Rabu, 16 Januari 2019

TAKHTA, HARTA, DAN WANITA

Tiga "ta". Takhta, harta, dan wanita. Ketiga-tiganya sering menjadi idaman ramai lelaki dan merupakan antara dugaan yang paling besar bagi manusia di dunia. Bukannya kita tidak tahu, kecuali tulang sulbi dan seumpamanya, tiada satu benda atau makhluk pun pada waktu ini (akhir zaman) yang akan terus kekal di sini (Bumi) sampai bila-bila. Akan tetapi, takhta, harta, dan wanita tetap juga dijadikan keutamaan hidup bagi kebanyakan orang. Takhta yang dimaksudkan adalah suka membolot kuasa, manakala harta itu maknanya mengumpul wang kalau boleh sampai berjuta-juta, dan wanita pula bererti membawa kepada banyak persetubuhan atau cahaya mata.

Maka, kehidupan moden manusia sejagat masakini yang hampir semuanya, tidak kiralah apa warganegara pun, dengan bangganya berbahasa Inggeris sambil memakai tali leher atau berseluar jeans untuk cuba meniru gaya hidup palsu yang telah ditonton di kaca televisyen dan di layar pawagam. Tanpa segan silu, matlamat hidup individu-individu pelbagai peringkat lapisan umur akan tertumpu kepada mengejar pangkat yang tinggi, gaji yang lumayan, dan pejabat yang besar sahaja. Yang difikirkan serta diusahakan hanyalah jawatan, pendapatan, dan kenderaan, seolah-olah ibubapa, rumahtangga, keluarga, apatah lagi masyarakat bukan lagi menjadi tanggungjawab asasnya.

Manusia tidaklah berasal daripada beruk tapi
ramai juga yang berperangai macam beruk.
(gambar: Google Images)

Walau bagaimanapun, di sebalik konotasi negatif yang dipaparkan, masih ada elemen positif yang boleh digunapakai. Sebarang unsur yang mengandungi nilai positif sememangnya boleh sahaja digunapakai. Cuma, setelah ditapis dahulu keburukannya, ia hanya menjadi wajar jika disalurkan kepada apa yang sepatutnya dan melalui saluran yang betul. Jangan pula matlamat menghalalkan cara. Apakah perkara positif tersebut?

U. S. A. H. A. Usaha.

Manusia sememangnya lemah, perlu bergantung kepada Allah. Usaha untuk dunia, mungkin dapat dunia. Usaha untuk akhirat, semoga dapat akhirat. Usaha untuk dua-dua, harap-harapnya dapatlah apa yang baik. InshaaAllah. Tetap berusaha mengambil jalan tengah walaupun susah. Mudah-mudahan tidak melampau, yakni tidak terlalu lebih dan tidak juga terlalu kurang. Langsung tanpa usaha, umumnya tiada siapa yang akan mendapat hasil dengan begitu sahaja. Semuanya dengan kehendak dan kebijaksanaan Allah. Usaha itukan tangga kejayaan. Itulah kejayaan yang berasas, bukannya percaya buta-buta kepada skim cepat kaya ataupun slogan membohong lagi menipu seperti 'anda kaya, anda berjaya'. Kalau percaya juga, maka kamu semua pengampu, pengampu orang kaya. Memanglah tidak dinafikan bahawa untuk mendapatkan takhta, harta, mahupun wanita memerlukan usaha, malah untuk menjayakan suatu agenda jahat pun memerlukan usaha. Namun begitu, tidakkah membazirkan masa dan tenaga sahaja apabila berbuat demikian tanpa mempedulikan dosa atau pahala? Bukankah apabila sampai masanya nanti setiap insan akan meninggalkan segala-galanya melainkan doa anak soleh, sedekah jariah, dan ilmu yang diajarkan?

Doa, sedekah, dan ilmu, semuanya perlu usaha belaka itu. Bagi yang celik mata hatinya, rasanya boleh faham. Kalau tidak faham, faham-faham sahajalah. Ada golongan yang merasa rugi yang teramat sangat kalau mensia-siakan peluang untuk berebut takhta, harta, dan wanita. Walhal, peluang yang patut direbut adalah perkara-perkara kebaikan. Berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan. Adakah berlumba-lumba untuk mendapatkan takhta, harta, dan wanita itu boleh menjurus kepada kebaikan atau sebaliknya? Mungkin boleh mengikut pendapat orang-orang yang tertentu tetapi bagaimana pula sejarah secara ajaibnya banyak menceritakan kisah-kisah yang kurang enak mengenainya? Semua orang mahukan yang baik-baik, lebih-lebih lagi untuk dirinya, tetapi tidak ada jalan lainkah selain takhta, harta, dan wanita untuk memperolehnya? Sudah tentu ada! Dengar sini, tahukah anda tentang iman? Boleh jadi ramai yang lupa, iman pun kena usaha juga. Iman tidak dapat diwarisi. Iman tidak dapat dijual beli. Iman hanya boleh dicapai apabila Allah yang memberinya.

Terdapat beberapa syarat asas. Iman tidak lengkap tanpa ilmu. Ilmu pun kena usaha. Ilmu tidak lengkap tanpa amal. Amal pun kena usaha. Amal tidak lengkap tanpa takwa. Takwa pun serupa, kena usaha juga. Usaha, usaha, usaha, dan usaha. Selain tiga "ta", terdapat satu lagi "ta" yang seringkali diketepikan atau diabaikan yakni senjata. Ini yang ramai betul-betul tidak ingat. Terlepas pandang. Senjata bukan setakat yang fizikal sahaja. Bukan sekadar parang, keris, pedang, pistol, senapang, kereta kebal, kereta perisai, jet pejuang, pesawat pengebom, kapal tempur, kapal selam, peluru berpandu nuklear, ataupun electromagnetic pulse (EMP), bukan. Kalau tiada senjata seperti itupun, penumbuk dan penendang masih lagi boleh digunakan. Senjata yang paling kuat itu apa? Yang terkuat ialah apa yang ada di dalam jiwa. Kekuatan jiwa untuk berdoa. Meminta, merayu, dan memohon hanya kepada yang Maha Esa. Semua orang mungkin tidak boleh jadi kaya harta, tetapi orang semua boleh jadi kaya jiwa, kalau benar-benar hendak. Harta banyak mana pun boleh sahaja habis, namun apa gunanya mahu memiliki seluruh dunia tetapi kehilangan jiwa?

Jom. Perbaharui iman, sempurnakan iman.


1 ulasan:

  1. Usaha untuk akhirat, Allah akan datangkan dunia kepada kita sehingga dalam keadaan merangkak.

    BalasPadam