Jumaat, 12 April 2019

SINGAPURA JAUH DI MATA

Dari sudut geografi, Tanah Melayu merupakan sebahagian daripada Kepulauan Melayu. Sementara Kepulauan Melayu turut termasuk semua gugusan pulau yang terdapat dalam rantau Asia Tenggara, Tanah Melayu pula adalah semenanjung yang bersambung dengan daratan besar benua Asia. Semenanjung tersebut bermula dari kawasan Segenting Kra, hinggalah sampai ke perairan Riau-Lingga. Di hujung semenanjung ada Sungai Melayu yang bermuara ke Selat Tebrau, di sebuah negeri yang mana suatu ketika dahulu terletaknya kerajaan Malayu yang pernah menjadi tempat persinggahan seorang sami Buddha dari Yanjing, China bernama I-tsing pada tahun 671 Masihi. Menyeberangi Selat Tebrau, di situlah sebuah pulau yang dipanggil Singapura. Sebelum menjadi terkenal sebagai Singapura, nama lainnya ialah Temasik. Selepas melalui zaman penjajahan British, sebutan Singapura lama-kelamaan telah dipelatkan oleh sejumlah Mat Salih yang tulen dan juga yang palsu sehingga bunyinya menjadi "Singapore".


Raja Segentar Alam, muit Sang Nila Utama

Pengasas nama Singapura yang bernama Sang Nila Utama merupakan piut kepada Raja Segentar Alam. Siapakah dia Raja Segentar Alam? Dalam sejarah yang bertulis, nama panjangnya ialah Srimat Trailokyaraja Maulibhusana Warmadewa. Trailokyaraja adalah pemula dinasti Mauli yang telah bertanggungjawab menubuhkan kerajaan Dharmasraya pada tahun 1183. Ia berpusat di Jambi sebagai pewaris empayar Srivijaya serta pengganti dinasti Sailendra. Sebelum menubuhkan Dharmasraya, dari mana datangnya Trailokyaraja ini? Tempat asalnya ialah Bukit Bijana di Bintan. Selepas kemangkatan pengasas Srivijaya iaitu Dapunta Hyang Sri Jayanasa pada tahun 692, empayar besar tersebut dibahagikan kepada timur dan barat. Amdan Negara (barat) berpusat di Betapur, Andaman manakala Bija Negara (timur) berpusat di Bukit Bijana. Kisah masyhur mengenai seorang raja yang melanggar Gangga Negara dan Gelanggi untuk menyebarluaskan pengaruhnya itu sebenarnya adalah cerita tentang Trailokyaraja. Oleh itu, Trailokyaraja ialah Raja Shulan dan Raja Shulan ialah Trailokyaraja, dialah Raja Segentar Alam.

Sang Sapurba adalah bapa kepada Sang Nila Utama manakala Raja Chulan itu datuknya dan Raja Suran moyangnya

Setelah Raja Segentar Alam, yakni Raja Shulan berkahwin dengan Onang Kiu dari Gelanggi, mereka memperoleh seorang puteri iaitu Candani Wasis. Apabila Raja Shulan bermenantukan seorang yang berketurunan Raja Iskandar (Iskandar Zulkarnain) iaitu Raja Suran yang mengahwini Candani Wasis, lahirlah tiga orang cucunya. Salah seorang daripada tiga cucunya bernama Raja Chulan, putera kedua Raja Suran dan Candani Wasis. Kemudian, Raja Chulan yang kisahnya menyelam ke dasar laut dan berkahwin dengan Mahtabul Bahri dari kaum Bersim (duyung atau orang bunian?) pula mendapat tiga orang anak. Anak sulung Raja Chulan diberi nama Sri Nila Pahlawan, tetapi nantinya ditabalkan sebagai Srimat Tribhuwanaraja Mauli Warmadewa apabila menjadi raja Dharmasraya yang baru di Bukit Siguntang, Palembang pada tahun 1286. Siapakah pula Sri Nila Pahlawan atau Srimat Tribhuwanaraja Mauli Warmadewa ini?  Tidak lain dan tidak bukan, Sang Sapurba ialah orangnya. Cuba teka siapa anak kedua Sang Sapurba dan isterinya Wan Sendari? Siapa lagi kalau bukan Sang Nila Utama, pengasas dan raja pertama Singapura. Sang Nila Utama inilah yang merupakan moyang kepada Parameswara (Dharmaraja atau Raja Iskandar Shah), raja terakhir Singapura dan juga pengasas kerajaan Melaka.

Singapura dilanggar todak

Apabila mendirikan kerajaan Singapura pada tahun 1324, gelaran rasmi yang dipakai oleh Sang Nila Utama ialah Sri Maharaja Sang Utama Parameswara Batara Sri Tri Buana. Semasa pemerintahan bagindalah terjadinya peristiwa Singapura dilanggar todak, suatu kisah benar dan bukannya cerita rekaan mahupun dongeng semata-mata. Peristiwa tersebut bermula dengan kehadiran seorang alim yang juga saudagar dari Pasai iaitu Tun Jana Khatib. Pada suatu hari, sebatang pokok pinang terbelah dua dan tumbang hanya setelah Tun Jana Khatib merenung dan menyentuhnya sedikit. Kejadian yang berlaku berhampiran dengan istana raja itu telah dilihat oleh Raden Ratna Cendera Puri, permaisuri kepada Sang Nila Utama. Berikutan kejadian yang entah bagaimana menimbulkan syak wasangka, Tun Jana Khatib tidak semena-mena ditangkap dan dihukum bunuh di Hujung Pasar (kini Kampong Glam). Ketika sudah meninggal dunia, jenazahnya tiba-tiba hilang dan hanya kesan darahnya yang tinggal. Ribut petir terus melanda dan sungguh menghairankan apabila bekas darah Tun Jana Khatib telah berubah menjadi keras membatu serta berwarna merah. Lebih pelik, kemudiannya terdapat dakwaan bahawa jasadnya terdampar dekat tepi pantai di pulau Langkawi sebelum dikebumikan di Makam Purba (Hutan Buloh, Mukim Ulu Melaka).

Samada ada kaitan atau tidak, setelah beberapa lama selepas itu berlaku satu lagi kejadian di sebuah tempat yang kini disebut sebagai Tanjong Pagar. Sewaktu sebahagian nelayan ingin turun ke laut, mereka melihat sebahagian nelayan yang lain berlari lintang-pukang kembali naik ke darat. Kelihatan mereka sedang cuba menyelamatkan diri daripada serangan ganas sekumpulan ikan todak. Sebelum berita mengenainya sampai ke pengetahuan raja, ramai juga yang telah tercedera dan ada juga yang kehilangan nyawa. Panik dengan kejadian tersebut, raja mengarahkan supaya orang-orang di situ berbaris memegang senjata di tepi pantai sebagai ikhtiar untuk menghalang serangan tersebut. Namun, apakan daya. Lebih ramai yang terkorban, lebih ramai yang menjadi mangsa. Raja semakin buntu, rakyat semakin tertekan. Tatkala serangan kian menjadi-jadi, datang seorang kanak-kanak bernama Hang Nadim (bukan anak Hang Jebat). Kanak-kanak seusianya mungkin belum lagi matang tetapi dia boleh pula mencadangkan agar dibariskan beberapa batang pokok pisang untuk dijadikan sebagai benteng. Serangan ikan todak ada masanya terus menghentam bertubi-tubi tetapi setelah itu berjaya juga dihalang. Segala puji bagi Tuhan sekalian alam, ternyata saranan tersebut membuahkan hasil.

Rakyat pun bergembira apabila Singapura akhirnya bebas daripada serangan todak. Raja pula terpanggil untuk menjemput Hang Nadim ke istana kerana mahu memberikan anugerah bagi menghargai sumbangannya. Walau bagaimanapun, bukan semua yang teruja. Ada pula di kalangan para pembesar berasa sangat dengki dan iri hati terhadap Hang Nadim yang belum pun mencapai umur dewasa. Mereka khuatir bahawa suatu hari nanti kedudukan mereka akan terjejas dek kerana si budak kecil ini. Justeru, apa yang bakal berlaku seterusnya amat menyayat hati. Tanpa mahu mengaku kalah, beberapa pembesar terus-menerus menghasut raja bahawa Hang Nadim yang cerdik akalnya itu barangkali boleh mengakali rajanya pada masa hadapan. Malah, takut juga kalau kepandaiannya itu akan memalukan semua orang lebih-lebih lagi apabila dewasa kelak. Para pembesar konon-kononnya mahu mempertahankan maruah raja, padahal di fikiran mereka hanyalah tentang kepentingan sendiri. Lalu, raja pun tanpa berfikir panjang telah membatalkan niatnya yang asal dan bertindak untuk menitahkan agar Hang Nadim dihukum bunuh. Samada Hang Nadim ditikam atau dibiarkan lemas dalam laut bukan lagi persoalan, yang penting bagi para pembesar tersebut adalah kematian Hang Nadim. Kejam, sememangnya sungguh kejam! Ingatlah, biarpun Hang Nadim mati, matinya di pihak yang benar.

Badang makan muntah hantu?

Apabila mangkatnya Sang Nila Utama, anakandanya Paduka Sri Pekerma Wira Diraja menggantikan tempatnya sebagai Raja Singapura yang kedua. Raja Singapura yang ketiga pula ialah Paduka Seri Rana Wira Kerma, yang merupakan bapa Parameswara (Raja Singapura keempat dan terakhir) serta pemerintah yang sezaman dengan Badang. Badang asalnya seorang hamba yang dimiliki oleh Orang Kaya Nira Sura. Diringkaskan ceritera bagaimana Badang memperoleh kekuatan yang luar biasa, ia bermula tatkala Badang merasa berang apabila tangkapan ikannya sering diusik orang. Alangkah terkejutnya Badang apabila mendapati ada sejenis makhluk ganjil, rupa-rupanya ialah yang kerap mengganggu. Ia selalu makan hampir semua ikan yang ditangkap sehingga yang tinggal hanyalah tulang belulang. Makhluk tersebut berjaya ditangkap namun ia merayu-rayu meminta agar dilepaskan. Malah ia berjanji untuk menunaikan apa jua permintaan sekiranya dilepaskan. Badang yang mula dipengaruhi mindanya itu tidak berfikir untuk meminta harta atau wanita memandangkan dia hanya seorang hamba. Lalu, Badang akhirnya berhajat agar dijadikan gagah perkasa supaya lebih mudah untuk melakukan kerja-kerjanya.

Barangkali Badang hendak diuji, permintaannya pun menjadi kenyataan. Bukan itu sahaja, Badang setelah menjadi kuat dipersembahkan pula oleh tuannya untuk dijadikan sebagai budak suruhan kepada raja. Kampung Orang Asli Sayong Pinang di Kota Tinggi, Johor adalah tempat yang dikaitkan dengan watak Badang tersebut. Cuma, di sebalik kisah yang sering diulang cerita, Badang juga dikatakan mempunyai dada yang bidang dan kehebatannya itu hanyalah kebolehan istimewa yang semula jadi yakni anugerah daripada Ilahi. Selepas pelbagai peristiwa yang membuktikan kepahlawanannya, Badang selanjutnya turut diangkat sebagai Hulubalang Diraja. Di penghujung hayatnya, Badang meninggal dunia akibat sakit tua dan kuburnya berada di sebuah kawasan hutan di pinggir Desa Kandis, Pulau Buru di Karimun, Kepulauan Riau (Indonesia).

Majulah Singapura

Begitulah serba sedikit riwayat sejarah yang ingin disampaikan. Bagaimana keadaan Singapura sekarang ini? Khabarnya negara kota yang kecil itu kini amat kaya dan maju, rakyatnya pula dikatakan mempunyai minda kelas pertama. Baguslah begitu. Boleh jadi ada yang berharap agar kemakmuran yang diperolehi turut melimpah ke sekitarnya. Iyalah, mana tahu jiran-jiran terdekat pun boleh tumpang sama untuk merasainya. Cuma, meskipun Singapura nampaknya sudah jauh di mata namun tetap dekat di hati. Kini, yang tinggal hanyalah memori dan sejarah. Realitinya, Singapura benar-benar telah berubah dan bertukar menjadi Singapore. Raffles Place, Clarke Quay, Orchard Road, Esplanade Theatre, Marina Bay Sands, dan VivoCity. Jika mahu bercerita tentang masa hadapan, hanya Tuhan yang Maha Mengetahui.


#Malaya   #MalayArchipelago   #MalayPeninsula   #KraIsthmus   #StraitofMalacca

Tiada ulasan:

Catat Ulasan