Bermula dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Ada orang takut dengan kematian. Ada orang takut dengan kehidupan. Ada pula yang takut dengan kehidupan dan juga kematian. Akan tetapi, jika tiada kewujudan, bukankah tiada kehidupan mahupun kematian? Jadi mengapa kita wujud? Itulah persoalan yang harus ditanya. Bercakap tentang realiti, adakah dunia ini realiti atau akhirat itu realiti? Bagi yang mengetahui akan kebenaran, sesungguhnya dunia serta akhirat itu kedua-duanya adalah realiti. Sekarang, dunia adalah realiti. Nanti, akhirat adalah realiti. Realiti itu kenyataan, bukan fantasi dan bukannya khayalan. Walaupun adanya teknologi Realiti Maya, ia hanyalah seakan-akan realiti. Maya itu tetap bukan realiti.
Tauhid. Apa itu tauhid? Menurut pemahaman yang mudah, tauhid ialah pengesaan Tuhan. Yakni, pengakuan bahawa hanya ada satu sahaja Pencipta seluruh alam iaitu Allah. Apa-apa yang disembah selain daripada Allah itu adalah kepalsuan. Konsep dewa atau berhala itu sememangnya adalah suatu kedustaan. Adakah tauhid bermula apabila munculnya nabi yang terakhir di tanah semenanjung Arab? Tauhid sebenarnya bermula sejak azali, sebelum permulaan masa. Bagi manusia keturunan Nabi Adam alaihis salam, setiap nabi dan rasul yang terpilih hanyalah membenarkan apa yang benar. Tugas mereka tidaklah untuk membenarkan apa yang tidak benar.
Oleh yang demikian, fahamilah bahawa kedatangan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam membawa ajaran Islam lebih kurang 1400 tahun dahulu adalah kebenaran untuk disampaikan kepada seluruh umatnya. Siapakah umatnya? Umatnya bermula sejak Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam mula berdakwah sehinggalah ke hari kiamat nanti. Cuma, ada yang beriman dan ada pula yang kafir. Yang beriman, beruntung. Yang kafir, rugi. Siapa yang beruntung dan siapa yang rugi itu semuanya adalah dengan kehendak Allah subhanahu wa taala. Dialah yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Dia Maha Kuasa, Dia juga Maha Kaya.
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu akbar. Maha Suci Allah, Segala puji bagi Allah, Allah Maha Besar. Astaghfirullah, aku memohon ampun kepada Allah.
#02022020