net)

1960 - Darurat diisytihar telah berakhir manakala Setiausaha Agung PKM, Chin Peng yang sakit diganti tugasnya oleh Ah Hai.

1971- Perjanjian Pertahanan Lima Negara (Five Power Defence Arrangements/FPDA) merupakan hubungan pertahanan melalui persetujuan berbilang hala yang melibatkan United Kingdom, Australia, New Zealand, Malaysia dan Singapura.

2005, 27 Ogos - Menara Alaf Baru (Millennium Monument) mula dibuka kepada orang awam. Ia merupakan tugu peringatan yang kedua dibina di Putrajaya selepas Mercu Tanda Putrajaya (Putrajaya Landmark), tempat diletakkan perutusan khas oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad di dalam kapsul masa untuk dibaca pada tahun 2020.
Binaan yang seakan-akan menyerupai Washington
Monument
di Washington DC, Amerika Syarikat.
(gambar: tripadvisor.com.my)

2008, 29 Ogos - Satu acara yang diberi nama 'Seksualiti Merdeka' buat pertama kalinya diadakan dan berlangsung selama tiga hari bertempat di The Annexe Gallery, Pasar Seni, Kuala Lumpur.
Seksualiti Merdeka 2010

2016, 24 Februari - Sempena sambutan ulangtahun yang ke-100 District Grand Lodge of the Middle East (DGLME) and the International Scottish Masonic Conference, satu persidangan selama empat hari diadakan dalam Bayview Beach Resort di Batu Feringghi, Pulau Pinang.

2017, 5 Jun - Program 'Jerusalem Jubilee' anjuran All Malaysian-Golden Gate Revival Convocation (AMGGRC) yang dirancang diadakan di gereja The Calvary Life Assembly (Chinese), Taman Teknologi Cheng, Melaka dari 15 hingga 18 Jun mendapat tentangan kerana secara terang-terangan ingin meraikan rampasan rejim Zionis ke atas kota Baitulmaqdis pada tahun 1967.
Jerusalem Jubilee

2017, 6 Oktober - 'The Better Beer Festival' kali ke-6 yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur selama dua hari dibatalkan setelah mendapat bantahan keras daripada pelbagai pihak walaupun ia sebenarnya telah pun dijalankan secara tidak terlalu terbuka sejak tahun 2012 lagi.
The Better Beer Festival


Bacaan tambahan:
http://www.jejakwaris.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan