Batu Bersurat Terengganu (Kuala Berang, 22 Februari 1303) |
Beberapa huruf membentuk sebuah perkataan. Perkataan-perkataan pula disusun menjadi sebaris ayat manakala himpunan ayat-ayat yang saling melengkapi mampu mezahirkan pelbagai jenis bentuk penulisan mahupun karangan. Bangsa Malayu seperti mana bangsa-bangsa lain, mempunyai bahasa percakapannya (beka) yang tersendiri. Bahasa murni yang menjadi penghubung dan lidah pertuturan orang Malayu (Bani Jawi) di seluruh Kepulauan Malayu dinamakan sebagai Bahasa Malayu. Walaupun masing-masing menggunakan loghat atau dialek yang tertentu dalam kehidupan seharian, tetapi semuanya boleh memahami di antara satu sama lain melalui bahasa perantaraan serumpun, yakni Bahasa Malayu. Bukan setakat itu sahaja, bangsa-bangsa yang lain pun turut belajar untuk bertutur secara asas dalam Bahasa Malayu bagi memudahkan mereka menjalankan pelbagai urusan serta aktiviti di Semenanjung Tanah Malayu (Tanah Jawi) dan Gugusan Pulau-pulau Malayu. Bahasa pasar ada, bahasa baku ada, bahasa basahan ada, bahasa rojak pun ada. Begitulah uniknya ciptaan Allah. Berbilang-bilang bangsa dan berbagai-bagai bahasa dicipta agar setiap individu manusia dapat belajar untuk berkenalan dan bukannya bermusuhan. Sebab itulah munculnya kata-kata hikmah, 'Tak kenal maka tak cinta'.
Baiklah, perkembangan Bahasa Malayu boleh diletakkan kepada beberapa peringkat zaman iaitu:
1) Bahasa Malayu Asli (zaman induk),
2) Bahasa Malayu Kuno (zaman purba),
3) Bahasa Malayu Klasik (zaman emas), dan
4) Bahasa Malayu Moden (zaman hibrid).
Zaman-zaman tersebut sudah tentunya pula berkait rapat dengan perkembangan bangsa Malayu itu sendiri memandangkan apa-apa bangsa pun tidak mungkin dapat dipisahkan daripada bahasa ibunda yang menjadi identitinya. Bak kata pepatah, 'Bahasa Jiwa Bangsa'. Lemah bahasa maka lemah jugalah bangsanya tetapi sekiranya bahasa itu kukuh dan teguh, kukuh dan teguh jualah bangsanya. Bahasa yang keluar dari mulut atau yang ditulis bukan sahaja berguna untuk waktu sekarang tetapi juga sangat berguna untuk bila-bila masa pun, tak kiralah dalam bentuk rakaman sejarah mahupun perancangan bagi masa hadapan. Ilmu dapat dipelajari, pengajaran dapat difahami, dan pesanan dapat diingati apabila bahasa yang baik serta betul digunakan untuk berfikir. Akal yang berfikir mampu melahirkan manusia yang bertanggungjawab. Manusia yang bertanggungjawab akan membina sebuah keluarga yang kenal erti tanggungjawab dan seterusnya menumbuhkan pula rasa bertanggungjawab terhadap masyarakat. Dari situlah bermulanya adat dan budaya yang berkembang menjadi peradaban sehingga membentuk tamadun yang gilang-gemilang. Peribahasa Malayu ada menyebut, 'Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama'.
Batu Bersurat Cherok Tokun yang terletak dalam kawasan St. Anne's Sanctuary, sebuah gereja di Bukit Mertajam. (gambar: www.my-island-penang.com) |
Oleh yang demikian, banyak persoalan yang akan timbul apabila manusia mula berfikir. Satu pertanyaan yang akan dibincangkan jawapannya di sini ialah mengenai dari mana datangnya perkataan 'Malayu'. Sebagai seorang manusia, setinggi manapun kemampuan dan kebolehan yang wujud sudah pasti ada hadnya. Yang ada itu pun bukannya berasal daripada manusia itu sendiri tetapi hanyalah pemberian Allah semata-mata. Maka, bersiap sedialah bahawa apa yang diketahui mungkin ada yang belum diketahui dan apa yang sudah diketahui mungkin ada yang tersilap ataupun yang terlupa. Jadi berbalik kepada pertanyaan tadi, 'Malayu' adalah satu nama. Kadang kala nama tersebut sengaja disalahertikan yang mana "Melayu" dikatakan bermaksud 'lari' dalam bahasa Jawa dan turut bermaksud 'jauh' dalam bahasa Suluk.
Selain itu, sebatang sungai yang dinamakan sebagai "Sungai Melayu" sering disalah anggap terletak di pulau Sumatera. Kononnya, ia di suatu tempat di Palembang atau Jambi. Padahal, Sungai Malayu berada di negeri Johor. Kampung Sungai Malayu di Johor Bahru sebagai buktinya. Dari situlah sebenarnya Tanah Malayu mendapat namanya. Walaupun dalam Sejarah Malayu ada disebut, "Di sini sekarang adalah cerita sebuah bandar yang digelar Palembang di tanah Andelas. Ia diperintah oleh Demang Lebar Daun, seorang keturunan Raja Shulan, dan sungainya adalah Muara Tatang. Di pencapaian bahagian atas Muara Tatang adalah sebatang sungai yang bernama Melayu, dan di sungai itu ada bukit yang bernama Si-Guntang Mahameru...", huraian tersebut adalah khusus mengenai kota Palembang dan kawasan sekitarnya. Memang Muara Tatang (Sungai Tatang) serta Si-Guntang Mahameru (Bukit Seguntang) berada di Palembang, namun Sungai Malayu tidak terletak di Sumatera memandangkan Sungai Musi di Palembang atau Batang Hari di Jambi tidak menepati gambaran tersebut. Oleh itu, Sungai Musi mahupun Batang Hari bukanlah Sungai Malayu yang dimaksudkan di dalam Sejarah Malayu. Sungai Malayu adalah Sungai Malayu di Johor, ianya tiada di tempat lain.
Sungai Tatang di Palembang yang dipenuhi sampah sarap. (gambar: www.koran-sindo.com) |
Kampung Sungai Melayu bersebelahan dengan Sungai Melayu. (sumber: Google Maps) |
'Malayu' juga menjadi satu nama bagi suatu bangsa yang mempunyai banyak persamaan ciri-ciri fizikal di kalangan mereka samada dari segi bentuk wajah (muka Malayu), warna kulit (biasanya sawo matang), mahupun saiz tubuh badan (kebanyakannya agak kecil dan rendah). Orang Laut dan termasuk juga Orang Asli amnya turut boleh digolongkan dalam rumpun (keluarga) Malayu. Walaupun manusia asalnya satu iaitu anak-anak keturunan Nabi Adam alaihi salam, sesuatu bangsa lebih merujuk kepada sekumpulan manusia yang berasal dari tanahair yang sama. Namun begitu, tidak semestinya seseorang anak watan itu menetap (bermukim) di tanahairnya kerana manusia sering berpindah-randah (merantau atau mengembara) dan kemudiannya tinggal di tempat lain (bermastautin). Sejauh mana pun mereka pergi, masih boleh dikenali berdasarkan rupa paras, jika tidak pun dicam melalui ujian DNA (Deoxyribonucleic acid) andai mahu mengikut kemajuan sains pada masa kini.
Candi Sungai Batu di Lembah Bujang, Merbok menjadi bukti sejarah yang penting bagi kerajaan Kadaram (Kuala Sungai Khelah/Pulau Serai). (gambar: says.com) |
Selain tinggalan di Sungai Mas (Kuala Muda), puing di Guar Kepah,
Penaga (Seberang Perai Utara) juga adalah tempat yang bersejarah.
(gambar: K.E. Ooi)
|
Ringkasnya, walau di mana pun ia berada, sesuatu bangsa itu tetap dikenali melalui sejarah tanahairnya samada pernah berhijrah ataupun tidak. Lebih menarik lagi, terdapat juga mereka yang berdarah campuran hasil daripada perkahwinan ibubapa mereka yang berlainan bangsa. Perkara ini banyak terjadi dewasa ini terutama sekali dalam era globalisasi yang kian maju dengan pelbagai teknologi yang canggih. Kini sudah ada kenderaan yang mampu membelah awan dan manusia bergerak dengan lebih pantas serta laju samada di darat mahupun di lautan. Perhubungan yang kompleks antara satu bangsa dengan bangsa-bangsa yang lain ini semakin lama nampaknya semakin menjadi-jadi. Akibatnya, ada kesan yang positif dan ada juga yang negatif. Satu contoh yang mudah, secara keseluruhannya perniagaan atau perdagangan antarabangsa banyak memberi manfaat awam namun persaingan untuk memperoleh sumber asli atau bahan mentah menjadi terlalu sengit hingga mampu mengakibatkan kemusnahan harta benda malah kehilangan nyawa apabila sampai berlakunya pencerobohan ke atas hak orang lain.
Batu Bersurat Singapura (muara Sungai Singapura, 1256 Masihi) |
Justeru itu, betapa pentingnya bagi orang-orang Malayu sebagai sebuah bangsa untuk mengetahui kebenaran tawarikh bangsanya agar dapat menjaga kehormatan diri dan pada masa yang sama turut menghormati hak orang lain tanpa sebarang unsur kezaliman. Pertama sekali, hendaklah setiap individu yang bergelar Malayu mahupun yang bukan Malayu memahami bahawa tiada yang disembah melainkan Allah. Sejarah terdahulu telah pun berlaku dan apa yang boleh dibuat pada saat ini ialah 'Buang yang keruh, ambil yang jernih'. Kini sudah tiba masanya untuk mencipta sejarah yang baharu, ini adalah detik permulaan ke arah masa depan yang lebih baik (cemerlang) serta lebih cerah. Sama-sama jadikan sunnah Nabi Muhammad Rasulullah sallallahu alaihi wasallam sebagai contoh ikutan yang terbaik. Jangan lagi biarkan diri terus berada dalam kegelapan akibat kejahilan tentang cara hidup Islam (ad-Din).
Penyatuan orang Malayu bukan terletak pada bangsanya. Kerakyatan atau kewarganegaraan adalah suatu konsep buatan manusia yang direka-reka sahaja. Segenap lapisan masyarakat Malayu terbukti hanya boleh bersatu atas dasar tauhid. Tauhid itu benar. Tauhid bukan syirik, dan benar bukan dusta. Bersatu sebagai satu ummah, yakni manusia sejagat yang hidup secara bermasyarakat. Ini bermakna bangsa Malayu turut mengharap kebaikan buat bangsa-bangsa lain seperti mana mengharapkan kebaikan untuk bangsa sendiri. Apabila telah mengucap dua kalimah syahadah oleh seseorang, hindarilah daripada memahaminya sebagai 'masuk Malayu' (Muslim) atau 'masuk Jawi' (berkhatan) lagi, ianya kurang tepat. Istilah Malayu bukanlah bermakna Islam, tetapi Malayulah yang perlu mengikut syariat Islam dan bukannya yang sebaliknya. Satu perkara lagi adalah mengenai istilah 'orang Islam' (a.k.a. Islamist). Istilah tersebut jikalau boleh perlu dielak kerana ia seolah-olah menggambarkan (atau seperti mengakui) bahawa Islam yang diambil hanya pada nama, itupun atas sebab dilahirkan dalam keluarga yang beragama Islam. Walhal, sesiapa yang menggelarkan dirinya sebagai 'umat Islam' hanya berdasarkan keturunan padahal amalan tidak berlandaskan syariat, sememangnya kurang elok dan kurang wajar. Sebaiknya, jadilah seorang 'Muslim' iaitu insan yang berserah diri kepada Allah dalam segala hal.
Prasasti Kedukan Bukit (Palembang, 605 Saka/683 Masihi) |
Fakta menarik mengenai Malayu:
- adat; Temenggung, Perpatih
- tanah; Pusaka, Adat
- pakaian; Busana Malayu (baju Malayu, songkok, samping, baju kurung, tudung, telekung)
- makanan; Masakan Malayu (nasi lemak, sate, cendol, air batu campur, teh tarik, roti canai)
- pembuatan; Kesenian Malayu (rumah kayu, perahu, keris, kompang, congkak, wau, rehal)
- petempatan; Kampung Malayu, Kota Melayu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan