Sabtu, 31 Ogos 2019

SEMUANYA SUDAH TERTULIS

Siapa Allah? Tuhan. Allah itu namaNya. Tuhan itu apa? Sesuatu yang layak disembah. Kenapa Dia layak disembah? Sebab Dia yang mencipta, bukan dicipta. Dialah yang paling awal, Dia jugalah yang terakhir. Yang memiliki segala keagungan, seperti Arasy dan Kursi. Ketahuilah, kewujudanNyalah yang mewujudkan kita semua.

Di atas adalah beberapa soalan yang mungkin ditanya oleh orang-orang yang mahu bertanya, beserta jawapannya sekali. Jawapan yang sepatutnya diberikan oleh orang-orang yang matang. Yang matang pula tidak semestinya sudah dewasa. Cukup dikatakan sebagai matang sekiranya mengetahui apa yang patut diketahui. Yakni, menjadi orang yang mengetahui apabila mendapat pengetahuan atau lebih tepat, diberi pengetahuan.

Apa maksud semuanya sudah tertulis? Yang sebenarnya, memang semua kejadian sudah ditulis. Apa sahaja. Segala-galanya sudah disusun. Diatur bagaikan kerja pengaturcara perisian komputer. Ianya turut dipanggil sebagai takdir. Cuma, Tuhan adalah Pengaturcara yang terbaik dan tiada yang lebih baik daripadaNya. Dari dahulu sampai bila-bila, langsung tiada yang lebih baik. Tiada apa yang serupa denganNya.

Buktinya, kita tidak boleh mengubah masa lalu. Apa-apa yang sudah terjadi atau tidak terjadi sebelum ini, tidak boleh diubah lagi. Hanya masa hadapan yang boleh diubah, itupun hanya dengan kehendakNya. Sebarang pilihan untuk mengubah masa hadapan pula adalah tertakluk kepada kemungkinan-kemungkinan yang telah pun dicipta. Kita hanya dapat memilih, bukannya mencipta. Memilih itu bermakna amal, atau dengan kata lain, usaha yang bermula dengan kesedaran.

Daripada tiada kepada ada, hanya Allah yang boleh cipta. Maka, sebab itulah semuanya sudah tertulis. Wallahu'alam.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan